Utusan Malaysia, Kosmo! Akan Dihentikan Mulai Rabu 21 Ogos 2019 – Berakhirlah Sebuah Legasi

KUALA LUMPUR: Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan) akan menghentikan penerbitan dua akhbarnya, Utusan Malaysia dan Kosmo! bermula Khamis ini untuk satu tempoh yang tidak ditetapkan.

Beberapa kakitangan syarikat itu yang dihubungi mendakwa perkara itu dimaklumkan oleh pengarang kedua-dua akhbar itu kepada kakitangan mereka petang tadi.

Kakitangan yang enggan dinamakan mendakwa pemberhentian penerbitan kedua-dua akhbar itu dipercayai bagi memberi ruang pelabur baru mengambil alih syarikat.

Mereka turut dimaklumkan pihak pengurusan akan mengadakan pertemuan dengan kakitangan kedua-dua akhbar esok, berkemungkinan bagi memaklumkan mengenai pemberhentian operasi itu secara terperinci.

“Esok mungkin hari terakhir Utusan beroperasi. Penerbitan terakhir akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! adalah pada Rabu,” katanya.

Cubaan BH untuk mendapatkan pengesahan Pengerusi Utusan, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir tidak berjaya apabila beberapa panggilan dan mesej kepadanya tidak dijawab.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan, Mohd Taufik Razak, mengesahkan kakitangan syarikat ada dimaklumkan pihak pengarang bahawa penerbitan kedua-dua akhbar itu akan diberhentikan.

Bagaimanapun, katanya, NUJ Utusan menganggap perkara itu belum boleh dianggap muktamad kerana belum ada pekeliling dikeluarkan oleh pihak syarikat buat masa ini.

“Ya, memang pihak pengarang sudah maklumkan kepada kakitangan, tetapi belum ada hitam putih setakat ini.

“Pihak pengarang mungkin dimaklumkan dalam satu taklimat dengan pihak atasan dan terus memaklumkan kepada kakitangan.

“Buat masa ini, ia masih belum muktamad. Selagi tak ada pekeliling, NUJ Utusan menganggapnya sebagai khabar angin,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Terdahulu, lebih 100 kakitangan Utusan, ahli NUJ cawangan syarikat itu serta beberapa bekas kakitangan yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) melancarkan piket di luar ibu pejabat Utusan di Jalan Chan Sow Lin, di sini.

Piket selama sejam bermula jam 1 tengah hari hingga 2 petang itu bertujuan menuntut pihak pengurusan menyelesaikan segera tunggakan gaji kakitangan syarikat akhbar berusia 80 tahun itu yang mencecah hampir dua bulan.

Ketika ditemui pemberita selepas piket itu, Mohd Taufik berkata, pihak pengurusan memaklumkan kepada NUJ Utusan bahawa Utusan mungkin ditutup jika pengurusan gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji itu.

“Dalam mesyuarat pengurusan bersama Abd Aziz pagi tadi, beliau maklumkan jika syarikat gagal selesaikan tunggakan gaji lebih sebulan setengah ini, langkah terakhir adalah menghentikan operasi Utusan.

“Pengurusan tidak maklumkan tempoh untuk selesaikan sebelum menutup operasi, tapi mereka akui sudah tiada langkah dan kehabisan idea bagaimana mahu selesaikan isu ini,” katanya.

Mohd Taufik berkata, NUJ Utusan dimaklumkan pengurusan berdepan masalah untuk mendapatkan dana, khususnya menerusi penjualan aset syarikat, bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji kakitangan yang hampir mencecah dua bulan.

“Ada beberapa masalah teknikal, antaranya ada aset yang nak dijual, antaranya di Petaling Jaya, didapati tidak memiliki Sijil Perakuan Kelayakan (CF).

“Disebabkan tiada CF, aset itu tidak boleh dijual kerana terpaksa mendapatkan kelulusan pihak berwajib seperti bomba dan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu,” katanya.

Pada 9 Ogos lalu, NUJ Utusan dalam satu sidang akhbar mendedahkan kira-kira 250 ahli kesatuan kalangan wartawan, jurugambar dan artis grafik yang tidak mendapat bayaran gaji sejak dua bulan lalu.

Ada kakitangan Utusan dilaporkan terpaksa memberi sirap kepada bayi bagi menggantikan susu kerana tidak mampu membelinya, selain ada yang mendapatkan pinjaman ceti haram serta dikejar bank kerana gagal membayar pinjaman.

Mana-mana pihak yang mahu meringankan beban mereka boleh berbuat demikian dengan memberi sumbangan ke akaun CIMB Tabung Kebajikan NUJ – 8000822560.

Utusan Malaysia mula diterbitkan pada 29 Mei 1939 dan memainkan peranan mendokong perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Sumber: BH Online

Harga Saham Pernah Cecah RM2, Kini Tinggal 11 Sen Saja

Sumber: Trading View

Mula disenaraikan sejak tahun 2002, pada kemuncaknya harga saham Utusan Melayu ini pernah sampai RM2.26 pada Jun 2003, tetapi telah menurun sejak daripada itu.

Kalau nak tahu Utusan Melayu Bertaraf PN 17 sejak bulan Ogos 2018 yang lalu. Ianya disebabkan kegagalan syarikat membayar hutang berpunca daripada kerugian yang berterusan.

Kredit Gambar: MalaysiaStockBiz

Gaji pekerja pun tidak dibayar, apakah nasib pemegang saham Utusan ni ya?

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend