Zakat Pelaburan Suburkan Harta. Apa Maksudnya?

Ramai yang masih dalam mood hari raya. Mungkin ada yang baru sahaja mula bercuti selepas memberi peluang kepada orang lain untuk bercuti awal. Dapat cuti raya atau tidak, zakat fitrah wajib dilunaskan oleh semua muslim. Setiap kali menjelang Ramadhan dan Aidilfitri, zakat fitrah akan sentiasa jadi bualan.

Tapi sebenarnya, ada zakat lain yang wajib ditunaikan oleh individu berkelayakan selain zakat fitrah.

Secara dasarnya, zakat terbahagi kepada dua iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Zakat harta pula melibatkan zakat pendapatan, perniagaan, wang simpanan, ternakan, pelaburan, saham, emas, perak dan lain-lain.

Zakat pelaburan pun ada? Jom ikuti perkongsian Majalah Labur bersama Ustaz Husni Abd. Rahman, daripada Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Boleh Ustaz terangkan tentang kewajipan berzakat untuk orang Islam?

Berzakat merupakan perkara yang diketahui wajib dalam agama. Maknanya, kewajipan ini tidak boleh disangkal lagi. Telah ditetapkan bahawa ada sejumlah harta yang ada dalam harta kita adalah milik orang lain. Harta itu milik Allah, kita hanya mengurus dan manipulasi harta tersebut. Kewajipan ini ada dinyatakan dalam surat At-Taubah ayat 60.

Kenapa orang Islam diperintahkan untuk berzakat? Apa hikmahnya?

Selain boleh membersihkan harta, zakat sebenarnya boleh seimbangkan ekonomi khususnya antara orang miskin dan kaya. Ia juga menunjukkan tanggungjawab sosial dari segi keseimbangan ekonomi antara dua golongan ini. Dengan mengeluarkan zakat, ia menjamin kelangsungan keseimbangan ekonomi. Maksudnya, kekayaan bukan hanya dibolot oleh sesetengah orang (kaya) sahaja. Sebaliknya, ia diagihkan kepada orang miskin yang layak menerima zakat selepas golongan kaya (mampu) membayar zakat.

Boleh ustaz terangkan tentang zakat pelaburan saham?

Pelaburan merupakan sejenis perniagaan. Ia bersifat untuk mengembangkan harta. Zakat pelaburan ini perlu diambil cakna oleh semua pelabur. Orang melabur sebab nak kembangkan harta, pulangan atau harta daripada pelaburan itu wajib dikenakan zakat.

Maksudnya sesiapa yang melabur wajib berzakat? Adakah setiap kali menerima untung wajib berzakat?

Ya, wajib mengeluarkan zakat pelaburan. Tapi ia tidak wajib dibayar setiap kali menerima untung. Zakat pelaburan secara asasnya dibayar pada penghujung tahun atau cukup setahun haul, iaitu pemilikan harta selama setahun. Jika ada pelabur-pelabur yang nak berzakat setiap kali mendapat untung, dibolehkan. Tapi ia adalah pilihan, bukan kewajipan. Kewajipan hanya dikenakan apabila cukup setahun haul.

Difahamkan PPZ Wilayah Persekutuan ada menjalankan kerjasama untuk mengadakan seminar pelaburan saham ke seluruh negara. Boleh kami tahu mengapa PPZ berminat dengan pelaburan saham ini?

PPZ melihat potensi saham dalam menjana keuntungan harta. Ia boleh menjana keuntungan dengan kadar yang lebih segera berbanding perkara lain. Kerjasama ini juga dilakukan untuk memotivasikan dan menggalakkan orang Islam menyertai pelaburan saham kerana tidak ramai yang terlibat dalam cabang perniagaan ini. Ia dimonopoli oleh orang lain. Amat mendukacitakan dan sayang sekali kerana ia adalah peluang untuk kita suburkan harta.

Pelaburan saham dan suburkan harta. Boleh ustaz terangkan?

Rasulullah suka harta dikembangkan. Pada zaman baginda dan sahabat, konsep pelaburan dan kembangkan harta itu sudah diamalkan. Ternakan diletakkan dalam kandang dan dibiakkan supaya membiak lebih ramai. Begitu konsep kembangkan harta pada ketika itu.

Rasulullah juga pernah berpesan kepada Saidatina Aisyah supaya sesiapa yang memegang harta anak-anak yatim, hendaklah diperdagangkan supaya harta tersebut tidak habis malah mesti dikembangkan.

Harta sangat penting dalam membangunkan agama. Jadi, kita mesti berdakwah kepada masyarakat supaya terlibat dengan pelaburan kerana ada saham yang patuh Syariah. Ia menggalakkan pertumbuhan dana Syariah dalam negara.

Dengan melibatkan diri dalam pelaburan saham patuh Syariah, kita sebenarnya sama-sama mengangkat martabat orang Islam dalam ekonomi.

Berjuang jadi kaya, berkongsi kekayaan dengan orang lain, adakah ia digelar perjuangan atau jihad dalam ekonomi?

Ya. Orang yang kerja, berpenat mencari rezeki yang halal, kalau mati, matinya boleh dianggap mati syahid. Rasulullah sendiri memberi galakan kepada mereka yang berusaha mengeluarkan diri dari kemiskinan, mengubah hidup, meningkatkan ekonomi dan mencari rezeki yang halal untuk keluarga. Ia merupakan perjuangan dan jihad, dan golongan ini disayangi agama berbanding mereka yang hanya menunggu rezeki jatuh ke riba.

Apa komen ustaz tentang mereka yang was-was dengan pelaburan Syariah di Bursa Malaysia?

Rasulullah berjanji dalam hadis, ‘tidak akan berkumpul umatku ini untuk berbincang sesuatu yang menyesatkan umat. Pakar-pakar atau ilmuan yang ada takkan mungkin berkumpul dan berbincang untuk menjadikan sumber Islam diragui kerana mereka menggalas tanggungjawab dari Allah. Ia merupakan soal halal, haram dan keberkatan. Kita mesti yakin dengan kumpulan ilmuan dan pakar ini. Kita boleh jamin, apa-apa sahaja yang diputuskan melalui proses penekunan yang teliti.

Bukan mudah untuk menghalalkan satu-satu pelaburan saham. Yakinlah, ia bukan keputusan yang main-main.

Apa saranan ustaz kepada pembaca Majalah Labur?

Berilah kepercayaan kepada orang-orang yang telah menghabiskan masa dalam dunia ekonomi dan kewangan syariah. Yakinlah mereka ini menggalas amanah besar. Setialah menyokong produk syariah yang ada dalam pasaran. Jika tiada sokongan daripada anda, tidak mungkin produk ini boleh dikembangkan kerana tiada keterlibatan daripada pengguna.

ZAKAT : FAKTA VS AUTA

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend