Takaful Bukan Sekadar Insurans Yang ‘Diislamkan’. Ini 5 Perbezaannya

Pada awal tahun 1980-an, berlakunya perkembangan industri Takaful di Malaysia hasil daripada desakan keperluan umat Islam terhadap sebuah alternatif kepada insurans yang bertepatan dengan tuntutan Syariah. Oleh sebab itu, Takaful mula diterima ramai dan ia turut berkembang selari dengan operasi Bank Islam yang ditubuhkan pada tahun 1983.

Walaupun begitu, mungkin ada sesetengah golongan masyarakat yang menganggap sistem takaful adalah sama seperti insurans dan bezanya pula hanya pada nama. Ini kerana, kedua-duanya bertindak untuk menyediakan perlindungan apabila berlaku sebarang musibah atau kemalangan.

Berikut adalah 5 perbezaan nyata yang perlu anda fahami di antara takaful dan insurans.

1. Konsep Dasar

Takaful: Secara dasarnya, Takaful merupakan sebuah kontrak di mana hanya satu pihak sahaja yang melafazkan sesuatu pemberian tanpa berlakunya sebarang pertukaran. Secara mudahnya, ia boleh dianggap sebagai penyertaan sekumpulan individu yang saling bekerjasama untuk menanggung sebarang musibah atau kemalangan yang berlaku kepada salah seorang ahlinya.

Insurans: Sebaliknya pula bagi konsep insurans, terdapatnya pertukaran (jual beli) di antara kedua-dua pihak. Polisi insurans konvensional dibeli sebagai jaminan kewangan peribadi dan syarikat insurans pula menjadi penanggung risiko.

2. Kontrak / Akad

Takaful: Menurut Dr. Zaharuddin, seorang Pakar Kewangan Islam / Shariah yang tersohor di Malaysia, syarikat-syarikat Takaful berbeza daripada insurans di mana Takaful telah mengubah akad ‘Mu’awadah Maliah’ yang digunakan oleh syarikat Insuran konvensional kepada akad Tabarru’  iaitu kontrak derma. Selain daripada itu, terdapat juga kontrak Wakalah (Agensi) dan kontrak Mudharabah (Perkongsian Untung Rugi).

Insurans: Bagi insurans pula, kontrak yang digunakan melibatkan sistem jual beli di antara syarikat insurans dan pembeli polisi.

3. Pelaburan

Takaful: Pelaburan kumpulan wang Takaful adalah melalui instrumen pelaburan yang diharuskan dan ia dipantau oleh Majlis Penasihat Syariah. Segala unsur riba, gharar, dan maisir diselia serta dijauhkan sama sekali. 3 unsur inilah yang telah menyebabkan insurans konvensional difatwakan sebagai haram menurut Majlis Fatwa Kebangsaan 1972.

Insurans: Unit pelaburan insurans konvensional pula akan melabur secara bebas kepada mana-mana pihak berdasarkan faktor komersial serta mengikut penilaian masing-masing agar mendapat keuntungan yang maksimum.

4. Keuntungan

Takaful: Keuntungan atau lebihan yang diperolehi akan dikongsi di antara pengendali takaful, pencarum, dan pemegang saham berdasarkan model yang ditetapkan. Ia tidak dimiliki oleh syarikat Takaful melainkan nisbah yang disumbang daripada wang syarikat sendiri.

Insurans:  Segala keuntungan mahupun lebihan akan dimiliki sepenuhnya oleh syarikat insurans tersebut.

5. Hubungan / Risiko

Takaful: Selari dengan konsep tolong-menolong atau derma, syarikat Takaful lebih berfungsi sebagai pengendali berbanding penjual polisi. Ini kerana, risiko akan ditanggung bersama oleh pencarum dan syarikat takaful itu sendiri.

Insurans: Dalam insurans konvensional, risiko akan dipindahkan kepada syarikat insurans secara langsung. Hubungan antara kedua-dua pihak adalah lebih kepada penjual dengan pembeli dan tidak fokus terhadap kerjasama di antara pencarum.

Nampak Sama, Tapi Berbeza

Jika difahami dengan teliti, konsep yang digunapakai dalam Takaful sebenarnya merentas agama dan bangsa kerana fitrah setiap manusia adalah melakukan kebaikan terhadap satu sama lain. Malah, ia juga dapat dilihat sebagai salah satu mekanisme dakwah dalam memperkasakan ekonomi umat Islam.

Walaupun terdapat perbezaan di antara insurans konvensional dan Takaful, tetapi Takaful tidak terhad kepada orang Islam sahaja, malah terbuka kepada semua.

Bagi Orang Islam, Hanya Takaful Sahaja Pilihannya

Sekarang anda dah tahu kan perbezaan di antara kedua-duanya? Oleh itu, ketahuilah hanya Takaful sahaja pilihan yang ada bagi orang Islam. Daripada anda terus membandingkan di antara produk insurans dengan produk takaful, apa kata lepas ini anda bandingkan pula produk takaful dengan produk takaful syarikat lain pula.

Semoga kita semua mendapat rahmat daripada perkongsian kali ini.

Hukum Takaful vs Insurans oleh Dato Dr Asri (Dr Maza)

Sumber gambar : Zooranor, Perunding Takaful

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend