Risiko Pasaran Global Menyebabkan Matawang YEN Melonjak? Ini Punca Yang Anda Mungkin Tak Pernah Tahu

Ketidaktentuan (uncertainty) dan risiko dalam pasaran kewangan biasanya dapat disedari melalui beberapa isyarat. Salah satunya adalah lonjakan atau kenaikan mendadak matawang Yen.

Di antara contoh ketidaktentuan dalam pasaran termasuklah kejatuhan pasaran saham, krisis politik, geopolitik dan bencana alam.

Safe-haven sering menghiasi tajuk utama berita apabila berlakunya risiko dalam pasaran yang menunjukkan peralihan pelabur kepada aset selamat. Safe-haven di sini bermaksud pelaburan yang dapat mengekalkan atau meningkatkan nilai dana pelaburan semasa pasaran dalam keadaan berisiko, contohnya semasa kejatuhan besar pasaran saham.

Aset safe-haven di antaranya adalah Emas, Dolar AS, Yen, Swiss Franc dan juga bon kerajaan AS. Ya, Dolar Amerika juga termasuk dalam aset jenis ini kerana kecairan yang tinggi dalam pasaran global dan juga statusnya sebagai rizab matawang utama dunia.

Emas menjadi pilihan kerana sifatnya sebagai penyimpan nilai (value retainer) dan sebagai melawan inflasi, manakala Swiss Franc kerana pasaran kewangan negara Switzerland yang stabil. Bon kerajaan AS pula menjadi pilihan kerana ia dijamin oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Korelasi Kejatuhan Saham Global Dengan Aset Safe-Haven

Tempoh suku ketiga 2018 sehingga masuknya tahun 2019, bukan sahaja Yen yang melonjak tetapi beberapa tanda amaran lain juga wujud yang membuktikan kita kini memasuki tahun yang volatile (tidak menentu). Hasil-bon (US10 Year Yield) telah menjunam, harga emas melonjak, keadaan kewangan Amerika Syarikat pula semakin ketat.

Korelasi pasaran melibatkan indeks saham dan asset safe-haven. Sumber: Investing.com

Carta di atas menunjukkan pergerakan aset yang boleh kita kaitkan semasa kejatuhan pasaran saham pada akhir tahun 2018. Terdapat empat carta termasuk Indeks Dow Jones (Merah), pasangan matawang USD/JPY (Hijau), Hasil-bon 10 tahun kerajaan AS (US10-Year Yield) dan harga emas.

Kejatuhan pasaran jelas kita lihat dalam indeks Dow Jones sejak Oktober hingga ke penghujung Disember 2018.Hal ini menyebabkan peningkatan permintaan aset safe-haven dengan kenaikan Yen, penurunan Hasil-bon dan lonjakan harga emas dalam tempoh sama. 

Jepun Jadi Pilihan Meminjam Wang Bagi Tujuan Carry-Trade

Faktor pemilihan Yen sebagai aset safe-haven oleh pelabur-pelabur adalah satu subjek yang telah lama diperdebatkan oleh golongan akademik dan penganalisis. Di antara yang menjadi isunya adalah, sama ada aset itu sememangnya safe-haven atau disebabkan oleh faktor carry-trade yang menyebabkan ia mengukuh semasa berlakunya krisis.

Pada masa pasaran bergerak stabil (Risk-on atau tidak berisiko), biasanya carry-trade akan memainkan peranan penting. Carry trade bermaksud tindakan pelabur meminjam wang dari negara yang mempunyai kadar faedah rendah dan melaburkannya semula kepada aset yang boleh memberikan hasil tinggi.

Dalam konteks matawang Yen, carry-trade di sini bermaksud tindakan pelabur Jepun membawa wang mereka untuk dilaburkan ke luar negara dalam usaha mencari kadar keuntungan yang lebih tinggi, kerana faktor kadar faedah yang rendah di Jepun. Untuk rekod kadar faedah bank pusat Jepun adalah di paras negatif 0.10 peratus.

Kadar faedah Bank of Japan. Sumber: TRADINGECONOMICS.COM

Jepun biasanya menjadi pilihan pelabur untuk meminjam wang kerana paras kadar faedah yang rendah. Semasa Risk-Off (pasaran berisiko) carry-trade tadi bergerak sebaliknya, di mana dana-dana pelaburan tadi dibawa masuk semula ke Jepun seterusnya menyebabkan pengukuhan Yen. 

Risk-On Risk-Off, Punca Naik-Turun Matawang Yen

Betapa banyaknya wang pelaburan dari Jepun di pasaran asing telah dibuktikan dengan data yang dikeluarkan oleh Morgan Stanley. Ianya mendakwa portfolio pelabur Jepun di Amerika Syarikat telah meningkat dua kali ganda sejak 15 tahun lalu kepada US$1.25 trilion.

Pegangan tersebut telah meningkat lebih daripada US$400 billion sejak tahun 2011 yang majoritinya dalam aset berisiko. Disebabkan jumlah dana yang banyak, matawang Yen selalunya melonjak apabila terdapat risiko dalam pasaran berikutan permintaan yang tinggi daripada pelabur Jepun itu sendiri.

Bagi memahami pengukuhan Yen dengan lebih baik, kita akan cuba kaitkan situasi pelaburan oleh pelabur Jepun dengan aliran modal keluar dan masuk ke Jepun serta permintaan dan penawaran wang.

Ketika Risk-On, pelabur Jepun akan membawa dana mereka untuk dilaburkan ke negara luar menyebabkan matawang Jepun perlu ditawarkan atau dijual untuk mendapatkan matawang asing. Sebagai contoh, jika pelabur ingin melabur di Amerika Syarikat, Yen perlu ditukarkan kepada Dolar AS terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaburkan di negara itu. Ini menyebabkan menyebabkan penawaran Yen meningkat seterusnya menyebabkan nilainya menurun.

Begitu juga sebaliknya, apabila berlaku ketidaktentuan dalam pasaran Risk-Off, pelabur Jepun tadi akan membawa semula dana-dana pelaburan mereka semula ke Jepun. Sebelum itu, dana tersebut yang kini dalam nilai Dolar AS akan ditukarkan semula kepada Yen dan menjadikan permintaan matawang Yen meningkat sekaligus menyebabkan nilainya melonjak.

Kenapa pelabur Jepun pantas membawa semula dana mereka dari luar masuk semula ke dalam negara?

Ini terbukti semasa kejadian tsunami besar pada tahun 2011 di Fukushima. Satu sifat yang baik di kalangan rakyat Jepun adalah semangat tolong-menolong yang tinggi semasa keadaan berisiko atau  bencana di negara mereka.

Oleh yang demikian, apabila berlakunya bencana seperti tsunami, dana-dana pelaburan di luar negara dibawa masuk semula ke Jepun untuk digunakan bagi membantu aktivti menyelamat atau pemulihan ekonomi. Ini menjadikan permintaan matawang Yen meningkat.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pedagang runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini menjadi seorang penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kerajaan Baharu Argentina Harap Projek LNG Dengan Petronas Akan Diteruskan – Mondino

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) — Kerajaan baharu Argentina berharap projek gas asli cecair (LNG) bersama yang bernilai berbilion dolar dengan syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas, akan diteruskan.

“Kami berharap dapat memberikan semua jaminan yang diperlukan untuk pelaburan ini diteruskan,” kata Menteri Luar, Perdagangan Antarabangsa dan Ibadat Argentina Diana Mondino kepada Bernama.

Mondino, yang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi sulungnya, dijangka mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Petronas pada Isnin 18 Mac, 2024 untuk membincangkan aktiviti Petronas di Argentina.

Pada 1 Sept, 2022 Petronas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat minyak dan gas bersepadu terbesar Argentina, YPF, untuk meneruskan kerjasama di negara Amerika Selatan itu dalam projek LNG bersepadu serta bidang lain termasuk minyak huluan, petrokimia dan penyelesaian tenaga bersih.

Selain MoU itu, YPF dan entiti operasi Petronas di Argentina, Petronas E&P Argentina S.A., memeterai perjanjian kajian dan pembangunan bersama ke arah pelaksanaan kajian dan pembangunan potensi projek LNG Bersepadu Argentina.

Perkara itu akan merangkumi pengeluaran gas huluan khusus, pembangunan saluran paip dan infrastruktur khusus, pengeluaran LNG serta pemasaran dan penghantaran.

Keputusan pelaburan akhir (FID) untuk projek itu akan dilaksanakan selepas penilaian teknikal dan komersial yang teliti dijalankan, disokong oleh terma, perundangan dan dasar fiskal yang kondusif.

Pakatan strategik Petronas dengan YPF bermula pada 2014 melalui perkongsiannya dalam projek La Amarga Chica, Vaca Muerta, sebagai sebahagian daripada aspirasi pertumbuhannya di benua Amerika.

Mondino berkata negara itu boleh mengeksport banyak produk gas dan minyak ke peringkat dunia.

“Argentina boleh mengeksport banyak gas kepada dunia namun kami belum mempunyai teknologi untuk mencairkan gas dan pengangkutan…bukan di tahap yang sepatutnya.

“Banyak perubahan politik berlaku di negara saya dan kini, kami jauh lebih pantas. Sebenarnya, perkara ini boleh bermula bertahun-tahun yang lepas namun tidak berlaku. Kami akan memajukan pelaburan seperti ini,” katanya.

Dilaporkan pada 13 Mac, 2024 YPF dan Petronas telah membuat penangguhan selama setahun untuk memuktamadkan FID bagi fasa pertama projek itu.

— BERNAMA