Satu Lagi Minggu Penting Pasaran Global, Ini Empat Tumpuan Utama Pelabur

Pasaran saham global memulakan dagangan minggu ini dengan penurunan pada hari Isnin 28 Januari 2019, di mana indeks Asia hingga ke Eropah terkesan oleh kebimbangan terhadap ekonomi China. Pelabur Asia bimbang dengan kejatuhan dua bulan berturut-turut terhadap keuntungan syarikat perindustrian di China seperti yang dilaporkan.

Data menunjukkan aktiviti yang semakin perlahan dengan kejatuhan tempahan barangan, tawaran pekerjaan dan juga penutupan kilang disebabkan perang perdagangan dua kuasa ekonomi dunia iaitu Amerika Syarikat dan China.

Di antara tumpuan utama pada minggu ini adalah rundingan pusingan kedua Amerika Syarikat-China dan penetapan dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (The Federal Reserve). Selain daripada penetapan dasar oleh The Fed, pasaran Eropah akan menumpukan perhatian kepada satu lagi undian di Parlimen Britain. Ini adalah undian ketiga dalam tempoh kurang daripada sebulan dalam mencari kata putus perjanjian keluar UK dari Kesatuan Eropah (EU).

Berikut adalah empat tumpuan utama pasaran pada minggu ini yang anda perlu tahu.

#1 Penetapan Dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat

Rizab Persekutuan Amerika Syarikat minggu ini akan mengadakan mesyuarat pertamanya untuk tahun 2019 selepas menaikkan kadar faedah pada bulan Disember yang lalu. Pasaran berpendapat di antara faktor kejatuhan pasaran saham Wall Street pada penghujung 2018 adalah disebabkan tindakan bank pusat AS itu yang menaikkan kadar faedah dengan pantas sebanyak empat kali pada 2018.

Pasaran bimbang dengan kadar faedah yang tinggi akan menyukarkan perniagaan mendapatkan pinjaman pada kos yang lebih rendah.

Bagi tahun 2019, bank pusat ini meramalkan dua lagi kenaikan kadar faedah dengan keadaan pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan ketidaktentuan politik global. Ramalan dua kali kenaikan kadar ini merosot daripada unjuran awal empat kali kenaikan untuk tahun 2019, sekaligus melegakan pasaran dengan kos pinjaman yang kekal pada paras semasa.

Pengerusi The Fed Jerome Powell baru-baru ini mengatakan bank pusat itu boleh bersabar dengan pengetatan dasar dan disokong oleh ahli-ahli bank pusat yang lain.

Pengumuman dasar akan dibuat pada pagi Khamis pukul 3 pagi waktu Malaysia.

#2 Rundingan Pusingan Kedua Amerika Syarikat dan China

Perdana Menteri China Liu He akan melawat Amerika Syarikat pada hari Rabu 30 Januari 2019, bersama dengan 30 ahli delegasi bagi mencari penyelesaian perang perdagangan yang berlangsung sejak setahun lalu. Pasaran masih berharap masalah tarif perdagangan dapat diselesaikan walaupun seorang daripada penasihat ekonomi Trump mengatakan keuda-dua negara masih jauh daripada mencapai persetujuan.

Kebimbangan terhadap aktiviti ekonomi yang semakin perlahan di China semakin meningkat, apabila International Monetary Fund (IMF) memotong ramalan pertumbuhan ekonomi negara itu pada minggu lalu. IMF turut memberi amaran bahawa kegagalan untuk menyelesaikan perang perdagangan akan terus memburukkan ekonomi global.

Oleh itu, tumpuan minggu ini juga akan terarah kepada rundingan pusingan kedua AS-China yang berlangsung pada Rabu dan Khamis di Amerika Syarikat. 

#3 Satu Lagi Undian Brexit Parlimen UK

Satu lagi undian akan dibuat oleh ahli Parlimen UK pada minggu ini, iaitu hari Rabu 30 Januari 2019 yang akan mendebatkan ‘rancangan alternatif Brexit’ Theresa May. Sebelum ini perancangan Brexit (Plan A) Perdana Menteri telah ditolak oleh parlimen pada minggu lalu dengan margin undian yang terbesar dalam sejarah kerajaan UK.

Fokus juga terarah kepada bagaimana Parlimen mengelakkan UK daripada tidak mendapat sebarang perjanjian, iaitu satu senario di mana UK tidak mendapat perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU).

Halangan besar kepada cadangan perjanjian Brexit Theresa May ketika ini adalah sempadan Ireland, di mana beliau dan EU percaya sempadan fizikal di antara Ireland dan Ireland Utara akan membawa kepada ketidakstabilan di kedua-dua wilayah. Majoriti penyokong Brexit daripada parti Konservatif sendiri bimbang UK masih terikat dengan undang-undang Kesatuan Eropah jika sempadan terus dibuka tanpa sempadan fizikal.

Isu ini akan terus mencorakkan pergerakan pasaran kewangan di Britain sekurang-kurangnya setahun lagi selagi tiada kata putus daripada kedua-dua pihak.

#4 Laporan Pendapatan Sektor Teknologi Wall Street

Laporan pendapatan di Wall Street akan menjadi di antara agenda utama pada minggu ini dengan pasaran menantikan laporan oleh syarikat Apple pada hari Selasa 29 Januari 2019 dan Microsoft pada hari Rabu 30 Januari 2019. Kedua-dua laporan pendapatan syarikat ini sangat penting untuk mengukur keadaan perniagaan teknologi global, khususnya selepas kemerosotan yang dicatat pada akhir tahun 2018.

Turut menjadi tumpuan adalah laporan pendapatan oleh syarikat Caterpillar Inc. yang dikeluarkan pada hari Isnin. Caterpillar adalah sebuah syarikat pembuatan, pembinaan dan juga mengeluarkan peralatan penggerudian, enjin diesel dan gas semulajadi. Oleh itu, para pelabur menjadikan ia salah satu petunjuk ekonomi penting dalam melihat keadaan aktiviti perdagangan global. Saham Caterpillar jatuh pada hari Isnin, apabila laporan pendapatan suku keempat meleset daripada jangkaan penganalisis.

Aktiviti ekonomi yang semakin perlahan di China adalah risiko besar kepada syarikat-syarikat perdagangan global berikutan perang perdagangan AS-China sejak setahun yang lalu.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pedagang runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend