Siapa itu remisier? Ramai pelabur saham keliru dengan tugas mereka

Siapa itu remisier?

Tahniah kepada anda yang telah pun membuka akaun CDS dengan broker pilihan anda.

Sebelum ini kami telah berkongsi serba sedikit berkenaan pembukaan akaun CDS dan kos sebanyak RM10.60 yang dikenakan. Tetapi tahukah anda setiap seorang daripada kita yang mempunyai akaun CDS wajib mempunyai seorang remisier?

Pendek kata remisier ialah orang tengah antara pelabur dengan broker.

Jadi apakah itu Remisier?

“Menurut definisi, remisier bermaksud seorang ejen berlesen dari syarikat broker yang menjadi perantara di antara pelabur saham dengan syarikat broker. Beliau turut menerima komisen bagi setiap transaksi yang dikendalikan beliau. Seorang remisier perlu memegang lessen perwakilan yang membenarkan beliau berinteraksi dengan pelanggan dan berdagang saham.”

Pendapatan remisier bergantung kepada komisen bagi setiap transaksi dagangannya. Nisbah komisen adalah 40% untuk remisier dan 60% untuk syarikat broker saham bagi setiap dagangan. Lebih tinggi urusniaga yang dilaksanakan, lebih banyak komisen yang mereka dapat.

Maka jangan biarkan remisier anda goyang kaki, gunakan khidmat mereka sepenuhnya.

Apa beza Dealer dan Remisier?

Dealer adalah kerjaya yang diberi gaji dan skim lain seperti caruman KWSP, SOCSO dan kemudahan sama seperti pekerja bank. Mereka terikat dengan peraturan Bank Pelaburan, waktu masuk dan keluar sama dengan staff bank lain.

Remisier pula adalah kerjaya yang berkomisen, tidak terikat dengan waktu keluar masuk Bank Pelaburan.

Jadi kenapa kita perlukan Remisier?

Ramai pelabur saham tak tahu atau keliru dengan tugas dan tanggungjawab sebenar seorang remisier.

Mereka menganggap bahawa remisier ni perlu memberi tips-tips saham apa patut dijual / dibeli (sebenarnya boleh selagi tidak bercanggah dengan undang-undang), atau memantau pergerakan harga turun naik saham pada setiap masa.

Duit anda adalah tanggungjawab anda. Adalah lebih baik kalau anda sendiri yang ambil tahu saham apa berpotensi untuk dibeli atau dijual, kalau rugi pun tak sakit hati.

Di antara tugas seorang remisier ialah:

  1. Mengambil pesanan untuk jual dan beli saham daripada pelanggan (Sesuai bagi yang tidak pandai menggunakan trading platform)
  2. Menjawab soalan teknikal yang diajukan pelanggan, sebagai contoh bagaimana nak guna trading platform – macam mana nak beli, macam mana nak jual; Berapakah kos yang terlibat di dalam pembelian dan penjualan saham.
  3. Memberi maklumat terkini kepada pelabur mengenai perkembangan terkini yang berlaku di luar dan dalam Malaysia yang bakal memberi kesan kepada pasaran saham.
  4. Setiap kali kita deposit duit ke dalam akaun CDS, remisier boleh bantu percepatkan proses tersebut.
  5. Jika anda mahu keluarkan duit dari akaun CDS anda samada duit untung atau duit modal, maklumkan sahaja kepada remisier anda dan mereka akan uruskan.
  6. Memberi margin kepada pelanggan, ada yang sehingga tiga kali nilai wang yang didepositkan.
  7. Membantu pelanggan memohon pinjaman pembiayaan saham IPO.
  8. Mereka juga boleh membantu anda memahami produk-produk lain di Bursa Malaysia.

Mungkin ada yang beranggapan di zaman yang serba moden ini kita boleh hidup tanpa remisier, tetapi tidak salah sekiranya kita mempunyai hubungan yang baik dengan remisier.

Sekurang-kurangnya bila ada masalah, ada seseorang yang boleh kita hubungi. Tak pun mereka boleh memberi input untuk menambahkan ilmu kita tentang pelaburan saham.

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Baharu Argentina Harap Projek LNG Dengan Petronas Akan Diteruskan – Mondino

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) — Kerajaan baharu Argentina berharap projek gas asli cecair (LNG) bersama yang bernilai berbilion dolar dengan syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas, akan diteruskan.

“Kami berharap dapat memberikan semua jaminan yang diperlukan untuk pelaburan ini diteruskan,” kata Menteri Luar, Perdagangan Antarabangsa dan Ibadat Argentina Diana Mondino kepada Bernama.

Mondino, yang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi sulungnya, dijangka mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Petronas pada Isnin 18 Mac, 2024 untuk membincangkan aktiviti Petronas di Argentina.

Pada 1 Sept, 2022 Petronas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat minyak dan gas bersepadu terbesar Argentina, YPF, untuk meneruskan kerjasama di negara Amerika Selatan itu dalam projek LNG bersepadu serta bidang lain termasuk minyak huluan, petrokimia dan penyelesaian tenaga bersih.

Selain MoU itu, YPF dan entiti operasi Petronas di Argentina, Petronas E&P Argentina S.A., memeterai perjanjian kajian dan pembangunan bersama ke arah pelaksanaan kajian dan pembangunan potensi projek LNG Bersepadu Argentina.

Perkara itu akan merangkumi pengeluaran gas huluan khusus, pembangunan saluran paip dan infrastruktur khusus, pengeluaran LNG serta pemasaran dan penghantaran.

Keputusan pelaburan akhir (FID) untuk projek itu akan dilaksanakan selepas penilaian teknikal dan komersial yang teliti dijalankan, disokong oleh terma, perundangan dan dasar fiskal yang kondusif.

Pakatan strategik Petronas dengan YPF bermula pada 2014 melalui perkongsiannya dalam projek La Amarga Chica, Vaca Muerta, sebagai sebahagian daripada aspirasi pertumbuhannya di benua Amerika.

Mondino berkata negara itu boleh mengeksport banyak produk gas dan minyak ke peringkat dunia.

“Argentina boleh mengeksport banyak gas kepada dunia namun kami belum mempunyai teknologi untuk mencairkan gas dan pengangkutan…bukan di tahap yang sepatutnya.

“Banyak perubahan politik berlaku di negara saya dan kini, kami jauh lebih pantas. Sebenarnya, perkara ini boleh bermula bertahun-tahun yang lepas namun tidak berlaku. Kami akan memajukan pelaburan seperti ini,” katanya.

Dilaporkan pada 13 Mac, 2024 YPF dan Petronas telah membuat penangguhan selama setahun untuk memuktamadkan FID bagi fasa pertama projek itu.

— BERNAMA