Sejarah Penubuhan Hedge Fund Terbesar Di Dunia Oleh Ray Dalio

Hedge fund merupakan salah satu institusi kewangan yang melaburkan duit pelabur dengan menggunakan teknik yang sukar dijangka oleh pelabur biasa. Kebiasaanya pelabur yang melabur dalam hedge fund ini adalah golongan pertengahan dan atasan yang mempunyai modal besar. Yuran pelaburan untuk melabur dalam hedge fund ini kebiasanya sangat tinggi berbanding dengan pelaburan mutual fund.

Dunia hedge fund tidak akan lengkap jika kita tidak menyebut pelabur lagenda yang terkenal dengan kehebatan mengurus hedge fund dengan keuntungan yang kosisten setiap tahun. Beliau yang dimaksudkan adalah Raymond Dalio.

Raymond Dalio merupakan salah seorang pengurus hedge fund yang terkenal di dunia dan terbesar dunia dengan nilai aset sebanyak USD160 bilion dollar pada tahun 2014. Beliau dilahirkan di New York pada tahun 1949 dan merupakan anak tunggal kepada pemain muzik jazz. Susur galur keturunannya adalah dari negara Itali dan keluarganya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang perniagaan mahu pun bidang ekonomi.

Mula Melabur Saham Ketika Umur 12 Tahun

Beliau mula melabur di Wall Street ketika berusia 12 tahun, di mana beliau telah membeli saham syarikat penerbangan yang bernama Northeast Airlines. Nasib beliau begitu baik kerana mendapat keuntungan sebanyak tiga kali ganda daripada nilai asal apabila syarikat penerbangan itu bergabung dengan syarikat yang lain.

Beliau banyak mendapat tips untuk membeli saham tersebut ketika bekerja sebagai kedi di sebuah resort golf yang terletak di pinggir bandar New York. Peristiwa tersebut membuatkan beliau bersemangat untuk terus menceburi bidang saham dan pelaburan di Wall Street.

Beliau menamatkan pengajian dalam jurusan ekonomi di Universiti Long Island dan menyambung pengajian di peringkat master di Universiti Harvard yang merupakan salah satu universiti terbaik dunia. Pada tahun 1971 semasa masih belajar di Harvard, beliau bekerja secara sambilan sebagai seorang kerani di New York Stock Exchange. Di sinilah beliau diperkenalkan dengan perdagangan mata wang dunia dan ini telah menarik minat beliau lebih mendalam dalam dunia pelaburan.

Setelah tamat pengajian di peringkat master pada tahun 1973 ,beliau kemudiannya berkerja sebagai pengarah penganalisis komuditi di firma Dominick & Dominick LLC.

Setahun kemudian, beliau telah berpindah ke Shearson Hayden Stone sebagai futures trader dan broker. Jodoh beliau dengan firma kewangan ini tidak lama apabila dipecat setahun kemudian kerana telah menumbuk bekas majikannya itu.

Lokasi Headquarters yang terletak di pinggir bandar New York dan dikelilingi dengan alam semula jadi membuatkan Bridgewater begitu unik berbanding hedge fund yang  lain

Menubuhkan Bridgewater Association Pada Tahun 1975

Pada tahun 1975, beliau telah menubuhkan syarikat hedge fundnya yang diberi nama Bridgewater Association dari apartment kediamannya. Pada permulaan penubuhan syarikatnya itu, wang pelaburan yang diperolehinya adalah daripada pelanggan dan kenalan di tempat kerjanya yang lama. Ramai kenalan lamanya percaya bahawa beliau mampu untuk menguruskan wang pelaburan mereka dengan baik, serta dapat memberi pulangan yang lumayan.

Pada awalnya, beliau bermula dengan perdagangan komoditi di pasaran saham. Bagi beliau, untuk berdagang dalam bidang komoditi, ianyaa memerlukan pengetahuan yang luas dan tidak hanya bergantung kepada analisa pasaran harga saham sahaja.

Ray mempelajari selok-belok tentang komoditi seperti penanaman jagung, soya serta perternakan ayam dan lembu di Texas pada akhir dekad 1970-an dengan petani di sana. Beliau cuba untuk memahami bagaimana proses perternakan binatang ternakan daripada awal sehingga ianya dijual di pasaran.

Produk McChicken Nugget adalah salah satu produk McDonalds yang mendapat khidmat nasihat Bridgewater Association sebelum dipasarkan ke pasaran Amerika Syarikat

Daripada pemerhatian yang dilakukanya, Ray menyedari bahawa perternakan binatang ternakan mempunyai kaitan rapat dengan penghasilan makanan untuk binatang tersebut. Komoditi yang penting bagi binatang ternakan adalah seperti jagung, soya dan gandum. Pasaran harga bergantung kepada turun naiknya komoditi makanan mereka.

Jika komoditi itu dapat dikawal, harga bagi binatang ternakan juga turut dapat dikawal. McDonalds merupakan salah sebuah syarikat yang menggunakan khidmat nasihat daripada syarikat Bridgewater Association milik beliau.

Hampir Muflis Suatu Ketika Dulu

Langit tidak selalunya cerah dalam kehidupan semua orang. Pada awal tahun 1980-an, Ray telah membuat satu kesilapan yang besar di dalam hidupnya. Beliau telah meramal bahawa  ekonomi  Amerika Syarikat akan mengalami kegawatan yang besar pada awal 1980-an. Beliau dengan begitu yakin bahawa kegawatan akan melanda pasaran saham Amerika Syarikat tetapi malangnya pada tahun 1982, ekonomi Amerika Syarikat tidak pun mengalami kegawatan malah telah menunjukkan prestasi terbaik.

Akibat daripada kesilapan ramalan yang dibuat ini,  Bridgewater Association berada di ambang muflis dan kehilangan wang pelaburan beliau dan juga pelanggannya. Ramai pelanggan yang berurusan dengan syarikatnya itu, mula menarik balik wang pelaburan mereka. Pada masa ini, disebabkan kesempitan wang, Ray terpaksa meminjam duit daripada bapanya sebanyak $4000 USD untuk meneruskan kehidupan.

Kini beliau mempunyai dua pilihan sahaja, samada ingin meneruskan matlamatnya bersama Bridgewater atau pun menutup terus syarikat tersebut dan mencari pekerjaan dengan syarikat yang lain. Pada masa ini, Ray telah membuat pilihan yang tepat iaitu meneruskan misinya bersama syarikat dan akan membangunkan semula syarikatnya Bridgewater yang hampir lumpuh itu.

Pilih Untuk Bangunkan Semula Syarikat

Ternyata pilihan yang dilakukan olehnya amatlah tepat kerana melalui syarikat Bridgewater, dia mendapat gelaran bilionaire pada masa kini.

Dengan trek rekod yang begitu baik selepas tahun kejatuhan tersebut, beliau kembali mendapat kepercayaan orang ramai untuk menguruskan wang pelaburan mereka. Bridgewater kembali mendapat kepercayaan Bank Dunia untuk menguruskan wang pencen pekerja mereka yang bernilai sebanyak $5 juta USD.

Selepas mendapat kepercayaan Bank Dunia dalam menguruskan wang pencen, pada tahun 1989 syarikat Kodak yang mana pada masa itu merupakan sebuah syarikat bluechip di Wall Street, telah menggunakan perkhidmatan syarikatnya bagi menguruskan wang pencen para pekerja mereka.

Semua pekerja di Bridgewater Association wajib membaca dan mengikuti prinsip yang telah ditetapkan oleh Ray Dalio yang ditulisnya, iaitu sebanyak 214 prinsip

Di antara pencapaian yang paling membanggakan pernah dicapai oleh syarikat ini, adalah pada tahun 2008. Tahun tersebut merupakan tahun kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat yang menyaksikan institusi kewangan gergasi seperti Lehman Brothers diisytiharkan muflis.

Apa yang menarik mengenai Bridgewater, mereka telah dapat menjangkakan dengan tepat bahawa pasaran saham dan ekonomi Amerika akan ditimpa kegawatan setahun sebelum itu iaitu pada tahun 2007. Jadi langkah berjaga-jaga telah diambil oleh syarikat hedge fund beliau.

Apabila tiba tahun kemelesetan ekonomi iaitu tahun 2008, syarikat ini masih membuat keuntungan yang baik berbanding dengan syarikat hedge fund yang lain dan ini telah membuat Ray Dalio semakin terkenal di kalangan masyarakat dunia, khususnya dikalangan pelabur di Amerika.

Buku Principles oleh Ray Dalio

Selain daripada hedge fund, Ray Dalio juga merupakan seorang penulis buku yang terkenal. Buku yang bertajuk Principles telah diterbitkan pada tahun 2017. Buku ini menjadi best-seller untuk New York Times pada tahun tersebut. Buku ini mengumpulkan prinsip-prinsip yang diamalkan oleh Ray Dalio bersama dengan Bridgewater Association sepanjang 4 dekad dalam dunia pelaburan.

Prinsip-prinsip yang terdapat dalam buku ini secara asasnya mengajar cara-cara membuat keputusan yang tepat, terutama dalam kerja seharian kita dan juga di dalam kehidupan. Ray menggunakan prinsip yang terdapat dalam buku ini ketika syarikat mereka berhadapan dengan krisis ekonomi pada tahun 2008.

Sehingga kini syarikat Bridgewater Association telah memenangi pelbagai anugerah di atas kecermerlangan dan kejayaan yang dikecapi oleh syarikat tersebut.

Buku bertajuk Principles yang merupakan salah satu buku yang mencapai taraf New York best-seller

Kini beliau mempunyai kekayaan sebanyak $18.1 billion dan merupakan seorang yang dermawan. Pada tahun 2011, Ray telah berikrar untuk memberikan lebih daripada separuh harta yang dimiliki ketika beliau masih hidup kepada badan kebajikan yang diasaskan oleh Bill Gates dan isterinya, Melinda Gates.

Rujukan Major:

  1. https://www.investopedia.com/articles/investing/030516/ray-dalios-success-story-net-worth-education-top-quotes.asp
  2. https://www.youtube.com/watch?v=HSWASqeXuK4&t=475s
  3. https://www.valuewalk.com/ray-dalio-bridgewater/
  4. https://upclosed.com/people/ray-dalio/

Rujukan Minor:

  1. https://www.cnbc.com/2017/09/15/ray-dalio-went-broke-and-nearly-shut-bridgewater-hedge-fund.html
  2. https://www.businessinsider.my/bridgewater-ray-dalio-lesson-from-going-broke-2017-4/?r=US&IR=T
  3. https://fs.blog/ray-dalio/
  4. https://dealbook.nytimes.com/2011/04/28/bridgewaters-dalio-joins-giving-pledge/

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend