Penjelasan Terperinci Mengenai Dividen Saham Dan Cara Nak Dapatkan Dividen Saham

Pelaburan saham bukan sahaja menawarkan peluang keuntungan daripada kenaikan harga saham. Pelabur juga berpeluang mendapatkan dividen daripada saham yang dibeli.

Untuk pengetahuan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaburkan kira-kira 42% daripada dana pelaburan mereka ke dalam pasaran saham Malaysia dan juga pasaran saham global. Bagi tahun 2017, 19.4% pendapatan pelaburan KWSP datangnya dari dividen yang bersamaan RM10.33 billion!

Dividen selalunya diberikan dalam bentuk wang yang dibayar kepada pemegang saham hasil daripada pendapatan semasa atau keuntungan terkumpul syarikat. Semua dividen wajib diisytiharkan oleh syarikat kepada Bursa Malaysia. Sesetengah syarikat menawarkan pelan pelaburan semula dividen, di mana pelabur boleh memilih untuk mendapatkan wang atau pun menambah saham dalam syarikat.

Pemberian dividen merupakan salah satu cara syarikat mengembalikan modal atau memberi ganjaran kepada pelabur dalam bentuk wang secara berkala. Bergantung kepada dasar dividen syarikat tersebut, ada syarikat yang memberikan dividen sekali setiap tahun, ada yang dua kali setiap tahun, dan ada juga empat kali setiap tahun.

Ada juga yang beri sekali-sekala apabila berlakunya aktiviti yang jarang berlaku seperti penjualan aset atau pinjaman yang besar, maka syarikat yang tidak pernah memberi dividen pun mampu memberikan special dividend. Dividen dibayar mengikut setiap saham yang dimiliki.

Cara Kira Dividen Saham

Sebagai contoh, Encik Supian Suhaimi telah membeli 10,000-unit saham MEDIA. Apabila MEDIA memberikan dividen sebanyak RM0.11 seunit bermaksud Encik Supian bakal mendapat dividen sebanyak (10,000-unit x RM0.11) RM1,100.

Selain daripada dividen dalam bentuk wang, ada juga yang menawarkan dividen dalam bentuk saham tambahan atau pun saham syarikat lain yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Selalunya dividen dalam bentuk saham syarikat lain ini menggunakan istilah dividend in specie.

Syarikat akan memberikan dividen begini kerana ingin memberi ganjaran pada pelabur tetapi kekurangan wang dalam tangan (rujuk contoh di bawah, KUCHAI merupakan antara pemegang saham terbesar KLUANG).

Bagaimana Cara Nak Dapatkan Dividen Saham?

Syarikat akan mengisytiharkan pemberian dividen kepada Bursa Malaysia. Pelabur akan mendapat tahu berapa dividen yang akan diterima untuk setiap saham yang mereka ada. Dari situ pelabur cuma perlu ingat dua tarikh sahaja iaitu hari kelayakan (Ex-Date) dan juga hari penerimaan dividen (Payment Date).

Untuk mendapatkan dividen syarikat, pelabur perlu membeli saham syarikat pada bila-bila masa sebelum Ex-Date. Pembelian saham semasa atau selepas Ex-Date tidak akan melayakkan pelabur mendapat dividen tersebut. Dividen tersebut akan terus masuk ke akaun simpanan pelabur pada Payment Date. Mudah sahaja kan?

Tapi kena ingat, harga saham akan diselaraskan pada Ex-Date. Jika syarikat tersebut memberikan dividen 45 sen seunit, pelabur harus menjangkakan harga saham akan turun 45 sen juga pada Ex-Date. Sebab itu lah jika inginkan dividen, tempoh masa pelaburan pelabur juga harus lebih panjang.

Sebagai contoh, syarikat COMCORP pernah memberikan special dividen RM0.45 seunit. Harga akan diselaraskan seperti gambar di bawah.

Oleh itu, pelabur perlu selaraskan kembali carta dengan menekan simbol DUIT seperti di bawah.

Syarikat yang memberikan dividen biasanya mempunyai aliran tunai yang positif dan sudah melepasi peringkat perkembangan. Sebab itu syarikat yang baru nak mula berkembang, jarang memberikan dividen kerana mereka memerlukan wang untuk mengembangkan operasi perniagaan mereka.

Dengan kata lain, syarikat yang mempunyai dasar dividen selalunya lebih kukuh, lebih defensif, kurang volatile dan harga tidak begitu murah.

Artikel ini ditulis oleh Tuan Azmi Mohd Amin, seorang anak muda yang bergelar remisier di Maybank Investment Bank.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kerajaan Baharu Argentina Harap Projek LNG Dengan Petronas Akan Diteruskan – Mondino

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) — Kerajaan baharu Argentina berharap projek gas asli cecair (LNG) bersama yang bernilai berbilion dolar dengan syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas, akan diteruskan.

“Kami berharap dapat memberikan semua jaminan yang diperlukan untuk pelaburan ini diteruskan,” kata Menteri Luar, Perdagangan Antarabangsa dan Ibadat Argentina Diana Mondino kepada Bernama.

Mondino, yang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi sulungnya, dijangka mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Petronas pada Isnin 18 Mac, 2024 untuk membincangkan aktiviti Petronas di Argentina.

Pada 1 Sept, 2022 Petronas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat minyak dan gas bersepadu terbesar Argentina, YPF, untuk meneruskan kerjasama di negara Amerika Selatan itu dalam projek LNG bersepadu serta bidang lain termasuk minyak huluan, petrokimia dan penyelesaian tenaga bersih.

Selain MoU itu, YPF dan entiti operasi Petronas di Argentina, Petronas E&P Argentina S.A., memeterai perjanjian kajian dan pembangunan bersama ke arah pelaksanaan kajian dan pembangunan potensi projek LNG Bersepadu Argentina.

Perkara itu akan merangkumi pengeluaran gas huluan khusus, pembangunan saluran paip dan infrastruktur khusus, pengeluaran LNG serta pemasaran dan penghantaran.

Keputusan pelaburan akhir (FID) untuk projek itu akan dilaksanakan selepas penilaian teknikal dan komersial yang teliti dijalankan, disokong oleh terma, perundangan dan dasar fiskal yang kondusif.

Pakatan strategik Petronas dengan YPF bermula pada 2014 melalui perkongsiannya dalam projek La Amarga Chica, Vaca Muerta, sebagai sebahagian daripada aspirasi pertumbuhannya di benua Amerika.

Mondino berkata negara itu boleh mengeksport banyak produk gas dan minyak ke peringkat dunia.

“Argentina boleh mengeksport banyak gas kepada dunia namun kami belum mempunyai teknologi untuk mencairkan gas dan pengangkutan…bukan di tahap yang sepatutnya.

“Banyak perubahan politik berlaku di negara saya dan kini, kami jauh lebih pantas. Sebenarnya, perkara ini boleh bermula bertahun-tahun yang lepas namun tidak berlaku. Kami akan memajukan pelaburan seperti ini,” katanya.

Dilaporkan pada 13 Mac, 2024 YPF dan Petronas telah membuat penangguhan selama setahun untuk memuktamadkan FID bagi fasa pertama projek itu.

— BERNAMA