Garis Panduan Untuk Pelabur Saham, Supaya Tidak Melecur

Guideline Pelabur Saham Bursa Malaysia

Garis panduan ini datangnya dari pengalaman kami dan tidak semestinya berdasarkan teori-teori baru.  Anggaplah ini sebagai satu lagi pesanan saya untuk adik-adik saya. Anda yang lain bebas untuk memilih untuk menerima atau menolak pandangan saya ini.

Saya cuma ingin membantu anda dari membuat kesilapan yang mahal.

1. Kenali Diri

Jika anda mula berpeluh dingin dan berdebar-debar melihat turun naik harga saham dekat monitor, maka pelaburan saham bukanlah instrumen pelaburan yang sesuai untuk anda.

Lebih baik anda melabur dan simpan wang anda di tempat yang lebih rendah risikonya seperti pelaburan saham amanah (Unit Trust).

2. Hanya Berharap dan Berdoa Bukan Jaminan

Ramai pedagang terus mengulangi kesilapan yang sama: Mereka mengambil keuntungan kecil dan biarkan kerugian bertambah.

Ini memerlukan strategi ‘exit plan’ sekiranya apa yang dirancang tidak menjadi. Sebagai contoh meletakkan sasaran ‘stop-loss’ setiap kali membeli sesuatu saham.

Anda juga tidak perlu pegang terlalu lama kepada saham yang telah rugi. Jika anda membuat pilihan yang salah, lebih baik lepaskan kesalahan anda dengan pantas dan biarkan ia pergi.

“Eh tunggulah sikit lagi, aku harap nanti harga dia naik balik”

Dengan hanya berharap bahawa rugi tadi akan berubah menjadi untung adalah sama dengan berjudi. Memperjudikan nasib, umpama pepatah lama ”Untung sabut timbul, untung batu tenggelam’.

3. Pelabur Mesti Tahu Risiko Kerugian Selain Keuntungan

Pelaburan saham adalah perniagaan. Adakalanya perniagaan mengalami keuntungan, adakalanya akan berlaku sebaliknya.

Namun, sebagai pelabur yang berjaya, adalah penting untuk rasa bersedia kebarangkalian untuk menghadapi kerugian.

4. Jangan Sekali-kali Menggandakan Kerugian

Apabila terpaksa menghadapi kerugian, apa yang perlu dilakukan ialah, berhenti sekejap. Lihat semula dimana silapnya. Adakah kerana cara memilih saham syarikat (kaunter) atau sememangnya syarikat tersebut yang bermasalah.

Sekiranya kerugian disebabkan oleh cara pemilihan saham syarikat, maka carilah mentor yang boleh bimbing cara yang betul. Sekiranya kerugian disebabkan oleh syarikat yang bermasalah, cari dan kajilah syarikat yang lain.

5. Tahu Setakat Mana Risiko Yang Sanggup Anda Tanggung

Apa saja dalam hidup mesti ada risiko. Tetapi risiko dalam pelaburan saham masih boleh diurus dengan mengurangkan kerugian dan memaksimakan keuntungan.

Masalahnya bermula apabila pelabur menukar strategi pelaburan tanpa membuat ‘post mortem’ apakah yang perlu diperbaiki sekiranya berlaku kesilapan.

Setiap strategi pelaburan mempunyai kelebihan dan kekurangan. Seseorang yang mempunyai kepakaran dalam memilih saham perlu terus menggunakan pendekatan ini, walaupun risiko kerugian mungkin besar.

Tidak ada satu pun strategi yang sempurna, melainkan jika seseorang telah menemui satu saham khusus dan menyimpannya dengan tenang.

6. Mempelbagaikan Portfolio Untuk Mengurus Risiko

Saya pun tidak mahu sudah tua kerepot baru dapat beli banglo atau melancong ke seluruh dunia. Tetapi pada masa yang sama, saya tidak mahu mengambil risiko terlalu besar demi mengumpul kekayaan.

“Jangan letak semua telur dalam satu bakul” sebab kalau bakul jatuh habis semua telur pecah. Kalau letak sebiji ok. Kalau pecah pun sebiji saja dan kita masih ada berbiji-biji dekat tempat lain.

Boleh jual beli saham dalam tempoh seminggu atau sebulan. Ada saham yang sesuai di simpan setahun atau lebih. Biasanya kaunter-kaunter saham yang bersifat short term sangat laju pergerakannya. Jadi risiko yang bakal dihadapi juga sangat besar.

7. Pentingnya Merancang Pelaburan

Rahsia kejayaan di bursa saham adalah kesabaran membuat keuntungan secara konsisten. Salah satu pencapaian yang paling sukar untuk para pedagang adalah untuk mewujudkan satu portfolio pelaburan jangka masa panjang, bebas daripada keadaan pasaran.

Keputusan pelaburan juga perlu dibuat berdasarkan fakta keadaan semasa pasaran dan prestasi syarikat itu dari masa ke semasa. Perasaan takut untuk bertindak atau terlalu tamak akan menyebabkan anda berakhir kerugian yang besar.

8. Tiada yang Lebih Penting Daripada Disiplin

Disiplin adalah sentiasa sifat yang paling penting sebagai pelabur yang berjaya. Ramai gagal atau mempunyai kejayaan yang terhad kerana mereka tidak dapat mengawal emosi serta gagal mengikut panduan 1-7 di atas.

Ditulis oleh : Roslinah Laikoi, Surirumah merangkap Pedagang Saham Tegar

Komen

komen