Lima Tumpuan Utama Pelabur Dalam dan Luar Negara Minggu Ini (8-12 Julai 2019)

Pasaran Wall Street ditutup lebih rendah pada akhir dagangan minggu lalu berikutan kerugian yang dicatatkan oleh kaunter-kaunter kesihatan dan barangan pengguna. Pada penutupan hari Jumaat, Dow Jones Industrial Average (DJIA) susut 0.16%, S&P 500 jatuh 0.18% manakala Nasdaq pula ditutup 0.10% lebih rendah.

Kejatuhan di Wall Street berlaku selepas laporan data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) Non-Farm Payroll (NFP) yang memberangsangkan. Data NFP yang dikeluarkan pada pukul 8.30 malam adalah di luar jangkaan pelabur, apabila merekodkan bacaan yang baik dengan tambahan pekerjaan di Amerika Syarikat melebihi jangkaan penganalisa.

Satu lagi data pekerjaan yang menjadi tumpuan Federal Reserve (The Fed) iaitu purata gaji per jam (Average Hourly Earnings) pula melebihi daripada jangkaan sekaligus mengurangkan potensi untuk The Fed menurunkan kadar faedah pada mesyuarat bulan ini.

Harapan yang kian pudar untuk Fed menurunkan kadar faedahnya sekaligus memangkin kenaikan Dolar AS dan memberi tekanan kepada emas.

Selepas laporan data NFP, pasaran hadapan menunjukkan potensi penurunan kadar faedah berkurang sebanyak 50% kepada 25 mata asas daripada 50 mata asas sebelum ini.

Dalam pasaran domestik, Bank Negara Malaysia (BNM) akan bermesyuarat pada hari Selasa (9 Julai 2019) bagi menetapkan dasar monetari semasa di Malaysia.

Berikut adalah lima tema utama yang bakal menjadi perhatian pelabur global dan tempatan pada minggu ini.

1. Rundingan Amerika Syarikat dan China Disambung

Isu perang perdagangan di antara AS-China kurang menimbulkan ketidaktentuan buat masa ini, apabila Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping bersetuju untuk menyambung rundingan pada minggu lalu. Hal ini sekaligus telah memangkin pasaran saham Wall Street ke paras tertinggi pada pertengahan minggu lalu.

Untuk saham meneruskan momentum kenaikannya, para pelabur memerlukan lebih banyak rangsangan kewangan untuk terus membeli saham. Oleh itu, mereka dilihat sedang menunggu pemotongan kadar faedah dan Wall Street dijangka tertekan dari paras tertinggi jika kadar faedah dikekalkan dalam mesyuarat The Fed bulan ini.

Perlunya perkembangan yang lebih positif dalam rundingan di antara AS-China untuk saham Wall Street mengekalkan kedudukannya di paras tertinggi. Sudah tentu apa yang berlaku di dalam pasaran saham Amerika Syarikat akan mempengaruhi pasaran-pasaran lain di seluruh dunia.

2. Keterangan Powell di Kongres Amerika Syarikat

Di antara peristiwa yang akan menjadi tumpuan pelabur pada minggu ini adalah pada hari Rabu (10 Julai 2019) di mana Pengerusi The Fed, Jerome Powell akan memberi keterangan di House of Representative di Kongres Amerika Syarikat. Ini adalah keterangan setiap enam bulan sekali oleh Pengerusi The Fed yang akan berhadapan dengan soalan-soalan daripada Majlis Perkhidmatan Kewangan.

Sejak akhir-akhir ini, Presiden Trump sering mengkritik Pengerusi The Fed yang dipilih beliau sendiri kerana kurang memberi rangsangan kepada pasaran. The Fed di bawah Powell kekal bebas dan tidak mudah terpengaruh dengan politik yang menekan mereka agar meloggarkan dasar monetari.

Walaubagaimanapun, pendirian The Fed bakal terganggu kerana terdapat ura-ura White House ingin melantik dua orang ahli baru The Fed yang dikatakan ‘super dovish’.

3. Data Perdagangan China

Data perdagangan China bagi bulan Jun akan dikeluarkan pada hari Jumaat (12 Julai 2019) yang dapat menunjukkan beberapa isyarat tentang keadaan semasa perdagangan global selepas pertelagahan di antara AS-China dalam sektor teknologi baru-baru ini.

Selain daripada itu, bacaan pelaburan, pemberian pinjaman oleh bank dan data jualan runcit; juga akan dikeluarkan pada minggu ini.

4. Penetapan Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM)

Menurut tinjauan yang dijalankan oleh agensi berita Bloomberg, BNM dijangka akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras 3%. BNM sebelum ini telah memotong OPR sebanyak 25 mata asas daripada 3.25% pada 7 Mei 2019, iaitu penurunan pertama sejak Julai 2016.

Dalam kenyataan rasmi yang disampaikan pada Mei, BNM menyatakan risiko dan ketidaktentuan dari luar negara, ketegangan perdagangan dan keadaan di dalam negara telah menyebabkan kelemahan dalam sektor berkaitan komoditi.

BNM pada bulan Mac yang lalu telah menurunkan jangkaan terhadap pertumbuhan ekonomi pada tahun ini di antara 4.3% dan 4.8%, daripada 4.9% berikutan jangkaan terhadap kejatuhan eksport. Data eksport pada minggu lalu menunjukkan bacaan eksport pada Mei kekal berkembang pada kadar 2.5% secara tahunan, namun jauh meleset daripada jangkaan Reuters sebanyak 3.6%.

5. Laporan Kewangan Digi Suku Kedua 2019

Syarikat telekomunikasi Digi.Com Berhad dijangka akan mengumumkan kedudukan kewangannya untuk suku kedua 2019 pada hari Jumaat (12 Julai 2019). Ia akan diperhatikan secara teliti oleh pelabur selepas pesaingnya Axiata Group Berhad cuba untuk bergabung dengan pemegang saham terbesar Digi iaitu Telenor Group.

Penggabungan kedua-dua entiti itu akan menjadikan ia sebuah entiti telekomunikasi terbesar di Malaysia. Digi pada suku pertama tahun ini bermula dengan lemah apabila keuntungan bersihnya jatuh sebanyak 11.6% kepada RM341.5 juta.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kerajaan Baharu Argentina Harap Projek LNG Dengan Petronas Akan Diteruskan – Mondino

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) — Kerajaan baharu Argentina berharap projek gas asli cecair (LNG) bersama yang bernilai berbilion dolar dengan syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas, akan diteruskan.

“Kami berharap dapat memberikan semua jaminan yang diperlukan untuk pelaburan ini diteruskan,” kata Menteri Luar, Perdagangan Antarabangsa dan Ibadat Argentina Diana Mondino kepada Bernama.

Mondino, yang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi sulungnya, dijangka mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Petronas pada Isnin 18 Mac, 2024 untuk membincangkan aktiviti Petronas di Argentina.

Pada 1 Sept, 2022 Petronas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat minyak dan gas bersepadu terbesar Argentina, YPF, untuk meneruskan kerjasama di negara Amerika Selatan itu dalam projek LNG bersepadu serta bidang lain termasuk minyak huluan, petrokimia dan penyelesaian tenaga bersih.

Selain MoU itu, YPF dan entiti operasi Petronas di Argentina, Petronas E&P Argentina S.A., memeterai perjanjian kajian dan pembangunan bersama ke arah pelaksanaan kajian dan pembangunan potensi projek LNG Bersepadu Argentina.

Perkara itu akan merangkumi pengeluaran gas huluan khusus, pembangunan saluran paip dan infrastruktur khusus, pengeluaran LNG serta pemasaran dan penghantaran.

Keputusan pelaburan akhir (FID) untuk projek itu akan dilaksanakan selepas penilaian teknikal dan komersial yang teliti dijalankan, disokong oleh terma, perundangan dan dasar fiskal yang kondusif.

Pakatan strategik Petronas dengan YPF bermula pada 2014 melalui perkongsiannya dalam projek La Amarga Chica, Vaca Muerta, sebagai sebahagian daripada aspirasi pertumbuhannya di benua Amerika.

Mondino berkata negara itu boleh mengeksport banyak produk gas dan minyak ke peringkat dunia.

“Argentina boleh mengeksport banyak gas kepada dunia namun kami belum mempunyai teknologi untuk mencairkan gas dan pengangkutan…bukan di tahap yang sepatutnya.

“Banyak perubahan politik berlaku di negara saya dan kini, kami jauh lebih pantas. Sebenarnya, perkara ini boleh bermula bertahun-tahun yang lepas namun tidak berlaku. Kami akan memajukan pelaburan seperti ini,” katanya.

Dilaporkan pada 13 Mac, 2024 YPF dan Petronas telah membuat penangguhan selama setahun untuk memuktamadkan FID bagi fasa pertama projek itu.

— BERNAMA