Yield Curve Inversion atau Penyongsangan Kadar Hasil – Petanda Kemelesetan Ekonomi?

Jumaat lepas (22 Mac 2019) pasaran global dikejutkan dengan Yield Curve Inversion atau Penyongsangan Kadar Hasil sehingga menyebabkan kejatuhan pasaran saham Wall Street yang agak besar. Tetapi apakah sebenarnya yang berlaku, dan adakah ianya merupakan petanda kemelesetan ekonomi yang bakal tiba tak lama lagi?

Jom kita dengarkan kupasan menarik daripada Tuan Razali Razman, seorang Perancang Kewangan Islam (IFP), penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit berkenaan isu ini.

Tiada Kenaikan Kadar Faedah Di Amerika Syarikat Bagi Tahun 2019

Baru-baru ini terdapat dua perkembangan penting di AS. Rizab Persekutuan AS (Fed) telah mengumumkan bahawa tiada kenaikan kadar faedah dirancang pada tahun ini.  Langkah ini merupakan perubahan ketara daripada 3 kenaikan yang dirancang pada tahun lepas untuk tahun 2019.

Perkembangan penting kedua ialah Yield Curve Inversion atau Penyongsangan Kadar Hasil, iaitu keadaan di mana kadar hasil (yield) bon perbendaharaan AS (bon kerajaan AS) menjadi lebih tinggi bagi bon yang matang dalam 3 bulan, berbanding bon 10 tahun.  Perkara ini jarang berlaku kerana lazimnya bon jangka panjang mempunyai kadar hasil yang lebih tinggi.

Kembali kepada situasi pertama mengenai kadar faedah. Langkah Fed ini sepatutnya positif kepada pasaran kerana kadar lebih rendah (dan kos hutang lebih rendah) lazimnya lebih positif bagi perniagaan.

Tetapi perubahan pandangan Fed, daripada menaikkan kadar kepada mengekalkan kadar, menandakan salah satu atau kedua-dua perkara berikut:

  1. Ketiadaan inflasi
  2. Pertumbuhan ekonomi global dan AS semakin terjejas.

Kedua-duanya bukan faktor yang begitu positif.

Mengenai perkembangan kedua, iaitu Yield Curve Inversion atau Penyongsangan Kadar Hasil.  Kali terakhir perkara ini berlaku, seperti dalam graf ialah pada 2007.  Dalam tempoh 50 tahun lepas, hampir setiap kali kadar hasil menyongsang, kemelesetan berlaku di AS dalam tempoh 12 – 24 bulan, kecuali sekali.

Kadar Hasil Bon 10 Tahun Amerika Syarikat – Bon 3 Bulan

Dipetik daripada laman Market Watch

Kelemesetan tidak semestinya berlaku di Amerika Syarikat, kerana mungkin kali ini keadaan berbeza dan situasi juga bergantung kepada pelbagai indikator ekonomi lain, tetapi kita sebagai pelabur yang dipengaruhi keadaan global perlu memantau perkara ini.

Keadaan di Amerika Syarikat mungkin mempengaruhi Malaysia, tetapi terdapat kebarangkalian juga bahawa pada masa berlaku kemelesetan di Amerika Syarikat, situasi ekonomi Malaysia pula sudah kembali kukuh.

Jadi perkembangan global seperti ini penting untuk menentukan bila untuk melabur di Malaysia dan bila untuk melabur di Amerika Syarikat atau di peringkat global, khususnya bagi pelabur global, memandangkan dalam dunia masa kini pelabur kecil sekali pun berpeluang untuk melabur di pasaran AS.

Untuk bacaan lanjut untuk memahami Penyongsangan Kadar Hasil atau Yield Curve Inversion

  1. Artikel di Marketwatch
  2. Artikel di Reuters
  3. Artikel di Forbes

Sumber: Rencana Ringgit

Tiga Lagi Faktor Penting Yang Bakal Menentukan Halatuju Saham Global Minggu Ini

Selain daripada petanda yang tak baik Yield Curve Inversion atau Penyongsangan Kadar Hasil di atas, ada tiga lagi faktor yang bakal menentukan halatuju pasaran saham global iaitu:

  • Data Pertumbuhan Ekonomi Amerika Syarikat Suku Keempat
  • Perkembangan Drama Brexit
  • Rundingan Perdagangan Amerika Syarikat-China

Boleh baca lebih lanjut mengenainya di Empat Tumpuan Utama Pasaran Saham Global Pada Minggu Ini (25-29 Mac 2019).

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend