Syarikat Kodak Yang Berstatus Blue Chip Akhirnya Diisytiharkan Muflis, Kerana Kurang Peka Dengan Kehendak Masyarakat

Bagi generasi X dan Y, jenama Kodak mungkin benda yang tidak asing bagi mereka. Mungkin sebahagian besar daripada mereka memiliki kamera berjenama Kodak atau paling kurang sekeping gambar yang terhasil daripada teknologi yang dikeluarkan oleh Kodak. Kodak merupakan sebuah syarikat yang menghasilkan kamera dan filem yang paling lama bertahan dalam industri fotografi dan menakluk dunia lebih daripada seabad dengan produk mereka.

Syarikat kamera ini diasaskan seorang rakyat Amerika yang bernama George Eastman yang ditubuhkan pada tahun 1888. Pada ketika itu kos untuk mengambil sekeping gambar adalah sangat mahal. Selain daripada itu juga, saiz kamera pada masa itu sangat besar dan proses untuk  mengambil gambar begitu sukar dan hanya golongan profesional dan terlatih sahaja yang layak untuk mengambil gambar.

George Eastman merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan kamera untuk kegunaan orang ramai pada abad ke-19

Kodak adalah nama yang dipilih oleh George Eastman dan tidak membawa sebarang makna. Pada awal abad ke 19, kebanyakan pengasas syarikat akan menggunakan nama mereka ataupun nama keluarga mereka untuk diberi kepada syarikat yang diasaskan mereka dan hal ini tidak berlaku kepada Geroge Eastman.

Mempunyai Nama Yang Unik

Beliau memilih untuk menamakan syarikatnya Kodak kerana menurutnya, perkataan “Kodak” lebih mudah untuk diingati oleh orang ramai, walaupun sekali sahaja mereka menyebutnya. Selain daripada faktor mudah diingati, beliau juga merupakan penggemar huruf “K”.

Tag line yang memukau dalam iklan surat khabar menyebakan kamera Kodak menjadi begitu terkenal pada awal pengenalannya

Kamera yang pertama dilancarkan adalah pada tahun 1888, di mana ai boleh mengambil gambar sebanyak 100 keping dalam sekali penggunaan. Pada tahun 1900, Kodak telah mengeluarkan kamera yang diberi nama Brownie. Kamera Brownie ini telah mendapat sambutan yang luar biasa dan membuatkan Kodak mengeluarkannya dengan skala besar. Faktor kejayaan kamera ini adalah ianya begitu murah dan sangat mudah digunakan oleh orang ramai tanpa memerlukan kemahiran yang tinggi.

Pada dekad 1930-an,  Kodak berjaya membawa filem yang berkualiti tinggi pertama dunia yang diberi nama Kodachrome pada tahun 1935. Kodachrome merupakan teknologi dari Syarikat Kodak yang  menaikkan lagi  jenama Kodak dan menguasai secara keseluruhan pasaran dunia dengan pengenalan produk ini.

Kodakcrome merupakan filem pertama yang didatangi dalam bentuk warna dan amat popular pada era kemuncak dominasi Syarikat Kodak terhadap pasaran dunia fotografi

Monopoli Keseluruhan Ekosistem

Sebelum era digital bermula, untuk menghasilkan sekeping gambar memerlukan sebuah kamera dan segulung filem. Selepas gambar diambil melalui kamera Kodak, filem tersebut perlu dihantar ke kedai Kodak untuk diproses bagi menghasilkan gambar, tidak seperti sekarang yang hanya menggunakan printer untuk menghasilkan sekeping gambar. Proses untuk menjadikan sekeping gambar semuanya bergantung kepada Kodak sepenuhnya.

Konsep perniagaan yang dijalankan oleh Kodak adalah dengan menjual kamera dengan harga yang mampu dimiliki oleh orang ramai dan menjual filem yang yang perlu digunakan untuk mengambil gambar dengan harga purata separuh daripada harga kamera yang dibayar.

Secara asasnya, pengguna akan membeli sekali sahaja kamera dan berkali-kali untuk filem Kodak. Dengan makanisma ini, Kodak dapat membuat berkali ganda duit dengan hanya menjual filem untuk kamera mereka. Jadi tidak hairanlah Kodak mampu bertahan sehingga 110 tahun untuk model perniagaan seperti ini.

Pada zaman kemuncak kegemilangan Syarikat Kodak iaitu pada tahun 1976, mereka mendominasi pasaran dunia dalam industri fotografi iaitu sebanyak 85% untuk kamera dan 90% untuk penjualan filem kamera dan legasi tersebut diteruskan sehingga pada awal tahun 2000.

Pada awal tahun 2000, mereka masih mendominasi lebih daripada 80% penjualan filem kamera dan merupakan salah satu syarikat yang bertaraf blue chip di Amerika Syarikat, yang merupakan syarikat paling berjaya sepanjang masa.

Kamera Digital pertama yang dicipta oleh Steven Sasson hampir sebesar saiz ketuhar

Memasuki Era Kamera Digital

Pada dekad 1990-an, banyak syarikat mula berlumba-lumba untuk menghasilkan kamera digital untuk dijual di pasaran. Kodak juga tidak terkecuali dengan pengenalan pertama kamera digital untuk pasaran pada tahun 1995 dengan nama DC 40. Kodak jugalah yang merupakan pencipta kamera digital pertama pada tahun 1976 oleh seorang jurutera muda yang bernama Steven Sasson dan dipatenkan.

Walaupun Kodak telah mengeluarkan kamera digital pada tahun 1995, syarikat tersebut masih lagi memfokuskan pengeluaran filem kamera kerana pada masa itu filem untuk kamera masih lagi memberi keuntungan yang berlipat kali ganda berbanding kamera digital yang kosnya sangat tinggi kerana permulaan teknologi yang baru bagi kamera digital.

Pada tahun 1996, Kodak telah membawa satu teknologi pada filem kamera mereka untuk menjaga pasaran kamera kamera filem yang dinamakan Advance Proton Sistem yang mana menelan kos sebanyak $1 bilion USD untuk dibawa ke pasaran.

Berbeza dengan pesaing Kodak seperti Canon, Sony, Nikon dan Fujifilm; mereka berlumba-lumba di antara satu sama lain untuk membangunkan kamera digital kerana mereka melihat potensi kamera digital akan mendominasi pasaran pada masa akan datang. Selain itu juga, mereka percaya mereka tidak mampu untuk mengatasi Kodak dalam pengeluaran filem kamera kerana kedudukan Kodak terlalu besar; jika dibandingkan daripada segi market capitalization mereka.

Jual Kamera Pada Harga Rugi

Pada tahun 2001 Kodak telah menjual kamera digital secara komersial dan pada harga yang lebih murah berbanding dengan syarikat kamera yang lain seperti Canon, Nikon dan Sony. Kodak dapat menjual kameranya dengan harga yang murah kerana pada masa itu kedudukan kewangan Syarikat Kodak sangat stabil dan setiap kamera digital yang dikeluarkan oleh Kodak, syarikat itu kehilangan duit sebanyak $60 USD (kajian yang dijalankan oleh Harvard Business School).

Ini kerana Kodak masih lagi mengikut prinsip model perniagaan yang lama, di mana percaya kepada keuntungan akan datang daripada proses mencetak gambar. Jadi tidak hairanlah Kodak tidak meningkatkan teknologi kamera-kamera digital kerana pada masa itu, Kodak percaya yang kamera filem tidak dapat diganti dengan teknologi kamera digital.

Pada tahun 2005, Kodak merupakan pengeluar kamera digital yang terbesar di Amerika akan tetapi syarikat tersebut masih lagi dibayangi oleh model perniagannya yang lama. Kodak masih lagi tidak dapat menerima era digital yang melanda perkembangan dunia pada masa itu. Kodak tidak dapat memahami kehendak pasaran baru kerana syarikat itu telah mendominasi pasaran fotografi lebih daripada 100 tahun dengan kamera filem dan sangat stabil daripada segi kewangan.

Pertambahan bilangan media sosial menyebabkan gambar fizikal tidak lagi mendapat tempat di hati masyarakat

Media Sosial Mula Menular

Syarikat media sosial seperti Friendster, Myspace dan Fecebook pula tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, yang mana perkongsian gambar kini hanya di dalam internet sahaja dan bukan di bingkai-bingkai gambar seperti sebelumnya.

Majoriti syarikat dari Jepun pula berlumba-lumba membangunkan teknologi kamera digital bagi golongan profesional (DSLR) dan Kodak masih lagi tidak mengambil serius perkembangan kamera digital bagi golongan prosfesional. Dengan perkembangan telefon pintar dari setahun ke setahun, kamera digital untuk kegunaan harian, bukan lagi menjadi pilihan masyarakat.

Kodak yang tidak membangunkan kamera digital untuk kegunaan golongan profesional, menemui jalan buntu dan tidak lagi dapat bersaing dengan syarikat Jepun dalam bidang fotografi.

Perjalanan ringkas Syarikat Kodak sebelum distihar muflis pada tahun 2012

Kecundang Juga Akhirnya

Pada tahun 2012, Kodak tidak dapat diselamatkan lagi kerana hutangnya terlalu besar dan kemasukan wang tidak lagi selari bebanan hutang semakin meningkat dari setahun ke setahun. Ini menyebabkan Kodak terpaksa diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Persekutuan dan  hancurlah salah satu legasi syarikat terbesar di dunia.

Setelah Kodak diisytiharkan muflis, kini syarikat tersebut masih wujud tetapi dengan nilai yang tidak sampai satu bilion US Dolar. Telah wujud hampir 130 tahun dan pernah menjadi syarikat bertaraf blue chip, akhirnya mereka kecundang disebabkan selesa dengan model perniagaan yang lama tanpa mengambil serius perkembangan era digital.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.youtube.com/watch?v=eVrmFgvEnAA&t=23s
  2. The history of Kodak: Pioneer of film and digital photography
  3. The Rise & Fall of Kodak – A Brief History of The Eastman Kodak Company, 1880 to 2012
  4. How Kodak Squandered Every Single Digital Opportunity It Had
  5. https://techcrunch.com/2012/01/21/what-happened-to-Kodaks-moment/
  6. Focus on past glory kept Kodak from digital win

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend