Pengkelasan Sektor Saham Menggunakan Sistem GICS, Ada 11 Sektor Kesemuanya

Ekonomi sesebuah negara itu dibahagikan kepada beberapa industri seperti perlombongan, pertanian, pembuatan, perbankan dan sebagainya. Semua syarikat di seluruh dunia tergolong dalam salah satu dari sektor-sektor ini, yang juga digunapakai untuk mengkelaskan syarikat-syarikat tersebut dalam indeks saham. Sistem pengklasifikasian sektor yang paling popular dan banyak digunapakai di dunia ialah GICS, atau nama panjangnya Global Industry Classification System.

Penganalisis-penganalisis saham amat bergantung kepada sistem ini untuk melakukan perbandingan antara syarikat dan mengkaji trend-trend terkini dalam sektor tersebut. Contohnya syarikat Maxis dan Digi diletakkan dalam kelompok yang sama iaitu Servis Komunikasi (Communication Services) kerana bisnes utama mereka ialah menawarkan servis komunikasi kepada pelanggan.

Seseorang penganalisis mungkin hendak membandingkan nisbah P/E antara keduanya kerana ingin melihat syarikat mana yang lebih murah harga sahamnya. Perbandingan ini adil kerana kedua-duanya syarikat yang menawarkan servis yang sama.

Tak adillah sekiranya Maxis dibandingkan dengan syarikat Public Bank yang diklasifikasikan sebagai Kewangan (Financials), kan? Selain itu, syarikat-syarikat ini juga dikaitkan dengan teknologi pemindahan data terbaru yang pantas iaitu 5G.

Tambahan lagi, sistem ini membolehkan pengurus-pengurus dana dan pelabur-pelabur menyusun strategi. Sebagai contoh, mungkin kelembapan ekonomi membuatkan pelabur cuba mengelak dari melabur dalam sektor yang sensitif kepada kesihatan ekonomi (cyclical sectors) seperti sektor Kewangan dan melabur dalam sektor yang lebih stabil (defensive sectors) seperti Kesihatan.

Mereka akan menggunakan sistem klasifikasi ini untuk mencari saham yang mereka perlu awasi mengikut kitaran ekonomi.

Dalam indeks MSCI (Morgan Stanley Capital International) Malaysia IMI (Investable Market Index), kita boleh lihat bahawa indeks saham Malaysia didominasi oleh sektor kewangan, kerana sektor kewangan Malaysia yang agak besar berbanding sektor lain. Ia diduduki oleh syarikat-syarikat seperti Maybank, CIMB, Public Bank, dan lain-lain.

Carta 1: Pecahan MSCI Malaysia IMI menurut GICS pada penghujung September 2019

Sumber: MSCI

Terdapat 11 sektor dalam GICS, tetapi untuk memampankan lagi sistem ini, setiap sektor GICS mempunyai lebih banyak lagi pecahan di bawahnya supaya semua jenis syarikat dapat diklasifikasikan dengan tepat.

Contohnya di bawah sektor Teknologi Maklumat, terdapat cabang seperti Perisian & Servis serta Perkakasan Teknologi & Peralatan.

Gambar 1: Cabang-cabang di bawah sektor Teknologi Maklumat menurut GICS

Sumber: S&P Global Intelligence & MSCI

Jom kita berkenalan dengan 11 sektor yang ada seperti berikut:

Sektor 1: Kewangan / Financials

Sektor Kewangan meliputi syarikat-syarikat yang terlibat dalam pengurusan wang. Ia termasuklah bank, penyedia insurans, pemberi pinjaman mikro, dan pemberi kad kredit.

Sektor ini biasanya antara yang terbesar dalam mana-mana indeks kerana ia adalah tulang belakang ekonomi. Semua pengurus dana akan sentiasa mengawasi sektor ini dengan teliti kerana sektor Perbankan selalunya menjadi kayu ukur kepesatan atau kelembapan sesebuah ekonomi pada sesuatu masa.

Contoh saham yang berada di bawah kategori ini adalah Maybank, CIMB dan Syarikat Takaful Malaysia.

Sektor 2: Keperluan Pengguna / Consumer Staples

Sektor ini terdiri daripada syarikat-syarikat yang membekalkan barangan seharian kepada pengguna, contohnya makanan dan minuman, bahan mentah dalam makanan, barangan rumah seperti sabun basuh, dan lain-lain yang digunakan setiap hari dalam kehidupan.

Sektor ini bersifat defensif dan mampu bertahan dalam krisis ekonomi kerana menyediakan barangan yang diperlukan oleh rakyat tanpa mengira keadaan ekonomi bagus atau tidak. Kalau Malaysia mengalami krisis pun, kita semua masih perlu makan, bukan?

Sebab itulah syarikat seperti Nestle dan F&N masih dapat bertahan walaupun Malaysia menghadapi krisis ekonomi.

Sektor 3: Utiliti / Utilities

Sektor Utiliti merupakan sektor pembekal elektrik, air, dan gas kepada kawasan perumahan, kawasan komersil, stesen janakuasa dan kilang-kilang. Ini merupakan salah satu sektor yang bersifat defensif kerana selain sentiasa ada permintaan untuk elektrik dan air, syarikat-syarikat utiliti juga lazimnya memberikan dividend yield yang lebih tinggi dari sektor-sektor lain.

Contohnya, Petronas Gas menawarkan dividen yield setinggi 4.4% berbanding purata MSCI Malaysia IMI yang memberikan dividend yield sebanyak 3.4%.

Sektor 4: Perindustrian / Industrials

Sektor Perindustrian merupakan tulang belakang ekonomi, dan boleh dikatakan sektor ini antara sektor terbesar dalam sesebuah negara terutamanya negara membangun.

Sektor Perindustrian termasuklah pembuat dan pengedar barang modal (capital goods) seperti barang-barang berkaitan pengangkutan, pembinaan bangunan dan infrastruktur, barang-barang elektrikal, dan mesin-mesin.

Di Malaysia, mereka ini terdiri daripada syarikat-syarikat seperti MISC, Sime Darby dan Gamuda.

Sektor 5: Servis Komunikasi / Communication Services

Sektor Servis Komunikasi merupakan sektor terbaru yang dicipta oleh GICS untuk menggantikan sektor Telekomunikasi, memandangkan banyak jenis komunikasi pada masa kini berlaku bukan sahaja melalui telefon sahaja, malah platform-platform lain juga banyak digunakan.

Sektor ini menggabungkan syarikat-syarikat yang menyediakan servis komunikasi tanpa wayar & berwayar dengan syarikat-syarikat yang menawarkan servis media dan hiburan.

Di Amerika Syarikat, kita akan menjumpai banyak jenis syarikat di bawah kategori ini seperti Verizon, Facebook, dan Netflix. Di Malaysia pula, kita Maxis, Axiata dan TimeDotCom.

Sektor 6: Kesihatan / Health Care

Sektor Kesihatan terdiri daripada syarikat-syarikat yang mengendalikan hospital, membekalkan ubat-ubatan, mesin, serta kajian dan teknologi perubatan.

Di Malaysia, IHH mengendalikan hospital-hospital seperti Hospital Gleneagles dan Hospital Pantai.

Hartalega pula merupakan di antara pembekal sarung tangan perubatan yang terbesar di dunia, manakala Pharmaniaga membekalkan ubat-ubatan ke seluruh Malaysia.

Sektor 7: Pilihan Pengguna / Consumer Discretionary

Sektor Pilihan Pengguna ini mirip sektor Keperluan Pengguna kerana syarikat-syarikat ini menjual barangan yang dibeli oleh pengguna terakhir, tetapi barangan tersebut lebih bersifat kepada “kemahuan” dari “keperluan”.

Maka pengguna boleh memilih untuk membelinya atau tidak. Contohnya syarikat automotif, barangan rekreasi, dan fesyen.

Di Malaysia, kita mempunyai syarikat seperti Padini yang menjual pakaian, Bermaz Auto yang menjual kereta Mazda, dan Genting Malaysia yang mengendalikan taman tema dan pusat membeli-belah.

Sektor 8: Tenaga / Energy

Sektor Tenaga melibatkan syarikat-syarikat penggerudian, pengekstrakan, dan pemprosesan sumber asli seperti minyak mentah dan arang batu. Negara Malaysia amat kaya dengan sumber asli, iaitu minyak mentah dan gas asli.

Walaupun sumber asli memainkan peranan penting dalam ekonomi kita, tetapi sektor ini tidak terlalu besar dalam indeks saham kerana banyak antara syarikat-syarikat ini tidak memilih untuk IPO.

Contoh syarikat besar yang tersenarai ialah Dialog Group, pengusaha terminal penyimpanan hasil petroleum dan Sapura Energy yang menyediakan pelbagai perkhidmatan upstream minyak mentah.

Sektor 9: Bahan Mentah / Materials

Sektor Bahan Mentah mengumpulkan syarikat-syarikat yang mengekstrak dan memproses bahan mentah untuk kegunaan syarikat lain. Lazimnya, bahan-bahan ini datangnya dari komoditi-komoditi seperti gas asli dan minyak mentah, membuatkan harganya agak sensitif kepada harga komoditi. 

Contoh syarikat yang tergolong dalam kategori ini ialah Petronas Chemicals dan Press Metal Aluminium.

Sektor 10: Hartanah / Real Estate

Syarikat-syarikat berkaitan hartanah sudah tentulah tergolong dalam Sektor Hartanah. Mereka ini termasuklah syarikat pembangun hartanah sama ada untuk perumahan atau komersil, serta pengurus hartanah dan juga syarikat amanah pelaburan hartanah (REITs).

Contoh syarikat hartanah yang boleh ditemui dalam pasaran saham Malaysia adalah Sime Darby Property dan SP Setia.

Sektor 11: Teknologi Maklumat / Information Technology

Malaysia juga mempunyai sektor Teknologi Maklumat yang pesat membangun. Syarikat-syarikat yang berada dalam kategori ini selalunya menawarkan perkhidmatan berkaitan perkomputeran, internet, e-dagang, semikonduktor, dan komponen-komponen elektronik.

Di Malaysia, Inari Amertron menawarkan perkhidmatan memproses komponen-komponen semikonduktor manakala MyEG menawarkan perkhidmatan atas talian seperti memperbaharui cukai jalan, memeriksa saman, membayar zakat dan sebagainya.

Sektor ini sering menjadi tumpuan pelabur kerana sering mencatatkan pertumbuhan yang pesat setiap tahun.

Sekarang dah tahu banyaknya sektor yang wujud, kita perlu pilih sektor yang sedang ‘panas’ atau dengan permintaan yang tinggi, dan kena sentiasa ‘up-to-date’ dengan mengikuti perkembangan semasa.

Ditulis oleh Azam, seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana organisasi.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kerajaan Baharu Argentina Harap Projek LNG Dengan Petronas Akan Diteruskan – Mondino

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) — Kerajaan baharu Argentina berharap projek gas asli cecair (LNG) bersama yang bernilai berbilion dolar dengan syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas, akan diteruskan.

“Kami berharap dapat memberikan semua jaminan yang diperlukan untuk pelaburan ini diteruskan,” kata Menteri Luar, Perdagangan Antarabangsa dan Ibadat Argentina Diana Mondino kepada Bernama.

Mondino, yang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi sulungnya, dijangka mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Petronas pada Isnin 18 Mac, 2024 untuk membincangkan aktiviti Petronas di Argentina.

Pada 1 Sept, 2022 Petronas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat minyak dan gas bersepadu terbesar Argentina, YPF, untuk meneruskan kerjasama di negara Amerika Selatan itu dalam projek LNG bersepadu serta bidang lain termasuk minyak huluan, petrokimia dan penyelesaian tenaga bersih.

Selain MoU itu, YPF dan entiti operasi Petronas di Argentina, Petronas E&P Argentina S.A., memeterai perjanjian kajian dan pembangunan bersama ke arah pelaksanaan kajian dan pembangunan potensi projek LNG Bersepadu Argentina.

Perkara itu akan merangkumi pengeluaran gas huluan khusus, pembangunan saluran paip dan infrastruktur khusus, pengeluaran LNG serta pemasaran dan penghantaran.

Keputusan pelaburan akhir (FID) untuk projek itu akan dilaksanakan selepas penilaian teknikal dan komersial yang teliti dijalankan, disokong oleh terma, perundangan dan dasar fiskal yang kondusif.

Pakatan strategik Petronas dengan YPF bermula pada 2014 melalui perkongsiannya dalam projek La Amarga Chica, Vaca Muerta, sebagai sebahagian daripada aspirasi pertumbuhannya di benua Amerika.

Mondino berkata negara itu boleh mengeksport banyak produk gas dan minyak ke peringkat dunia.

“Argentina boleh mengeksport banyak gas kepada dunia namun kami belum mempunyai teknologi untuk mencairkan gas dan pengangkutan…bukan di tahap yang sepatutnya.

“Banyak perubahan politik berlaku di negara saya dan kini, kami jauh lebih pantas. Sebenarnya, perkara ini boleh bermula bertahun-tahun yang lepas namun tidak berlaku. Kami akan memajukan pelaburan seperti ini,” katanya.

Dilaporkan pada 13 Mac, 2024 YPF dan Petronas telah membuat penangguhan selama setahun untuk memuktamadkan FID bagi fasa pertama projek itu.

— BERNAMA