Kenali Produk Patuh Syariah Dalam Bursa Malaysia

Biasanya bila kita sebut pasal pelaburan dalam Bursa Malaysia, ramai yang membayangkan saham semata-mata. Tapi sebenarnya, banyak lagi produk lain yang patuh Syariah yang boleh kita gunakan untuk tujuan pelaburan.

Terkejut, baru pertama kali dengar eh?

Kenali 3 Objektif Pelaburan Terlebih Dahulu

Produk-produk pasaran saham secara amnya mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

1. Pertumbuhan Modal (‘growth-seeking’)

Memaksimumkan pertumbuhan modal tetapi pelaburan dibuat dalam saham agresif yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang lebih tinggi.

2. Pertumbuhan Terimbang (‘balanced-income growth’)

Memaksimumkan pertumbuhan modal dalam jangka panjang, memberi pulangan dan sedikit pertumbuhan dengan risiko yang rendah

3. Pendapatan Stabil (‘conservative – stable income’)

Untuk mencapai tiga (3) objektif iaitu pendapatan, naik nilai sederhana dan pemeliharaan modal.

Dah Tahu Objektif, Berkenalan Pula Dengan Instrumen

Bursa Malaysia-i menawarkan pelbagai instrumen pelaburan patuh Syariah yang tersenarai di dua papan dagangan saham iaitu Pasaran Utama (“Main Market”) dan Pasaran ACE (“ACE Market”), termasuklah:

1. Saham Patuh Syariah (‘Shariah-compliant Stock’ atau ‘i-Stock’)

i-Stock yang disenarai dan didagangkan di Bursa Malaysia memperolehi status patuh Syariah setelah melalui proses saringan yang dijalankan oleh Majlis Penasihat Syariah (“MPS”) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (“SC”) dua kali setahun pada setiap bulan Mei dan November.

2. Dana Dagangan Bursa Patuh Syariah (‘Shariah-compliant Exchange Traded Fund’ atau ‘i-ETF’)

i-ETF adalah dana penjejak indeks patuh Syariah yang tersenarai dan didagangkan di bursa saham seperti saham. i-ETF terdiri daripada kelompok aset patuh Syariah seperti saham atau pelaburan berpendapatan tetap menjadikannya berbeza daripada ETF. i-ETF distrukturkan sebagai satu unit amanah tetapi didagangkan di bursa saham dan nilai dagangan i-ETF ditentukan oleh permintaan dan penawaran pasaran. Seperti i-Stock, pelabur boleh berjual beli i-ETF melalui broker saham berlesen pada bila-bila masa sahaja sepanjang hari dagangan.

Setiap i-ETF mempunyai nilai aset bersih (‘net asset value’ atau “NAV”) yang dikira dengan merujuk kepada nilai pasaran sekuriti yang dipegang. i-ETF tidak mengenakan caj jualan dan mempunyai yuran pengurusan yang lebih rendah. Apabila pelabur melabur dalam i-ETF, pelabur akan mendapat manfaat dari segi kepelbagaian, dan juga fleksibiliti dengan hanya satu pelaburan. i-ETF mungkin atau mungkin tidak mengagihkan dividen, bergantung pada dasar dividennya.

3. Amanah Pelaburan Hartanah Patuh Syariah (‘Shariah-compliant Real Estate Investment Trust’ atau ‘i-REIT’)

i-REIT adalah salah satu alternatif untuk melabur dalam sektor hartanah tanpa membeli hartanah secara fizikal. Ia merupakan skim pelaburan kolektif yang menggabungkan ciri-ciri terbaik hartanah dan unit amanah, di mana penyewa mengendalikan aktiviti yang dibenarkan mengikut prinsip Syariah. i–REIT adalah dana atau saham amanah yang memiliki dan menguruskan hartanah komersial yang menjana pendapatan seperti kompleks membeli-belah, hospital, perladangan hartanah perindustrian dan blok-blok pejabat. i-REIT disenaraikan di Bursa Malaysia dan didagangkan seperti saham.

i-REIT menawarkan kadar pulangan yang menarik dan lebih cenderung membayar pendapatan yang lebih mantap seperti dividen yang diperolehi daripada duit sewaan yang dibayar oleh penyewa yang menduduki hartanah tersebut, termasuklah dari aktiviti pengambilalihan dan pajakan hartanah, penyewaan dan sub-penyewaan, di mana aktiviti dan operasinya adalah patuh Syariah.

Seperti REIT konvensional, i-REIT memberikan pilihan kepada pelabur untuk melabur dalam harta tanah komersial berskala besar yang berkualiti tanpa perlu membeli harta tersebut secara langsung, menawarkan aliran pendapatan yang stabil dan hasil pengagihan pendapatan yang menarik.

4. Bon dan Sukuk Dagangan Bursa (‘Exchange Traded Bonds and Sukuk’ atau ‘ETBS’)

ETBS ialah sekuriti pendapatan tetap, juga dikenali sebagai bon atau sukuk, yang disenaraikan dan didagangkan di pasaran saham. Dahulunya, pasaran bon dan sukuk hanya boleh dilabur oleh pelabur institusi dan kategori pelabur bernilai tinggi. Kini dengan ETBS, semua pelabur boleh melabur dalam pasaran bon dan sukuk melalui pasaran saham. Terdapat perbezaan di antara saham, dan bon atau sukuk.

Apabila kita membeli satu saham dalam sebuah syarikat, kita membeli sebahagian kecil daripada syarikat tersebut dan memperoleh sebahagian daripada keuntungan syarikat tersebut. Apabila kita membeli bon atau sukuk, kita meminjamkan dana kepada syarikat tersebut atau secara tidak langsung menjadi pemiutang kepada syarikat tersebut.

Sebagai pulangan, pemiutang mendapat jaminan daripada dua (2) perkara. Pertama, syarikat akan mengembalikan dana pinjaman tersebut selepas sesuatu tempoh yang ditetapkan yang dikenali sebagai tempoh matang. Kedua, pemiutang akan mendapat manfaat daripada aliran yang stabil melalui bayaran tetap yang dikenali sebagai kupon atau dividen.

ETBS diterbitkan sama ada oleh syarikat atau kerajaan (penerbit) untuk mengumpulkan dana bagi keperluan kewangan. Sekuriti pendapatan tetap yang diterbitkan secara konvensional dikenali sebagai bon, manakala terbitan sekuriti yang berprinsipkan Syariah dikenali sebagai Sukuk. Pulangan atas pelaburan bon adalah berdasarkan caj bunga/ faedah pinjaman; manakala pulangan atas pelaburan Sukuk adalah bebas bunga/ faedah dan berasaskan keuntungan pelaburan.

ETBS menyediakan peluang kepada pelabur untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan, dan boleh dijual beli pada bila-bila masa sepanjang hari dagangan. ETBS diniagakan dalam saiz lot minimum sebanyak 10 unit untuk setiap saiz lot. Dengan harga prinsipal sebanyak RM100 setiap unit, kos setiap lot adalah RM1,000 (tidak termasuk kos transaksi).

Instrumen Patuh Syariah yang Disenaraikan dan Didagangkan di Bursa Malaysia (sehingga bulan Julai 2018)

Semua ini adalah usaha keras yang dijalankan oleh pihak Bursa Malaysia-i, yang merupakan platform pelaburan patuh Syariah sepenuhnya yang pertama di dunia. Nak tahu lebih lanjut siapa mereka, jemput baca Bursa Malaysia-i dan Pelaburan Patuh Syariah.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kerajaan Baharu Argentina Harap Projek LNG Dengan Petronas Akan Diteruskan – Mondino

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) — Kerajaan baharu Argentina berharap projek gas asli cecair (LNG) bersama yang bernilai berbilion dolar dengan syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas, akan diteruskan.

“Kami berharap dapat memberikan semua jaminan yang diperlukan untuk pelaburan ini diteruskan,” kata Menteri Luar, Perdagangan Antarabangsa dan Ibadat Argentina Diana Mondino kepada Bernama.

Mondino, yang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi sulungnya, dijangka mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Petronas pada Isnin 18 Mac, 2024 untuk membincangkan aktiviti Petronas di Argentina.

Pada 1 Sept, 2022 Petronas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat minyak dan gas bersepadu terbesar Argentina, YPF, untuk meneruskan kerjasama di negara Amerika Selatan itu dalam projek LNG bersepadu serta bidang lain termasuk minyak huluan, petrokimia dan penyelesaian tenaga bersih.

Selain MoU itu, YPF dan entiti operasi Petronas di Argentina, Petronas E&P Argentina S.A., memeterai perjanjian kajian dan pembangunan bersama ke arah pelaksanaan kajian dan pembangunan potensi projek LNG Bersepadu Argentina.

Perkara itu akan merangkumi pengeluaran gas huluan khusus, pembangunan saluran paip dan infrastruktur khusus, pengeluaran LNG serta pemasaran dan penghantaran.

Keputusan pelaburan akhir (FID) untuk projek itu akan dilaksanakan selepas penilaian teknikal dan komersial yang teliti dijalankan, disokong oleh terma, perundangan dan dasar fiskal yang kondusif.

Pakatan strategik Petronas dengan YPF bermula pada 2014 melalui perkongsiannya dalam projek La Amarga Chica, Vaca Muerta, sebagai sebahagian daripada aspirasi pertumbuhannya di benua Amerika.

Mondino berkata negara itu boleh mengeksport banyak produk gas dan minyak ke peringkat dunia.

“Argentina boleh mengeksport banyak gas kepada dunia namun kami belum mempunyai teknologi untuk mencairkan gas dan pengangkutan…bukan di tahap yang sepatutnya.

“Banyak perubahan politik berlaku di negara saya dan kini, kami jauh lebih pantas. Sebenarnya, perkara ini boleh bermula bertahun-tahun yang lepas namun tidak berlaku. Kami akan memajukan pelaburan seperti ini,” katanya.

Dilaporkan pada 13 Mac, 2024 YPF dan Petronas telah membuat penangguhan selama setahun untuk memuktamadkan FID bagi fasa pertama projek itu.

— BERNAMA