Saham GHL Systems Bhd Dah Naik Lebih 100% Dalam Masa Setahun

Majoriti rakyat Malaysia sudah pastinya mempunyai kad debit atau kad kredit kan? Dengan kemudahan yang ada ini, kita tidak perlu lagi membawa sejumlah wang yang besar apabila keluar berjalan-jalan dan berbelanja.

Kurang jugalah risiko kita menjadi sasaran mat ragut atau kaki pukau apabila ‘withdraw’ duit yang banyak daripada mesin ATM.

Jom kita berkenalan pula dengan GHL Systems Bhd, syarikat Malaysia yang merupakan pembekal penyelesaian bayaran terkemuka di rantau ini, terkenal dengan infrastruktur, teknologi dan perkhidmatan yang bertaraf dunia. Saham mereka tersenarai sebagai saham patuh syariah di Bursa Malaysia.

GHL Systems Bhd menyediakan penyelesaian pembayaran ‘end-to-end’ yang meliputi bayaran maya dan fizikal secara sewa atau beli. Ini termasuklah terminal Electronic Data Capture (EDC) yang patuh kepada platform Europay-Mastercard-Visa (EMV), pembaca tanpa sentuh, router akses rangkaian, dan gerbang pembayaran atas talian.

Paling mudah nak faham, mesin terminal semasa kita swipe kad debit atau kad kredit tu merekalah antara syarikat penyedianya.

Setiap transaksi yang kita buat bererti ‘duit masyuuk’ kepada syarikat penyedia seperti GHL Systems (komisen dibayar oleh pihak bank).

Biasa beli topup prepaid dekat 7-Eleven, KK Mart atau petrol stesen? Kalau ya, mesti akan perasan logo e-Pay ni kan? Kalau nak tahu e-pay (M) Sdn. Bhd adalah anak syarikat GHL Systems.

GHL Systems Bhd kini telah mengembangkan sayapnya ke Thailand, Filipina, Singapura, China, Taiwan, Australia, Romania, Belanda dan juga Timur Tengah.

Kedatangan Alibaba dan AliPay

Masih ingat dalam bulan Mac 2017, YAB Perdana Menteri telah melancarkan Digital Free Trade Zone (DFTZ). Boleh google kembali bagi mereka yang tidak ingat – AliBaba akan menggunakan Malaysia sebagai hub e-dagang di rantau Asia Tenggara. Semasa itu antara saham yang menerima tempias adalah Pos Malaysia Berhad, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) & GHL Systems Bhd.

Kami juga ada berkongsi berkenaan perkembangan ini dalam artikel Kedatangan Jack Ma Dan Kesannya Kepada Malaysia Sempena Digital Free Trade Zone (DFTZ).

Kemudian keluar pula berita GHL Systems bekerjasama dengan AliPay (anak syarikat Alibaba Group) untuk menyediakan kemudahan pembayaran alternatif kepada rangkaian kedai dan e-commerce. Ia merupakan kemudahan dompet mudah alih @ mobile wallet bagi memudahkan pembayaran, sepertimana kita guna kad kredit atau kad debit.

Saham GHL meroket semasa keluarnya berita ini. Rujuk gambarajah di bawah.

Menurut laporan The Star, di antara tempat yang boleh menggunakan AliPay adalah KK Super Mart, myNEWS.com, Orange Convenient Stores, Crocs, Leather Avenue and Wah Lee Electrical.

Menjelang suku tahun ketiga 2017 pula, AliPay dijangka akan diterima di sekurang-kurangnya 1,000 lokasi di seluruh Malaysia, termasuk rangkaian kedai, restoran, hotel dan kedai-kedai lain.

Menggalakkan Pelancong Daripada China Untuk Berbelanja

Salah satu sebab pilihan pembayaran menerusi AliPay ini bakal menguntungkan industri pelancongan negara, adalah dengan memudahkan ramai pelancong daripada negara China untuk berbelanja. Kiranya, kita memudahkan mereka untuk berbelanja; sudah pasti mereka ini akan berbelanja lebih banyak apabila berada di Malaysia.

Ekonomi Bakal Memihak Kepada FinTech

Anda pernah dengar apa itu FinTech? Kalau tak tahu, sila baca Apa itu FinTech dan Masa Depan FinTech di Malaysia terlebih dahulu. Secara ringkasnya, ia akan memudahkan urusan pembayaran secara digital (bayangkan juga kita boleh bayaran hanya guna smartphone).

Dengan adanya perkhidmatan seperti Kewangan Digital (Peer-to-Peer dan Crowdfunding) & Pelaburan Digital (Robo Advisors, Low Cost Trading Platforms), semuanya boleh dibuat sendiri oleh orang awam. Kelebihannya pula, kos untuk meminjam, membuat bayaran, melabur dan apa-apa transaksi digital lain akan menjadi lebih rendah berbanding transaksi tradisional melalui bank.

Memandangkan GHL Systems Bhd merupakan syarikat yang terkenal di rantau Asia Tenggara, agak-agak syarikat mana yang akan ‘dipanggil’ untuk membuat integrasi sistem atau menjadi pembekal penyedia perkhidmatan untuk FinTech?

Analisa Saham Syarikat GHL Systems Bhd

Sumber: Bursamarketplace.com

Sumber: Laporan Kewangan Tahunan

Pendapatan / Revenue syarikat :

2014 – RM164 juta
2015 – RM211 juta
2016 – RM245 juta

Kalau berdasarkan kepada Fundamental Analysis & Technical Analysis, kedua-duanya memang cukup bagus. Peningkatan harga saham daripada setahun ke setahun, disokong dengan perolehan dan keuntungan syarikat yang bertambah saban tahun; boleh dikatakan bahawa pergerakan harga saham GHL Systems Bhd sedang berada dalam fasa uptrend.

Kalau nak tahu antara “jerung” yang melabur dalam saham GHL Systems adalah KWSP dan Public Mutual Bhd.

Kalau kita beli saham GHL Systems setahun yang lalu (harga RM0.82), hari ini jual (harga RM1.77) maka kita dah untung lebih 100%. Kalau kita beli saham tersebut 5 tahun yang lalu, hari ini jual dah untung 577%!

Semuanya “kalau” beli…

Persoalannya sekarang, dah buka akaun saham (CDS)? Tak mahukah belajar cara buat duit di pasaran saham Bursa Malaysia? GHL Systems Bhd hanyalah contoh. Masih ada 676 saham patuh syariah yang lain.

Boleh tonton video ini yang kami ambil dari page Tn Hj Mohd Asri. Kisah orang biasa-biasa….

Atau anda ambil keputusan untuk tengok saja?

 

Penafian : Artikel ini adalah sekadar contoh dan kami tidak memberitahu anda saham mana patut dibeli atau tidak. Maklumat yang terkandung dalam laman ini adalah berdasarkan kepada kajian dan penyelidikan Majalah Labur (“Penulis”); dan adalah pendapat bertulis semata-mata dan idea daripada Penulis.

Komen

komen