Nak Melabur di Pasaran Saham? Nanti Dulu…Fahamkan 7 Fakta Ini

Memandangkan anda telah sampai di sini, kemungkinan dah punya wang lebihan dan bersedia untuk melabur dalam pasaran saham. Apa jua sebabnya, adalah baik jika anda mulakan perjalanan pelaburan anda dengan memahami fakta-fakta penting tentang pasaran saham di Bursa Malaysia.

#1: Melabur dalam pasaran saham adalah salah satu daripada banyak pilihan

Berita mengenai pasaran saham di Bursa Malaysia keluar di hampir setiap laporan berita yang kita lihat di televisyen. Cuma mungkin kita tak perasan sebab banyak istilah yang kita tak faham maksudnya.

Ada simpanan yang konsisten dalam bank juga cukup baik, walaupun pulangan yang diterima adalah rendah. Maklumlah risikonya juga sangat rendah. Duit kita dalam bank juga dilindungi oleh PIDM sehingga RM250,000.

Kita juga boleh melabur dalam hartanah atau emas. Melabur dalam diri sendiri dengan skil atau ilmu tertentu juga sangat bagus untuk menambahkan pendapatan di masa depan.

Jangan sekali-kali menerima idea bahawa pasaran saham adalah satu-satunya instrumen pelaburan. Ia hanyalah satu pilihan.

#2: Bursa Malaysia

Dulu namanya BSKL. Istilah Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) tidak lagi digunakan selepas tahun 2004, kini digantikan dengan Bursa Malaysia.

Pasaran saham Bursa Malaysia membolehkan jual beli pada setiap hari bekerja kepada dua sesi, pada waktu pagi, bermula pada 9:00 pagi dan tutup pada 12:30 tengahari dan kemudiannya bersambung pada sebelah petang, bermula pada jam 2:30 petang dan berakhir pada jam 5:00 petang.

Sehingga artikel ini ditulis, terdapat 900 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan 672 darinya adalah patuh syariah.

#3: Melabur dalam pasaran saham datang dengan risiko yang besar

Jika anda dengar atau tengok berita setiap hari, anda pasti akan mendengar pelbagai nombor yang disebut oleh pembaca berita seperti saham yang aktif naik __sen menjadi ___ringgit __sen.

Kalau tak faham cuba tonton sedutan video dari berita RTM ini:

Risikonya dalam bahasa mudah; setiap hari harga saham ada yang naik, turun atau kekal harganya. Kalau kita beli saham tu masa harganya RM1, esok mungkin jatuh menjadi RM0.90 atau naik menjadi RM1.20 bergantung kepada banyak faktor.

Baca sini untuk fahamkan mengapa harga saham boleh turun naik.

Jadi, mengapa nak melabur dalam saham? Banyak saham yang memberikan pulangan yang tinggi dalam jangka panjang – lebih daripada 5 tahun – ada yang boleh memberi pulangan lebih 100%, contohnya saham Tenaga Nasional.

Rujuk gambar di bawah, diambil dari BursaMarketPlace:

Gambar di sebelah kiri menerangkan jika beli saham Tenaga Nasional tahun lepas (Mei 2016), pelabur rugi 0.4% tetapi mereka yang telah melabur awal (5 tahun lepas) telah untung 114.5%….Purata 27% setahun!

Inilah risiko yang perlu ditanggung oleh pelabur macam kita. Kadang-kadang harga saham akan menjadi lebih tinggi; kadang-kadang, ia akan menjadi lebih rendah.

#4: Dulu minimum kena beli 1,000 unit saham

Kalau dulu, sekali beli minimum 1000 unit saham. Contohnya kalau saham itu bernilai RM 1, maka RM 1,000 kena jadi modal untuk beli.

Tapi sekarang sejak tahun 2003, minimum perlu beli adalah 100 unit saham saja. Macam contoh dekat atas, kita hanya perlu ada modal RM 100.

Bila harga saham makin naik, maka nilai pegangan kita makin besar.

Biasanya orang suka tanya berapa jumlah modal minimum diperlukan untuk mula melabur? Sebenarnya, tidak ada. Satu-satunya minimum adalah dalam bentuk kuantiti saham yang perlu dibeli iaitu 100 unit.

#5: Pelabur zaman dulu jual beli saham dengan dengan bantuan broker – hari ini, DIY

Bagaimana sebenarnya nak jual beli saham? Dulu selepas dah buka akaun saham (CDS) kalau nak berjual beli kena telefon individu yang mewakili syarikat bank pelaburan / broker yang dikenali sebagai remisier atau dealer. Sekarang boleh buat melalui akaun trading atau apps yang disediakan.

Saya mempunyai akaun trading bersama Hong Leong Investment Bank Berhad dan mendapat akses untuk melakukan transaksi jual beli online melalui platform HLeBroking sama ada menggunakan komputer atau mobile apps.

Apabila dah buka akaun saham (CDS), depositkan duit ke dalam akaun trading dengan memindahkan dari akaun simpanan anda (online banking). Setelah dah ada duit dalam tu baru boleh beli saham.

Sebagai contoh, anda mungkin nak beli 500 unit saham DRB-HICOM. Semasa artikel ini ditulis harga sahamnya RM1.68. Jadi 500 unit x RM1.68 = RM840 (tak termasuk kos brokerage)

Katakan selepas sebulan harganya menjadi RM2, bolehla jual saham tu dan pindahkan duit untung tadi terus ke akaun simpanan anda.

#6: Pelabur zaman dulu jual beli saham hanya dengan mendengar tips

Pelabur-pelabur zaman dulu (dalam tahun 90an sehingga tahun 2000), jual beli saham hanya dengan mendengar tips tanpa memahami mengapa mereka jual beli sesuatu saham itu.

Ini terbukti apabila masih ada pelabur lama seringkali rugi apabila melabur di pasaran saham kerana jual beli secara membabi buta gara-gara tidak mempunyai ilmu secukupnya.

Generasi muda sekarang semakin bijak. Mereka memahami konsep atau langkah yang perlu diambil, iaitu mereka akan melabur di dalam ilmu dahulu. Mereka sanggup mengeluarkan wang ringgit untuk mendapatkan ilmu menganalisa sentimen pasaran termasuklah fundamental dan teknikal terlebih dahulu sebelum bertindak melabur di dalam pasaran.

#7: Kebanyakan syarikat bayar dividen, tanpa perlu kita menjual saham

Kena faham yang setiap saham dibeli adalah pegangan kecil hak milik sesebuah syarikat. Jadi kita sebagai pemegang saham akan menerima keuntungan yang diperolehi syarikat dalam bentuk dividen yang dibayar.

Dividen bergantung kepada jumlah dividen diumumkan dan di darab dengan berapa banyak unit yang kita beli.

Pengiraannya mudah. Ambil contoh jumlah dividen yang diumumkan 7.35 sen.
Jika jumlah saham yang kita beli sebanyak 10,000 unit, maka 10,000 x 0.0735 = RM735.

Kita pada dasarnya akan mendapat RM 735 setahun dalam bentuk dividen tanpa perlu menjual mana-mana saham. Baca juga artikel Untung Melabur Saham tu Kira Macam Mana? dan Rugi Dalam Pelaburan Saham Serta Contoh Pengiraan

Tetapkan Matlamat

Apakah matlamat anda untuk melabur? Untuk kumpul modal beli rumah baru? Untuk modal beli kereta mewah? Untuk pendidikan anak-anak? Untuk duit semasa bersara nanti?

Penting untuk menetapkan matlamat supaya anda tahu berapa lama anda perlu menyimpan atau melabur (dengan andaian kadar pulangan tertentu).

2 sahaja nasihat kami…

  1. Mula melabur awal
  2. Bersabar

Good luck!

Komen

komen