11 Istilah Yang Mesti Difahami Semasa Memilih Pelan Takaful

Kawan asyik promot untuk ambil polisi takaful dengan mereka. Tapi, kita tak tahu apa-apa pun tentang takaful. Untungkah kalau mencarum? Kalau kita tak sakit, ke mana perginya duit itu? Apa kelebihannya untuk jangka masa panjang?

Kalau nak buat perbandingan antara polisi yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat dan pelan yang berbeza, kita perlu baca dengan teliti setiap polisi takaful tersebut. Tapi, bukan senang nak faham kontrak takaful sebab banyak istilah yang tak pernah dengar.

Berikut disenaraikan beberapa istilah umum yang patut kita beri perhatian dan fahami dengan baik. Ini semua dapat membantu dalam memilih pelan yang paling sesuai untuk keadaan dan keperluan kita.

1. Takaful

Pertamanya, mungkin ada yang masih belum faham dengan konsep takaful. Berbeza dengan insurans, takaful sebenarnya melibatkan penyertaan sekumpulan individu yang saling bekerjasama untuk menanggung sebarang musibah atau kemalangan yang berlaku kepada salah seorang ahlinya.

This image has an empty alt attribute; its file name is etiqa-motor-takaful.jpg

2. Tabarru’

Sumbangan yang diperolehi oleh semua peserta akan dicarum kedalam Dana Tabarru’ (Sumbangan / Derma). Dari segi bahasanya, ianya bermaksud sumbangan ikhlas – yang tidak mengharapkan sebarang balasan. Ia sebenarnya turut diklasifikasikan sebagai suatu bentuk infaq/derma.

Jadi, di sini perlu faham bahawa ia mengamalkan prinsip saling membantu dan berkongsi risiko, bukannya jual beli yang menjanjikan keuntungan. Jika dilihat dari satu sudut lain, tiada istilah ‘wang hangus’ dalam keadaan ini sungguhpun anda tak pernah sakit atau claim sebarang gantirugi kerana ia adalah wang derma yang bakal diganjari pahala lumayan, insha Allah.

3. Wakalah

Perkataan wakalah diambil daripada perkataan bahasa Arab yang bermaksud perwakilan. Secara praktiknya, prinsip wakalah yang dilaksanakan oleh pengendali takaful adalah di mana mereka sebagai wakil kepada peserta/pencarum untuk menguruskan dana yang telah diwujudkan dengan penuh amanah, telus dan profesional.

Bagi tujuan tersebut, caj pengurusan dikenakan berasaskan kepada prinsip perwakilan yang dibayar upah (al-Wakalah bi al-ujrah). Tidak salah sebenarnya untuk anda mengetahui jumlah komisen atau caj pengurusan yang bakal dibayar kepada syarikat takaful. Maklumat ini sepatutnya ada dinyatakan dalam polisi.

4. Dana Risiko

Seperti yang kita dah faham, salah satu tujuan menyertai takaful adalah untuk mendapatkan perlindungan apabila ditimpa musibah. Oleh itu, sebahagian daripada jumlah caruman akan diinfaqkan untuk mewujudkan satu tabungan atau dana yang akan digunakan untuk mengikut jumlah perlindungan yang diambil oleh peserta.

Dana yang dikumpul ini dikenali sebagai Dana Risiko Peserta dan ia bukan hakmilik mutlak syarikat takaful.

5. Mudharabah

Selain bertujuan untuk membiayai peserta yang ditimpa musibah, ada sebahagian yang turut dilaburkan berdasarkan polisi yang dipersetujui.

Mudharabah adalah persetujuan yang membenarkan syarikat melaburkan dana dari caruman. Sebarang keuntungan dari pelaburan ini akan dikongsi mengikut peratusan yang telah ditetapkan..

6. Waiting Period

Setelah anda bersetuju untuk menyertai takaful, terdapat tempoh menunggu / waiting period sebelum perlindungan bermula. Tempoh ini bergantung kepada syarikat takaful, ada yang 90 hari, ada yang 120 hari, jadi tanya betul-betul dekat ejen.

Kalau waiting period 120 hari, maka apa-apa penyakit atau pampasan hanya boleh dibuat jika ia berlaku selepas tempoh tersebut. Jadi, sebab itulah jangan tunggu ada penyakit baru nak mencarum takaful.

7. Free Look Period

Selain tempoh menunggu, ada juga tempoh di mana pelanggan boleh mengkaji dan meneliti polisi insurans dalam masa yang diberikan, contohnya 15 hari. Kalau tak setuju, mereka boleh membatalkan polisi tersebut dan caruman akan dipulangkan semula.

Manalah tahu, bila dah baca polisi betul-betul tiba-tiba rasa menyesal atau ada tersilap buat keputusan. Jadi, anda ada hak untuk membatalkannya. Senang kata, tiada paksaan ya.

8. Penyakit Spesifik / Specified Illness

Syarikat takaful menyenaraikan beberapa penyakit spesifik dan menetapkan syarat bahawa penyakit-penyakit ini tidak akan dilindungi sekiranya berlaku dalam tempoh yang tertentu.

Sebagai bakal pencarum, dapatkan kepastian dengan meneliti kontrak atau bertanya dengan ejen anda; Apa itu penyakit-penyakit spesifik? Berapa lama tempoh menunggu untuk penyakit spesifik? Ini kerana, ada beberapa penyakit khusus yang mempunyai tempoh menunggu lebih panjang sehingga 120 hari.

9. Penyakit Kritikal / Critical Illness

Selain penyakit spesifik, ada beberapa penyakit yang dikategorikan sebagai penyakit kritikal dan menetapkan syarat bahawa penyakit-penyakit ini tidak akan dilindungi sekiranya berlaku dalam tempoh yang tertentu.

Jadi, anda juga perlu tahu apakah jenis penyakit yang tergolong dalam kategori ini supaya tidak berlaku salah faham ketika membuat tuntutan nanti. Seperti penyakit spesifik, ketahui juga berapa lama tempoh menunggu untuk penyakit kritikal yang disenaraikan.

10. Pengecualian / Exclusion

Pengecualian melibatkan situasi dan perkara yang tidak dicover oleh polisi takaful. Walaupun kontrak anda panjang berjela, jangan sesekali terlepas pandang bahagian ini. Baca banyak kali dan cuba fahamkan dengan jelas.

Setiap polisi syarikat mempunyai klausa berbeza-beza antara satu sama lain. Antara contoh pengecualian (perkara yang tidak akan ditanggung) dalam takaful adalah:

  • Penyakit sedia ada yang anda rahsiakan, iaitu tidak dinyatakan di dalam borang semasa memohon perlindungan takaful.
  • Penyakit spesifik yang berlaku semasa 120 hari yang pertama tempoh menunggu.
  • Apa-apa keadaan perubatan atau fizikal yang berlaku dalam tempoh menunggu 30 hari, kecuali untuk kecederaan akibat kemalangan.
  • Apa-apa rawatan atau pembedahan dijalankan untuk keadaan sejak lahir, termasuk penyakit keturunan.

11. Pembayaran Bersama

Perhatikan juga 2 istilah ini yang berkait rapat dengan medical card anda, sekiranya ada.

Co-Takaful: Pembayaran bersama yang dikenakan setiap kali buat tuntutan. Mungkin ada, mungkin tak ada. Jadi, semak polisi dengan teliti.

Co-Payment: Pembayaran bersama yang dikenakan sekiranya pelanggan upgrade wad yang melebihi kadar yang ditanggung oleh medical card.

Ambil Tahu Apa Yang Anda Bayar Setiap Bulan

Sebagai seorang pencarum, kenalah tahu apa manfaat yang boleh anda dapati melalui takaful. Jangan sekadar mengharapkan maklumat daripada ejen dan jangan pula join sebab ikut-ikut orang tanpa meneliti setiap perkara penting yang terkandung di dalamnya.

Nanti, bila tak dapat claim, mulalah kutuk kata takaful tu penipu. Ada saja yang tak puas hati sedangkan semuanya dah tertulis dalam polisi.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Industri Takaful Membayar Sebanyak RM8.74 Bilion Tuntutan Perlindungan Takaful Pada Tahun 2023

Takaful Keluarga dan Takaful Am masing-masing membayar RM6.79 bilion dan RM1.95 bilion.

Kuala Lumpur, 26 Mac 2024 – Persatuan Takaful Malaysia (MTA) hari ini mengumumkan bahawa pengendali takaful telah membayar tuntutan perlindungan Takaful berjumlah RM8.74 bilion pada tahun 2023 bagi menyokong rakyat pada masa mereka memerlukan. Pengendali Takaful Keluarga telah membayar sebanyak RM6.79 bilion, menggariskan komitmen mereka untuk melindungi keluarga di seluruh negara. Pengendali Takaful Am pula telah mengeluarkan jumlah tuntutan sebanyak RM1.95 bilion. Peningkatan pembayaran sebanyak 24.40% ini menunjukkan kepekaan industri takaful terhadap keperluan pemegang sijil dan berdedikasi untuk meringankan beban rakyat pada kadar segera.

Pembayaran ini disokong oleh sumbangan kasar perniagaan berkuat kuasa Takaful Keluarga yang meningkat sebanyak 7.55% kepada RM8.97 bilion, berbanding RM8.34 bilion pada tahun 2022. Bilangan sijil berkuat kuasa pada tahun 2023 stabil pada 6.60 juta, berbanding 6.63 juta sijil berkuat kuasa yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Sepanjang tahun 2023, pengendali Takaful Keluarga menambah 1.13 juta sijil baharu dengan caruman kasar sebanyak RM9.59 bilion tetapi tidak dapat mencapai 1.31 juta sijil baharu dan caruman kasar RM10.06 bilion yang didaftarkan pada tahun 2022. Walaupun jumlahnya lebih rendah sedikit berbanding tahun sebelumnya, ia masih memberi kesedaran dan kepercayaan yang berterusan terhadap perlindungan takaful dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pengerusi MTA, Encik Elmie Aman Najas berkata, ̉Kepentingan dan manfaat takaful semakin mendapat sambutan seperti yang dibuktikan oleh bilangan sijil berkuat kuasa yang konsisten berikutan tahun yang kukuh untuk sijil baharu pada tahun sebelumnya. Ini menandakan bahawa peserta Takaful terus memenuhi kewajipan dalam memberi sumbangan mereka, mempunyai kesedaran yang berterusan terhadap perancangan kewangan serta pengekalan di kalangan pemegang peserta Takaful. Inisiatif kesedaran yang meluas diterjemahkan kepada hasil yang ketara di mana produk takaful terus menjadi pilihan utama.

Dari segi prestasi, data tiga tahun menunjukkan normalisasi dalam industri pada tahun 2023, selepas setahun pertumbuhan kukuh pasca-pandemik pada tahun 2022. Kadar penembusan Takaful Keluarga pada tahun 2023 kekal stabil pada 19.58%, walaupun populasi mencatat pertumbuhan tertinggi 10 tahun dengan peningkatan sebanyak 678,500 orang, mengatasi pertumbuhan tahun 2022,Ó sambung beliau. Pada tahun 2022, kadar penembusan Takaful Keluarga adalah 20.06% dan pertumbuhan populasi adalah 401,600 orang.

Trajektori perniagaan Takaful Am terus meningkat pada tahun 2023 dengan peningkatan sebanyak 17.44% dalam sumbangan kasar kepada RM5.45 bilion daripada RM4.64 bilion. Sumbangan langsung juga mencatatkan peningkatan, sebanyak 17.40% kepada RM5.44 bilion daripada RM4.64 bilion pada tahun sebelumnya.

Prestasi teguh takaful kenderaan yang berkembang sebanyak 18.70% kepada RM3.64 bilion membantu kepada peningkatan sumbangan dan kekal sebagai pemacu utama Takaful Am. Prestasi ini sejajar dengan 799,731 kenderaan bermotor baharu yang dijual pada tahun tersebut yang didorong oleh kempen promosi dan pelancaran model baharu. Peningkatan kesedaran dan penghargaan terhadap produk takaful serta kemudahan pembelian melalui platform digital menyebabkan takaful kenderaan telah menyumbang sebanyak 66.94% daripada perniagaan Takaful Am.

Pengendali Takaful Am tangkas dalam memperkenalkan produk takaful kenderaan yang inovatif bagi pemilik kenderaan elektrik (EV). Produk yang direka khusus untuk kenderaan EV telah membantu pengendali, serta menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional yang menyasarkan 20% daripada jumlah kenderaan yang dijual adalah xEV menjelang tahun 2030, dan 50% menjelang tahun 2040.

Bidang perniagaan lain juga mencatat pertumbuhan kukuh akibat pemulihan pasca-pandemik berterusan, khususnya industri berkaitan logistik. Prestasi penerbangan meningkat sebanyak 146.04%, mencatatkan RM13.81 juta sumbangan kasar secara langsung (2022: RM5.61 juta), manakala industri kargo meningkat sebanyak 79.09% kepada RM30.85 juta (2022: RM17.24 juta) dan badan kapal laut meningkat sebanyak 45.89% kepada RM15.07 juta. Pemulihan sektor pembinaan pada 2023 membantu Semua Risiko Kontraktor (CAR) & Kejuruteraan mencapai peningkatan sebanyak 44.00% atau RM71.32 juta, iaitu RM233.42 juta bagi tahun tersebut.

Dari segi saluran, Agensi dan Bancatakaful kekal sebagai pusat hubungan utama, dengan sumbangan perniagaan baharu sebanyak 34.03% dan 29.99%.

MTA menjangkakan industri takaful dapat mengekalkan momentum yang stabil pada 2024, selari dengan unjuran pengembangan ekonomi keseluruhan Malaysia. Industri takaful bersatu dalam komitmennya untuk menyediakan perlindungan takaful yang boleh diakses dan berpatutan untuk rakyat sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menyokong pembangunan ekonomi negara.

Selaras dengan ini, MTA mengumumkan pelan transformasi strategik empat tahunnya untuk meningkatkan dan menginovasikan takaful menjadi nama yang dikenali di Malaysia dan mengilhamkan pemegang polisi generasi baharu. Mandat ini adalah untuk menjadikan takaful lebih relevan, mudah diakses dan memberi impak yang lebih besar.

Dikenali sebagai Hijrah27, pelan transformasi strategik ini merangkumi perubahan dengan tujuan serta menyepadukan misi MTA dengan matlamat visi Rangka Kerja Sektor Kewangan 2026 dan kerangka Intermediasi Berasaskan Nilai untuk industri. Hijrah27 adalah sambungan daripada Pelan Reformasi MTA yang berjaya dilaksanakan pada 2022-2023, yang dikenali sebagai ISLAH 23, dan akan memacu industri dan ekosistem Islam secara keseluruhan bagi memajukan takaful.

Walaupun Hijrah27 masih dalam proses penyelesaian, MTA merancang Hijrah27 ini akan memberikan dorongan dan seterusnya mengekalkan momentum pertumbuhan takaful dan menjadikannya pemimpin di Malaysia. Hijrah27 akan berterusan memberikan penekanan pada kerjasama, kesedaran menyeluruh, inovasi produk dan perkhidmatan, dan pengekalan peranan Takaful dalam seluruh ekosistem untuk memperluaskan perlindungan dan memenuhi keperluan rakyat yang kurang (unserved) atau tidak mempunyai akses (underserved) mengikut tahap keperluan mereka bagi memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai jaringan keselamatan.