Lima Tema Yang Menjadi Tumpuan Pasaran Minggu Ini (27-31 Mei 2019)

Perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China terus mendominasi pasaran global sejak beberapa minggu ini. Isu terbaru yang mengejutkan pasaran pula adalah berita perletakan jawatan Perdana Menteri United Kingdom, Theresa May.

Pelabur-pelabur global sedang melihat tanda-tanda kestabilan dalam pasaran selepas isu perang perdagangan yang memuncak pada minggu lalu. Trump dalam lawatannya ke Tokyo berkata rundingan dengan Jepun berjalan dengan baik, dalam masa yang sama memberi amaran kepada China bahawa tarif boleh naik pada kadar yang lebih tinggi lagi dengan mudah, dalam usaha Trump memberi tekanan kepada negara itu.

Berikut adalah lima tema utama yang bakal mempengaruhi lanskap pasaran dunia sepanjang minggu ini.

1. Perdana Menteri UK Letak Jawatan

Theresa May menjadi Perdana Menteri UK pada tahun 2016 dengan satu matlamat besar, iaitu membawa Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (EU). Sejak daripada itu, usaha rundingan dimulakan walaupun berhadapan dengan banyak halangan untuk mendapatkan perjanjian yang memihak kepada UK. Walaubagaimanapun, Theresa berjaya mencapai kata putus dengan pihak EU tetapi ditentang oleh majoriti ahli Parlimen UK yang mana beberapa kali menolak perjanjian tersebut dalam undian di Parlimen.

Terbaru, May mengumumkan perletakan jawatannya yang berkuatkuasa pada 7 Jun selepas berdepan tekanan daripada parti pimpinannya, Parti Konservatif dan pihak pembangkang yang mendesak pengunduran beliau.

Persoalan ketika ini adalah siapakah penggantinya? Dan adakah Perdana Menteri baru mampu mendapatkan perjanjian yang lebih baik atau pun membawa UK keluar dari EU tanpa sebarang perjanjian?

Setakat ini, Boris Johnson adalah calon kegemaran untuk menggantikan Theresa May. Risiko terhadap Brexit dan juga pasaran UK datang daripada potensi pilihanraya umum yang baru akan merisikokan lagi perjanjian UK-EU.

Theresa May akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga pemimpin baru dipilih daripada kalangan ahli Parlimen Parti Konservatif.

2. Perang Perdagangan Amerika Syarikat-China

Perang perdagangan di antara AS dan China telah melangkau daripada sekadar serangan tarif, kepada persaingan untuk mengawal teknologi global. Umum telah maklum, Amerika Syarikat telah menghalang syarikat-syarikat AS daripada berurusan dengan gergasi telekominikasi China, Huawei. Disebabkan hal ini, saham global terutamanya sektor teknologi mengalami tekanan.

Kebarangkalian kejatuhan gergasi China itu telah memberi kesan kepada syarikat Eropah seperti AMS dan STMicroelectronics. Saham syarikat semikonduktor Taiwan, yang meraih pendapatan 11% daripada Huawei turut merudum. Penganalisis pasaran melihat Nokia dan Ericsson bakal mendapat faedah daripada tindakan terbaru kerajaan AS terhadap Huawei.

Walaubagaimanapun, terdapat harapan terhadap Huawei di mana pasaran melihat ia hanya satu tekanan oleh AS terhadap China, bagi memaksa China menerima terma perdagangan Trump. Halangan terhadap Huawei dijangka akan dibatalkan jika China bersetuju dengan kehendak Amerika Syarikat.

3. Data Ekonomi Terkini

China akan mengeluarkan data rasmi PMI (Purchasing Managers’ Index) bulan Mei pada Jumaat (31 Mei 2019) ini dan pasaran akan meneliti data ini untuk melihat impak perang perdagangan terhadap ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Amerika Syarikat pula akan mengeluarkan data perbelanjaan pengguna dan juga data inflasi pilihan utama Federal Reserve. Data perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) jatuh kepada paras 1.6% pada bulan Mac, satu bacaan yang mengecewakan pasaran.

Bank pusat Kanada (BoC) pula akan mengumumkan dasar monetari terkini pada hari Rabu (29 Mei 2019) pada pukul 10 malam. BoC telah mengurangkan sedikit kecenderungannya untuk mengetatkan dasar, tetapi pasaran pekerjaan terus melonjak dan berkemungkinan menolak kadar faedah lebih tinggi. BoC dijangka mengekalkan kadar faedah pada paras 1.75%.

4. Amaran Terhadap Yuan

Regulator perbankan China, Guo Shuqing memberi amaran kepada spekulator terhadap tindakan menjual matawang Yuan dengan mengatakan mereka berkemungkinan berhadapan kerugian yang besar. Hal ini dinyatakan beliau pada hari Sabtu (25 Mei 2019) yang lalu.

Nampaknya amaran oleh Shuqing itu mendapat perhatian pelabur, di mana Yuan dibuka lebih tinggi berbanding Dolar AS pada hari Isnin (27 Mei 2019). Walaubagaimanapun Yuan kehilangan sebahagian besar kenaikan itu, selepas data keuntungan perindustrian mencatat kejatuhan paling tinggi sejak hampir empat tahun lalu.

Kejatuhan pendapatan syarikat China adalah di antara sebab utama penganalisis berpendapat Beijing berkemungkinan membiarkan Yuan melemah bagi menyerap impak tarif oleh Amerika Syarikat.

5. Bitcoin Melonjak ke Paras Tertinggi

Harga Bitcoin melonjak hampir 10% ke paras tertinggi setahun yang lalu. Matawang digital terbesar itu mencapai harga $8,953 sebelum jatuh sedikit daripada paras tersebut. Bitcoin membuat kenaikan sejak tujuh hari lepas dengan kenaikan 70% direkodkan sejak sebulan yang lalu.

Bukan Bitcoin sahaja, matawang digital teratas yang lain juga membuat lonjakan seperti EOS, Ethereum (ETH), Ripple (XRP) dan Litecoin (LTC) dengan masing-masing naik di antara 5% ke 6%.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend