Saham Memang Lubuk Duit. Tapi Ini Sisi Gelapnya

Fakta yang tak dapat disangkal bahawa pasaran saham merupakan salah satu tempat untuk kita memperolehi keuntungan yang lebih tinggi dan lebih cepat dari instrumen pelaburan yang lain. Bak kata pepatah lama, “High Risk, High Return”.

Tetapi selama ini, kita sering dengar cerita yang indah-indah belaka. Seringkali kita dengar, “Saham ni nak untung 10% sebulan senang je. Nak untung 10% sehari pun boleh”.

Kami juga seperti anda. Teruja.

Teruja melihat nombor-nombor yang berkelip-kelip di monitor laptop. Bila klik, kena gaya boleh kaut untung ribu-ribu.

Tapi jangan lupa yang kita juga boleh rugi 10% sebulan. Nak rugi 10% sehari juga boleh. Jom kita menyusuri ke alam yang jarang orang nak terokai, iaitu sisi gelap pelaburan saham.

1. Bersedia Untuk Rugi 30% Sehari

Ya, memang tak mustahil nak untung banyak, tapi sanggup ke nak rugi banyak? Mungkin jarang berlaku, tapi tengok sahaja Saham-saham Yang Jatuh Teruk Sehari Lepas PRU-14. Saham MyEG dan George Kent kedua-duanya jatuh 30% dalam masa sehari.

Malah bukan sehari, MyEG dan George Kent jatuh ke paras terendah yang dibenarkan iaitu 30% sebaik sahaja pasaran saham dibuka jam 9.00 pagi. Maknanya memang tak sempat nak buat apa-apa.

Hari kedua pun sama, jatuh lagi 30%. Sanggup ke tak rugi banyak ni?

Sebab apa kami letak 30%? Sebab maksimum dalam satu hari harga saham sesuatu syarikat boleh jatuh sampai 30%. Istilah ini kita pangil limit down. Penurunan maksimum adalah seperti berikut:

Harga saham bawah RM1.00 penurunan maksimum adalah 30 sen.
Harga saham atas RM1.00 penurunan maksimum adalah 30%.

2. Terdedah Kepada Ajaran Sesat

Memandangkan semakin ramai orang dah buka mata tentang pelaburan saham, maka semakin ramai jugalah sifu yang giat buat kelas dan seminar pelaburan saham. Ada demand, mesti ada supply kan? Bimbang nanti ‘cikgu-cikgu’ ni akan tunjukkan jalan yang sesat. Nanti diri sendiri yang kecewa.

Jadi bagaimana nak membezakan di antara sifu yang tulen atau jadi-jadian?

Jemput baca:

3. Ketagih Dengan ‘Buy Call’

Ini lagi satu masalah besar dalam terutamanya kepada pedagang saham (traders). Bila dah mula pergi seminar, pastinya anda dahagakan teknik-teknik teknikal yang boleh buat duit. Maka, mulalah gatal tangan nak join group saham yang bersepah-sepah dan tidak diketahui kebolehpercayaannya.

Group sana suruh beli saham ni, group lagi satu suruh beli saham ni, group lain pula suruh beli saham lain. Kesudahannya, anda pun hentam beli semua sekali.

Jika dilihat sudut yang berbeza, entah-entah mereka yang beri Buy Call ni, dah beli awal-awal saham tu. Kita yang terikut-ikut turut sama beli dan menyebabkan harga saham tadi naik. Kemudiannya bila ‘pemberi’ Buy Call mula jual berjemaah, harga saham pun jatuh dan kita pula tersangkut beli di pucuk.

4. Deraan Emosi

Apa kaitan saham dengan emosi? Biasanya pedagang saham (traders) akan berperang dengan 3 jenis emosi ini:

FEAR (TAKUT) : Kita takut nak beli walaupun harga dah cukup cantik untuk dibeli sebab orang lain tak beli.
GREED (TAMAK) : Dah untung tapi masih tak nak jual.
HOPE (BERHARAP) : Dah untung tapi masih tak nak jual, mengharap harga akan naik lebih tinggi. Atau rugi dah melebihi 30% tapi masih berharap harga akan naik.

Cuba lihat contoh ini:

..Anda telah pilih saham dan beli pada harga terbaik.

..Kemudian harga saham tu naik tinggi melebihi sasaran yang anda tentukan. Seronok gila rasa.

..Tiba-tiba harga saham tu jatuh, tapi anda masih tak jual pegangan saham tu, sebab anda rasa analisa anda betul dan saham tu mungkin akan naik semula.

..Sudahnya, saham tu jatuh lagi dan lagi sampailah lebih rendah dari harga beli.

Fuh, boleh tahan ke dengan deraan emosi sebegini?

Pelabur yang berjaya mengawal emosinya jika berada dalam keadaan seperti di atas akan menjual saham tu pada harga yang telah ditentukan awal-awal dan bukannya degil nak pegang lagi saham tu.

Dah capai Target Price (TP), tapi masih simpan saham tu dan tak jual-jual. Bila peram sampai terlupa nak jual, kalau harga saham tadi turun ke paras harga yang kita beli. Daripada elok-elok boleh untung 10%, akhirnya tak untung satu sen pun.

5. Nafsu Untuk Pinjam Duit

Ini merupakan kesilapan terbesar kebanyakan pelabur. Baru nak up sikit, baru dapat buat untung sikit, dah mula gatal tangan meminjam (guna margin atau pinjam duit mak ayah) untuk buat pelaburan. Kononnya berpegang kepada mazhab modal besar, untung pun mesti lagi besar.

Tapi ramai yang hanya sedar bila rugi. Ada yang kena T+4 dan terpaksa Force Selling dalam keadaan menanggung kerugian yang sangat besar.

Lagi teruk kalau buat pinjaman peribadi untuk mula melabur. Belum apa-apa lagi dah berhutang, sebab dengar kawan cerita dengan pelaburan saham boleh untung 15% sebulan.

6. Timbul Perangai Suka ‘Follow’

Kenapa kita beli saham? Orang lain beli, kita pun ikut sama beli. Tengok dalam senarai Most Active, terus fikir saham tu mesti boleh naik lagi sebab ramai orang jual beli secara aktif. Fundamental Analysis pun tak buat, Technical Analysis pun tak buat.

Syarikat tersebut buat bisnes apa, untung ke rugi, siapa pengarah syarikat tak pernah nak ambil tahu. Silap haribulan, niat nak melabur saham terus jatuh hukumnya berjudi.

7. Terdedah Kepada Skim “Pump & Dump”

Ada lagi satu mazhab, kononnya bila beli saham murah, harga saham naik sikit pun dah untung banyak. Tapi dia lupa bahawasanya kalau harga saham tu turun sikit, rugi pun banyak juga.

Kalau nak tahu, saham-saham ‘penny stock’ bawah RM1 terutamanya bawah RM0.20 adalah kegemaran operator atau mereka yang suka memanipulasi harga. Harga saham boleh naik dengan cepat, turun pun cepat. Saham-saham seperti ini (biasanya syarikat rugi) tidak disertai oleh para pelabur jangkamasa panjang, jerung antarabangsa mahupun jerung tempatan pun tak pandang. Pembelinya terdiri dari geng-geng kontra, sindiket dan newbie.

Kalau nak beli juga boleh, tetapi belajarlah Analisa Teknikal supaya anda berjaya beli dan jual pada masa yang baik dan menguntungkan.

Eh, jangan takut, ini bukan nak takut-takutkan anda. Manusia kena hidup saling mengingati. Rugi sikit-sikit itu biasa. Risiko yang boleh diuruskan. Jom kita terus belajar dan belajar.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend