Pertimbangkan 5 Benda Ini Sebelum Memilih Pelan Takaful

Fuh, Banyak rupanya produk Takaful sekarang ni, pelan yang mana paling bagus?

Pertama sekali, tahniah atas kesedaran anda yang ingin ambil tahu tentang kepentingan takaful untuk masa depan diri sendiri dan keluarga.

Persoalannya sekarang, nak mula dari mana?
Syarikat Takaful mana yang terbaik?
Pelan Takaful apa yang patut diambil?
Berapa bajet yang perlu ada?

Bertenang….

Memang ada banyak produk takaful yang bagus di pasaran. Tapi hakikatnya, kita yang lebih tahu pelan apa yang terbaik dan paling sesuai dengan keperluan diri dan juga keluarga.

Oleh itu, berikut adalah 5 perkara yang kita perlu pertimbangkan untuk memilih takaful yang paling sesuai.

1. Tahu Keperluan Anda

Sebelum membuat sebarang pilihan, kita mesti tahu matlamat kita untuk mencarum ke dalam Takaful. Di antara contoh pelan takaful yang lazimnya ditawarkan adalah:

  • Takaful Keluarga
  • Takaful Pendidikan Anak
  • Takaful Perubatan & Kesihatan (Medical Card)
  • Takaful Pelaburan, dan banyak lagi.

Kalau dilihat daripada perspektif umum, pertama sekali kita mahukan perlindungan, kedua simpanan, dan akhir sekali barulah pelaburan. Pelan yang komprehensif akan menawarkan ketiga-tiga produk ini dalam satu. Tapi, semak keutamaan anda dan sebaiknya fokuskan pada perlindungan terlebih dahulu.

4 jenis perlindungan yang patut kita tekankan dalam sesebuah polisi adalah:

  1. Perlindungan Rawatan Hospital dan Pembedahan (Medical Card)
  2. Perlindungan Penyakit Kritikal
  3. Perlindungan Kemalangan Diri
  4. Perlindungan Kematian dan Lumpuh

Keempat-empat jenis perlindungan ini adalah amat penting, lebih-lebih lagi jika anda adalah breadwinner atau seseorang yang menanggung keluarga.

2. Tetapkan Bajet Yang Realistik

Kalau ikut pakar kewangan, nilai polisi Takaful yang paling sesuai adalah bernilai 10 kali ganda daripada jumlah gaji tahunan kita. Tetapi, kalau kita masih ada banyak tanggungan dan belum dapat mencapai nilai tersebut, jangan pula memaksa diri dan lepas 3-4 bulan dah nak terminate sebab tak mampu nak bayar.

Jadi, ambil jumlah yang mampu bayar. Seeloknya adalah 10% daripada gaji kita, tetapi kalau hanya mampu sekadar 5% pun boleh. Polisi ini boleh sentiasa diperbaharui dan upgrade dari semasa ke semasa.

Elakkan juga mengambil yang paling murah dan sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’ kerana ia mungkin mempunyai unsur penipuan, menyukarkan anda bila nak buat claim nanti atau tidak mendapat perlindungan yang secukupnya.

Ada yang bergaji besar sehingga RM6000, nak ambil takaful RM100 pun berat hati sebab duit hujung bulan pun cukup-cukup. Jenis yang ini perlu perbaiki cashflow dahulu sebelum ambil Takaful.

3. Pilih Ejen Yang Bagus

Kalau ditanya di antara PruBSN Takaful, AIA Public Takaful, Etiqa, Zurich Takaful – yang mana bagus? Memang susah nak cakap sebab biasanya syarikat-syarikat besar ini tentunya mempunyai kewangan yang kukuh dan stabil.

Boleh dikatakan semuanya bagus. Tapi, salah satu cabaran yang perlu anda lalui nanti adalah mencari ejen yang jujur kerana mereka inilah yang perlu menerangkan dengan jelas butiran maklumat yang diperlukan dalam borang cadangan serta memaklumkan fakta yang penting dalam polisi tersebut.

Mungkin ada yang ‘baik’ semasa memujuk kita untuk membeli saja. Lepas kita dah jadi klien mereka, terus tak ada follow-up, tak layan panggilan dan ada juga kes ejen bawa lari duit kita!

Nak lagi best, berjumpalah dengan Financial Advisor (FAR) yang berlesen terus dengan Bank Negara. Mereka akan bantu membuat perancangan kewangan anda dari A-Z.

4. Fahamkan Polisi Secara Menyeluruh

Bagi kita yang tak biasa dengan istilah kewangan, memang susah sikit nak fahamkan semuanya. Jadi, tak perlu terburu-buru dan belajar sedikit sebanyak perkataan-perkataan yang biasa digunakan. Boleh gunakan Google, buku kewangan, pamphlet yang diberikan atau tanya melalui rakan-rakan.

Jangan malas tau!

5. Double-check Segala Maklumat

Akhir sekali, berwaspada terhadap ejen yang tidak berdaftar. Sebelum membuat sebarang pembayaran, semak dengan pengendali syarikat Takaful atau Persatuan Takaful Malaysia untuk memastikan ejen tersebut adalah ejen yang bedaftar.

Elakkan menandatangani borang permohonan, borang tuntutan yang kosong, atau apa-apa perjanjian sebelum membacanya sampai habis. Mesti double-check.

This image has an empty alt attribute; its file name is etiqa-motor-takaful.jpg

Jangan Malu Bertanya

Kalau ada sebarang perkara yang tak jelas atau tak tahu, bertanyalah. Jangan anggap ianya remeh.

Paling penting, mesti fokus pada apa yang perlukan dan bukan apa yang ejen tawarkan.

Baca juga 6 Sebab Kenapa Orang Menyampah Dengan Ejen Takaful

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lebih 14,000 Pelan Perlindungan Takaful PruBSN Dibeli Melalui Akaun 2 KWSP

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) — Lebih 14,000 pelan perlindungan takaful telah dibeli daripada Prudential BSN Takaful Bhd (PruBSN) oleh ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah inisiatif i-Lindung.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PruBSN Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata lanjutan kedua inisiatif i-Lindung KWSP itu akan membantu lebih ramai orang dan ahli keluarga mereka mempunyai perlindungan daripada sebarang keadaan yang tidak dijangka.

“Kami percaya lebih ramai ahli daripada golongan pertengahan mendapatkan perlindungan berikutan pengumuman KWSP bahawa mereka kini boleh menggunakan dana daripada Akaun 2 untuk membeli produk takaful untuk diri mereka sendiri dan ahli keluarga terdekat,” katanya kepada Bernama.

Menurut KWSP, lebih 102,301 ahli telah membeli 118,166 polisi dan produk takaful melalui platform i-Lindung sejak dilancarkan pada Julai 2022 hingga Disember 2023.

Pada Februari 2024, dana persaraan itu memperluaskan perlindungan polisi kepada ahli keluarga terdekat.

Wan Saifulrizal berkata PruBSN dalam masa yang sama memahami keperluan mendesak untuk membangunkan pelan perlindungan dengan teliti bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan dan sara hidup.

Melalui kerjasama dengan KWSP, PruBSN menawarkan empat pelan perlindungan takaful, iaitu PruBSN Lindung, PruBSN Lindung Famili, PruBSN Cegah, dan PruBSN Cegah Famili — meliputi perlindungan takaful hayat dan penyakit kritikal pada premium yang berpatutan.

Mengenai perkembangan lain, Wan Saifulrizal berkata halangan seperti inflasi perubatan mungkin memberi kesan kepada tahap kemampuan orang ramai bagi mendapatkan pelan perlindungan perubatan.

“Kami percaya beberapa penetapan semula harga dilakukan pada pelan perlindungan perubatan tahun ini disebabkan oleh inflasi perubatan. “Oleh itu, kami akan menyediakan beberapa pilihan seperti menyemak liputan, atau mungkin memilih pelan yang lebih berpatutan untuk meneruskan perlindungan,” katanya.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa pelaksanaan cukai perkhidmatan tambahan daripada enam peratus kepada lapan peratus juga merupakan antara halangan baharu bagi industri takaful.

Ia mungkin tidak memberi kesan kepada individu, bagaimanapun, syarikat yang berhasrat untuk menyediakan perlindungan takaful sebagai sebahagian daripada faedah kepada pekerja mereka, perlu membayar lebih disebabkan cukai perkhidmatan tambahan itu, katanya.

“Jadi, kami perlu memastikan pakej kami disasarkan dan mempunyai harga yang bersesuaian kepada segmen yang mampu mendapatkan pelan perlindungan itu,” kata Wan Saifulrizal.

Beliau menyatakan bilangan sijil yang dikuatkuasakan untuk suku pertama 2024 semakin meningkat walaupun berlaku pelarasan harga. PruBSN kini mempunyai lebih daripada dua juta pelanggan sejak penubuhannya pada tahun 2006.

Persatuan Takaful Malaysia (MTA) baru-baru ini mendedahkan bahawa perniagaan takaful keluarga menambah 1.13 juta sijil baharu dengan sumbangan kasar sebanyak RM9.59 bilion pada 2023 berbanding 1.31 juta sijil baharu dengan sumbangan kasar RM10.06 bilion pada 2022.

— BERNAMA