Nak Beli Saham Mahal Atau Murah? Fahamkan Contoh Ini

Jom Tengok Perbezaannya

Katakanlah anda nak mula melabur saham, tapi tak tahu nak beli saham yang murah atau pun mahal. Kedua-dua saham pun nampak OK, tapi nak pilih yang mana satu? Untuk makluman sehingga hari ini ada 376 saham patuh syariah yang harganya di bawah RM1. Saham paling mahal pula adalah saham Nestle, berharga RM83.90 seunit.

Untuk perkongsian kali ini, kami merujuk kepada posting Facebook Puan Roslinah Lakoi:

Ramai bertanya apa bezanya beli saham murah dan saham mahal?

Begini, kalau kita ada modal RM10,000 tak kisah berapa pun harga saham tu, yang penting kita tahu kira macam mana dengan duit yang ada boleh memberi pulangan yang berbaloi.

Sebagai contoh mari saya tunjukkan.

Saya beli saham syarikat Three-A Resources Bhd pada harga RM1.37 sebanyak 7,000 unit, modal yang saya perlukan lebih kurang RM9,632.00 (kiraan sudah termasuk Brokerage fee + GST) .

Jika saya target pulangan (ROI) sebanyak 10% , saya akan memperolehi untung sebanyak RM963.00 iaitu selepas harga saham mencapai RM1.52.

Manakala,

Saham Ajinomoto saya beli pada harga RM24.14 sebanyak 400 unit, modal saya lebih kurang RM9,698.00 (kiraan sudah termasuk Brokerage fee + GST).

Jika target pulangan (ROI) saya tetap sama iaitu 10%, saya akan memperolehi untung sebanyak RM971.00 iaitu apabila harga saham mencapai RM26.70.

Modal sama. ROI juga sama.

Kuantiti atau unit saham saja yang berbeza. Faham kan?

Kesimpulannya, ikutlah poket masing-masing. Bukan soal mahal atau murah harga saham tu. Tapi ia adalah tentang sejauh mana pengetahuan kita dalam menjana keuntungan di pasaran saham Bursa Malaysia.

Siapa nak tahu berapa harga kedua-dua saham tersebut? Dah capai 10% ke belum? Tak perlu tunggu setahun pun…

Untuk lebih banyak perkongsian menarik, rajin-rajinlah follow Puan Roslinah Lakoi, seorang Suri Rumah sepenuh masa.

Harap anda belajar sesuatu, di mana tidak banyak perbezaan di antara beli saham murah di sekitar harga RM1 atau beli saham yang lebih mahal berharga RM10 ke atas. Bukan unit yang menjadi ukuran, tetapi ilmu di dada yang penting.

*Kami bukan menasihatkan anda untuk membeli saham Ajinomoto atau 3A, tetapi sekadar untuk berkongsi ilmu. Renung-renungkan dan selamat melabur!

Komen

komen