10 Soalan Yang Sering Ditanya Tentang Takaful

Apabila dilakukan tinjauan di kawasan bandar & kawasan kampung, ada jurang yang amat ketara tentang pengetahuan asas Takaful di antara dua golongan ini. Contoh mudah, kebanyakan orang bandar sudah arif apa itu Kad Perubatan (Medical Card), tetapi ramai orang kampung masih tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan kad perubatan.

Malah ada yang langsung tidak pernah dengar tentang Takaful. Oleh itu, jom kita tenok 10 soalan yang sering ditanya tentang Takaful ini.

1. Apa Itu Takaful? Adakah Ianya Sama Dengan Insurans?

Daripada segi istilahnya, Takaful adalah sama dengan insurans. Bezanya Takaful adalah patuh syariah (Islamik), tidak sama dengan insurans konvensional. Kita ambil contoh ayam. Ada ayam patuh syariah, iaitu ayam yang telah disembelih. Tetapi ada juga ayam yang tidak disembelih, maka itu ayam tidak patuh syariah.

Jika nak terangkan lebih mendalam, sistem kewangan takaful juga berbeza dengan insurans konvensional. Sistem kewangan takaful, pelaburannya ke badan-badan dan tempat-tempat yang patuh Syariah. Berbeza dengan sistem kewangan insurans konvensional, pelaburannya tidak patuh syariah.

Jika disentuh dalam aspek proses tuntutan pula, insurans konvensional tiada sistem hibah untuk mereka yang beragama Islam. Maka proses pembahagian harta akan melalui proses faraid, merujuk kepada Amanahraya & seterusnya. Proses ini akan memakan masa yang panjang. Paling cepat 6 bulan, paling lama mungkin 6 tahun.

Berbeza dengan proses tuntutan takaful, ada sistem hibah. Maka proses tuntutan akan terus kepada pemilik polisi atau penama hibah. Tidak melalui proses faraid.

2. Apa Beza Takaful Dengan Insurans?

Soalan ini hampir sama dengan soalan #1, tapi kebiasaannya soalan ini lebih kepada Insurans Am (General Insurance). Ramai orang masih belum faham perbezaan Takaful & GI (General Insurance). Malah ada juga yang agak emosional apabila menyentuh tentang takaful, kerana mereka fikir konsep takaful sama seperti konsep GI – perlu melibatkan peguam, kena hadir mahkamah dan sebagainya.

Takaful hanya melindungi manusia, takaful tidak melindungi harta manusia. Tetapi GI melindungi harta manusia.

Sebagai contoh, En. Rosman terlibat dalam kemalangan kereta. Kereta tersebut rosak, itu urusan GI. Kereta perlu diisytihar ‘Total Lost’ ataupun tidak, itu di bawah urusan GI. Tetapi En. Rosman yang patah kaki akibat kemalangan, itu urusan takaful, dengan syarat En. Rosman ada ambil kad perubatan di bawah takaful.

Situasi kedua, restoran milik En. Rasmin terbakar. Premis restoran terbakar, itu di bawah urusan GI. Tertakluk dengan syarat-syarat dalam polisi GI. Tetapi sekiranya En. Rasmin terbakar, atau pun pekerja restoran terbakar, itu di bawah tanggungjawab takaful, dengan syarat mereka ada mengambil polisi takaful.

Sebagai tambahan, lesen ejen takaful berdaftar di bawah MTA (Malaysian Takaful Association), di mana lesen ini tidak sama dengan ejen GI. Lesen ejen takaful tidak sama dengan ejen GI.

Untuk nak mudah faham, takaful hanya melindungi manusia hidup, bukan harta manusia.

3. Saya Masih Bujang, Bolehkah Ambil Takaful?

Status bujang atau sudah berkahwin tidak mempengaruhi kadar caruman takaful. Namun, status itu akan menentukan tahap kesihatan dan komitmen bulanan anda.

Status kewangan kehidupan sebelum dan selepas berkahwin mempunyai disiplin dan kiraan yang berbeza. Namun kebiasaannya waktu bujang adalah waktu yang sesuai untuk mulakan perlindungan takaful sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

Situasi sebaliknya pula untuk umur. Faktor umur akan mempengaruhi kadar caruman serta nilai cash value. Semakin umur meningkat, risiko penyakit semakin tinggi, maka caruman akan semakin mahal.

Selain itu, semakin meningkat umur pencarum, nilai cash value turut berkurang. Ini bermakna nilai simpanan akan semakin berkurang dengan pertambahan umur.

Maka, masa muda adalah masa yang terbaik untuk buat caruman takaful.

4. Saya Pernah Kemalangan, Bolehkah Saya Ambil Takaful?

Situasi ini bergantung kepada jenis kemalangan dan rawatan yang anda terima. Sekiranya ada anggota yang patah dan dimasukkan besi, maka anggota yang dimasukkan besi tidak akan dilindungi takaful. Akan tetapi anggota yang lain masih boleh mendapat perlindungan takaful.

Walaubagaimanapun, untuk kes seperti ini, kebiasaannya anda perlu ambil Laporan Perubatan (Medical report) dari hospital yang anda pernah menerima rawatan, untuk diserahkan ke pejabat takaful bagi tujuan pengesahan dan proses pendaftaran.

Selain itu, anda perlu rujuk kepada ejen anda untuk penjelasan yang lebih terperinci.

5. Saya Bekerja Sebagai Nelayan, Adakah Saya Layak Mendapat Perlindungan Takaful?

Ada beberapa pekerjaan yang tidak layak mendapat perlindungan takaful. Ini boleh rujuk polisi anda. Namun begitu, pekerjaan nelayan layak mendapat perlindungan takaful.

Malah pekerjaan seperti ini lebih digalakkan mengambil perlindungan takaful kerana tiada gaji yang tetap seperti mereka yang bekerja sektor kerajaan. Selain itu, pekerjaan seperti ini turut tidak mendapat faedah kesihatan seperti mereka yang bekerja di sektor kerajaan.

Untuk mereka yang bekerja seperti ini, selain daripada kad perubatan, mereka juga digalakkan untuk membuat simpanan pelaburan dalam takaful. Sekiranya berlaku musibah, mereka akan turut mendapat manfaat daripada simpanan pelaburan takaful.

This image has an empty alt attribute; its file name is motor-takaful.jpg

6. Saya Pekerja Asing, Layakkah Saya Mendapat Perlindungan Takaful?

Pekerja asing layak mendapat perlindungan takaful. Walaubagaimanapun, jika anda mempunyai permit pekerjaan, anda perlu merujuk kepada ejen anda untuk mengetahui lebih jelas tentang pelan insurans yang ejen beri kepada anda.

Kebiasaannya pekerja yang mempunyai permit pekerjaan, ejen sudah sediakan perlindungan insurans. Jadi anda boleh tahu perlindungan mana yang kurang, maka yang kurang itulah yang perlu anda tambah.

Selain itu, jika anda menggunakan permit pekerjaan, anda perlu tahu tempoh perlindungan anda berapa tahun.

Jika anda hanya bekerja selama 5 tahun, adakah perlindungan anda menjangkaui tempoh 5 tahun atau pun terlalu lama?

Perkara yang terakhir, syarat lokasi kejadian, di mana anda layak mendapat pampasan – di negara asal anda atau negara anda bekerja atau kedua-duanya sekali; supaya tidak berlaku masalah jika berlaku tuntutan kemudian hari.

7. Bolehkah Saya Melabur Dalam Takaful? Jika Ya, Bagaimanakah Caranya?

Anda boleh melabur dalam takaful melalui dua cara. Cara pertama adalah dengan mengambil polisi yang memang ada simpanan pelaburan (Investment-linked Policy), bukan berbentuk stand-alone. Polisi ini memberi pulangan pelaburan walaupun sedikit.

Cara kedua adalah dengan melabur terus ke dalam polisi pelaburan. Polisi pelaburan kebiasaannya bayaran bulanan lebih tinggi daripada polisi biasa. Polisi ini bergantung kepada syarikat takaful yang anda ambil. Pulangan dan tempoh pelaburan pun berbeza.

Sebagai contoh, ada polisi pelaburan di mana tempoh matang ialah 25 tahun, tetapi anda hanya perlu membayar sehingga 10 tahun, kemudian lagi 15 tahun anda hanya menunggu hasil pelaburan. Dalam masa yang sama, sekiranya ada berlaku musibah selama tempoh perlindungan pelaburan anda, anda turut mendapat manfaat takaful.

Anda boleh rujuk ejen anda untuk mengetahui lebih jelas tentang manfaat pelaburan takaful.

8. Bolehkah Saya Ambil Banyak Polisi? Bagaimanakah Kiraan Pampasan Saya?

Anda boleh ambil banyak polisi, dengan syarat bukan kad perubatan semata-mata (Medical card). Jika anda ambil banyak polisi, maka pampasan anda akan dapat adalah jumlah semua polisi yang anda ambil.

Sebagai contoh, jika anda ada ambil 4 polisi berbeza dengan pampasan kematian sebanyak RM50,000 setiap satu, maka anda akan mendapat pampasan sebanyak RM200,000 sekiranya anda meninggal dunia.

Walaubagaimanapun, anda perlu pastikan kesemua polisi memberi pampasan untuk kematian semulajadi, bukan hanya kematian kemalangan sahaja.

Tapi untuk situasi kemalangan dan penyakit kritikal, anda perlu rujuk kepada polisi anda. Kadangkala polisi dari syarikat yang berbeza, syarat kemalangan dan penyakit turut berbeza.

Berbeza dengan kad perubatan, anda hanya boleh guna satu kad dalam satu masa. Kecuali sekiranya kad yang anda gunakan itu sudah melebihi had, maka anda boleh gunakan kad lain bagi menambah had yang ada.

Sebagai contoh, sekiranya kos rawatan anda RM60,000 manakala had kad perubatan anda hanyalah RM50,000, maka anda boleh menggunakan kad yang lain bagi menampung baki kos rawatan RM10,000.

Tapi situasi seperti ini tidak digalakkan, kerana lain syarikat akan menawarkan syarat kad perubatan yang berbeza.

9. Apabila Sampai Tempoh Matang, Saya Tidak Bayaran 100% Dari Apa Yang Saya Dah Bayar Selama Ini. Ke Manakah Wang Saya Telah Digunakan?

Syarikat takaful adalah satu badan organisasi yang besar. Apabila melibatkan organisasi yang besar, maka badan itu menanggung kos operasi yang besar. Maka segala kos operasi seperti sewa premis, gaji pekerja, kos pejabat serta kos lain seperti kos rawatan pesakit lain, turut termasuk dalam kos operasi.

Maka wang yang peserta bayar tadi ada yang telah digunakan sebagai dana untuk mengukuhkan dan mengembangkan syarikat takaful.

Selain daripada itu, wang itu turut digunakan untuk menampung kos rawatan peserta lain yang ditimpa musibah. Manakala selebihnya ada yang digunakan untuk tujuan pelaburan berbentuk patuh syariah.

Pecahan dana takaful ini juga digelar dana tabarru’ (Tabarru’ fund). Anda boleh merujuk kepada ejen takaful untuk mengetahui lebih lanjut pecahan dana tabarru’ setiap peserta takaful.

Kebiasaannya anda akan mendapat sekitar 40% hingga 70% wang pulangan bergantung kepada jenis polisi yang anda ambil.

10. Apakah Itu Waiver? Apakah Situasi Yang Menyebabkan Waiver Diaktifkan?

Waiver ialah manfaat bayaran bulanan peserta, di mana bayaran bulanan akan diteruskan oleh syarikat. Sekiranya peserta mengalami musibah selain kematian, bayaran akan tetap diteruskan tanpa perlu dibayar oleh pesakit. Berbeza dengan pinjaman kereta atau pun rumah, pembeli tetap perlu membayar setiap bulan walaupun ditimpa musibah.

Berbeza dengan manfaat waiver takaful, peserta tidak perlu membayar caruman takaful selama dia sakit, tetapi dalam masa yang sama polisi terus kekal aktif.

Situasi waiver ini hanya aktif sekiranya peserta disahkan mengalami penyakit kritikal. Maka pesakit akan terus mendapat manfaat kematian atau cacat kekal selama dia sakit walaupun peserta sudah tidak membuat bayaran setiap bulan. Untuk mengetahui lebih jelas tentang manfaat waiver, anda boleh rujuk ejen takaful anda.

Anda perlu tahu bahawa lain syarikat, lain tempoh manfaat waiver yang dia terima. Ada yang kekal hingga akhir hayat, ada yang sehingga umur 70 tahun sahaja, bergantung kepada polisi anda.

Sumber Rujukan: https://e-sso.greateasterntakaful.com/

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Syarikat Insurans, Pengendali Takaful Perlu Telus Siasat Tuntutan Pengguna

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) — Bank Negara Malaysia telah menetapkan syarikat insurans atau pengendali takaful untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan objektif terhadap semua tuntutan yang dikemukakan oleh pengguna kewangan. 

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata tuntutan itu juga perlu dilayani setelah mengambil kira faktor- faktor yang berkaitan, dan mewakili hak munasabah penuntut di bawah polisi insurans atau sijil takaful.

“Ini bagi memastikan layanan adil diberikan kepada pengguna kewangan serta memastikan syarikat insurans dan pengendali takaful memenuhi tanggungjawab dan tidak menyalahgunakan klausa pengecualian untuk menafikan tuntutan yang sah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah-langkah yang diambil bagi memastikan syarikat insurans bertanggungjawab atas polisi yang dikeluarkan dan tidak menggunakan pelbagai helah enggan bayar pampasan. 

Lim berkata sekiranya syarikat insurans atau pengendali takaful terpaksa menolak tuntutan insurans atau takaful secara menyeluruh atau sebahagian daripadanya, ia dikendaki memberikan penjelasan yang jelas kepada pengguna kewangan mengenai rasional keputusan tersebut termasuk terma polisi atau pengecualian yang dirujuk.

Katanya, klausa pengecualian ‘exclusion clause’ menetapkan keadaan tertentu yang tidak dilindungi oleh sesuatu polisi — bergantung kepada jenis polisi, antara pengecualian yang lazim adalah memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, penggunaan kenderaan yang menyalahi undang-undang, mencederakan diri sendiri, penyakit sedia ada yang tidak diisytihar atau tuntutan palsu.

“Sekiranya sesuatu keadaan berada di bawah salah satu pengecualian ini, syarikat insurans atau pengendali takaful tidak diwajibkan untuk membayar tuntutan yang berkaitan dengan peristiwa atau keadaan tersebut.

“Bagaimanapun, perlindungan tambahan dengan premium tambahan boleh diperolehi bagi pengecualian tertentu seperti malapetaka atau penyakit sedia ada,” katanya. 

Beliau berkata sekiranya pemegang polisi atau peserta takaful tidak menerima perkhidmatan yang memuaskan, mereka boleh membuat aduan kepada saluran aduan yang disediakan oleh syarikat insurans atau kepada Bank Negara Malaysia melalui saluran elink.

“Tambahan pula, pengguna kewangan boleh merujuk kepada badan bebas ombudsman perkhidmatan kewangan (OFS) secara percuma untuk menangani pertikaian secara adil dan cepat sekiranya pengguna kewangan tidak berpuas hati dengan keputusan muktamad syarikat insurans atau pengendali takaful yang menolak tuntutan mereka berdasarkan klausa pengecualian,” katanya. 

Beliau berkata Bank Negara Malaysia juga akan memantau dari semasa ke semasa sekiranya terdapat syarikat insurans yang palsu atau produk-produk yang tidak memenuhi atau mengikut terma atau syarat yang telah dituntut semasa insurans itu dilakukan.

— BERNAMA