Dah Ada Polisi Takaful? Ambil Tahu 6 Perkara Ini

Adakah anda sudah mempunyai polisi Takaful? Alhamdulillah, bagus kerana dah diberi taufik dan hidayah untuk mengambilnya.

Tapi ambil bukan sekadar ambil, perlu juga kita tahu beberapa hak kita sebagai pemegang polisi Takaful seperti berikut:

1. Apakah pelan polisi anda?

Perkara paling asas yang kita perlu tahu ialah, apakah jenis pelan polisi yang kita ambil? Adakah ianya berbentuk simpanan atau pelaburan? Atau pelaburan dan simpanan? Atau stand-alone?

Apabila kita dah tahu jenis polisi, maka kita lebih bersedia untuk perancangan seterusnya untuk masa hadapan. Setiap jenis pelan ini ada kelebihan & kekurangan masing-masing.

Maka kita perlu peka dengan jenis pelan yang anda ambil.

2. Apakah faedah atau pampasan yang anda akan dapat sepanjang tempoh perlindungan?

Apabila kita mengambil pelan Takaful, perkara kedua kita kena tahu tentang pampasan yang kita akan dapat? Adakah ianya semata-mata kad perubatan (Medical Card)? Atau polisi itu lebih kepada pelaburan tapi menyediakan pampasan penuh untuk situasi 3D (Death/Disease/Disability)?

Atau polisi ini lebih kepada tabung simpanan untuk urusan kecemasan jika berlakunya situasi 3D? Atau adakah polisi ini lebih kepada tabung pendidikan anak-anak atau tabung persaraan anda? Atau polisi ini hanya menyediakan pampasan saat kita ditimpa kemalangan?

Kita akui, tak semua orang boleh ambil semua faedah takaful dalam satu masa tertentu. Apabila semakin tinggi nilai pampasan atau semakin banyak faedah Takaful yang kita ambil, maka caruman bulanan juga akan semakin tinggi.

Situasi ini sama macam anda membeli kereta. Jika keupayaan kewangan anda hanya mampu untuk menggunakan kereta Perodua Axia, kenapa kita perlu beli kereta Honda? Tapi jika kita sudah mampu pada masa hadapan, kita masih boleh menambah lagi polisi sebagai perlindungan tambahan anda.

Jadi sebagai pemegang polisi Takaful, adakah polisi yang anda ambil itu menepati keperluan anda? Atau dalam erti kata lain, “Is it worth it”?

3. Bilakah tempoh matang polisi? Apakah keadaan yang menyebabkan polisi terbatal?

Sebagai pemilik polisi, anda perlu peka (Baca : Alert) bilakah tempoh matang polisi kita. Seandainya kita selamat daripada sebarang situasi 3D sepanjang tempoh perlindungan, adakah kita akan dapat faedah matang (Maturity Benefit)?

Jika ada, berapakah nilai bayaran yang kita akan dapat? Sebagai contoh, jika anda ambil polisi semasa anda berumur 25 tahun, tempoh matang adalah sehingga 30 tahun. Maka ketika kita berumur 55 tahun nanti, berapakah nilai pulangan yang kita akan dapat?

Tapi untuk pengetahuan kita, kebiasaannya jumlah itu bukanlah 100% daripada jumlah yang telah anda bayar selama tempoh perlindungan, tapi sekurang-kurangnya kita tetap menerima faedah matang.

Persoalannya, adakah pada umur 55 tahun nanti nilai yang kita terima itu mampu untuk menyara hidup kita untuk tahun-tahun seterusnya? Jika tidak mencukupi, apakah polisi lain yang kita perlu tambah sebagai persediaan tambahan untuk bekalan hari tua?

Selain daripada itu, kita juga perlu peka juga mengenai situasi yang boleh menyebabkan polisi tersebut terbatal. Kadang-kadang, polisi akan terbatal automatik sekiranya ada tuntutan kemalangan. Tapi ada juga polisi yang akan terus aktif walaupun ada tuntutan kemalangan.

Persoalan macam ini, kita perlu rujuk kepada ejen. Sebab ada sesetengah kes terpencil, klien itu sendiri tidak tahu bahawa polisinya sudah terbatal hampir 3 tahun kerana sudah ada tuntutan kemalangan. Tapi klien juga tidak mengalami apa-apa kerugian, kerana selama 3 tahun itu juga tiada berlaku sebarang penolakan dari akaun klien.

Cuma klien hanya rugi dari segi perlindungan sahaja, kerana selama 3 tahun itu langsung tiada sebarang perlindungan Takaful jika berlakunya sebarang musibah.

This image has an empty alt attribute; its file name is motor-takaful.jpg

4. Apa faedah lain yang anda dapat?

Kadang-kadang, ada faedah tambahan (Extra benefit) anda akan dapat apabila ditimpa musibah, khususnya situasi 3D. Lain syarikat, lain faedah yang ditawarkan. Di antara contoh faedah tambahan ini seperti elaun hospital, elaun MC, elaun kematian, faedah “waiver”, malah elaun sembuh daripada penyakit diabetes pun ada.

Walaupun faedah tambahan ini tidak penting mana, tapi sekurang-kurangnya ada bonus untuk kita saat ditimpa musibah.

5. Sampai bilakah tempoh perlindungan?

Soalan ini hampir sama dengan soalan (3). Bezanya situasi ini jika kita sudah mempunyai kad perubatan atau pun polisi Takaful di bawah syarikat tempat kerja anda. Ada sesetengah syarikat menyediakan pelan Takaful untuk pekerja bagi menjaga kebajikan pekerja, dalam masa yang sama ingin mengelakkan kerugian jika berlakunya kemalangan di tempat kerja.

Jadi sebagai pekerja, anda perlu tahu sampai bila anda akan mendapat faedah perlindungan ini? Apakah limit tahunan yang pelan ini tawarkan?

Ada syarikat memberi limit rawatan sebanyak RM60,000 setahun, tetapi tuntutan maksimum hanya RM20,000 untuk satu rawatan. Lain syarikat Takaful, lain faedah yang ditawarkan untuk pekerja. Jadi sekiranya pampasan itu tidak mencukupi atau pun kurang sesuai, kita boleh menambah polisi Takaful lain sebagai persediaan masa hadapan.

Tapi kebiasaannya, syarikat bukanlah pusat kebajikan untuk menampung pekerja sakit, malah syarikat juga takkan menanggung pekerja buat selamanya. Jadi sekiranya pekerja itu sudah tidak bekerja di bawah syarikat itu, biasanya polisi Takaful akan terbatal secara automatik. Rugi untuk anda, untung buat bekas syarikat anda & syarikat Takaful.

Maka, untuk situasi seperti ini, jalan yang selamat adalah dengan mengambil pelan Takaful atas perlindungan individu, bukan atas nama syarikat semata-mata.

6. Bagaimanakah proses tuntutan? Jika saya perlukan rawatan kecemasan, hospital mana yang boleh?

Ini persoalan akhir yang kita perlu tanya. Walaupun tidak penting mana (Hanya penting saat dilanda musibah), tetapi kita tetap perlu tahu bagaimana proses tuntutan anda. Jika perkara ini sudah jelas, tiada masalah tuntutan saat dilanda musibah, klien juga tidak rasa tertipu dengan perlindungan Takaful yang kita bayar setiap bulan.

Jika kita sudah ada kad perubatan, kita perlu tahu adakah tuntutan kita nanti ‘Cashless’ (Tanpa tunai) atau ‘Pay & Claim (Bayar & Tebus)’? Jika cashless, maka tiada masalah sekiranya kita dimasukkan ke dalam wad.

Bayaran kos rawatan dengan hanya menggunakan kad perubatan. Sama konsep seperti kita membeli-belah di pasaraya menggunakan kad debit, bezanya kad perubatan ini hanya boleh digunakan jika kita dimasukkan ke dalam wad. Hanya perlu ‘Swipe & Pay’. Mudah kan?

Namun situasi sebaliknya berlaku sekiranya tuntutan tersebut adalah Pay & Claim. Kita perlu menggunakan wang sendiri terlebih dahulu untuk kos rawatan, kemudian kita akan buat tuntut semula kepada syarikat Takaful mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam buku polisi.

Selain daripada itu, anda perlu tahu bagaimanakah proses tuntutan sekiranya anda dilanda musibah 3D? Bagaimanakan proses bayaran wang pampasan? Adakah ianya terus masuk ke dalam akaun bank atau pun melalui cek? Atau adakah bayaran itu melalui wakil syarikat Takaful? Jika nilai pampasan itu besar, kebiasaannya bayaran akan dibuat melalui cek atau terus ke dalam akaun mangsa atau waris.

Akhir sekali, sekiranya kita adalah pemegang kad perubatan, kita perlu tahu hospital mana yang boleh terima kad kita. Perlu tahu hospital panel yang boleh memberi khidmat untuk polisi Takaful kita.

Tidak semua kad perubatan boleh digunakan untuk semua hospital. Hanya hospital tertentu sahaja yang layak digunakan untuk kad perubatan yang kita miliki.

Situasi ini tidak sama untuk syarikat takaful yang berbeza. Ada syarikat takaful mempunyai banyak hospital panel, ada syarikat hanya mempunyai hospital panel yang sedikit.

Maklumat ini penting sekiranya kita perlu dimasukkan ke dalam hospital. Malah akan menjadi masalah sekiranya hospital tersebut bukan hospital panel.

Sebagai contoh, kad perubatan hanya khusus untuk hospital panel yang tertentu. Kita perlu tahu ini dengan jelas bagi mengelakkan masalah ketika proses tuntutan. Jika hospital tempat kita dirawat bukan hospital panel kad perubatan kita, maka kad perubatan kita tidak boleh digunakan di hospital itu.

Untuk hospital panel pula, kita boleh semak dalam buku polisi. Dalam buku polisi akan menerangkan semua hospital panel untuk setiap negeri.

Perlu Jelas Dengan Polisi Takaful, Apa Yang Cover Dan Apa Yang Tak Cover

Enam persoalan ini contoh soalan asas yang kita perlu tahu sebagai pemilik polisi. Sebagai pemilik polisi Takaful, kita perlu prihatin dengan perkara seperti ini supaya masa depan anda lebih terjamin saat ditimpa musibah.

Selain daripada itu, dengan mengetahui lebih jelas polisi Takaful yang kita ambil, kita boleh merancang untuk sebarang penambahan polisi (Policy Upgrade) pada masa hadapan. Ini kerana kita sudah tahu di mana kekurangan & kelebihan polisi yang kita sedang ambil sekarang.

Sumber Rujukan: https://e-sso.greateasterntakaful.com/

Dan sebelum nak viralkan apa-apa isu berkenaan polisi Takaful anda, kita ada pihak yang boleh menyelesaikan masalah tersebut secara baik. Jemput baca Ombudsman Boleh Bantu Menyelesaikan Pertikaian Kewangan Anda.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Syarikat Insurans, Pengendali Takaful Perlu Telus Siasat Tuntutan Pengguna

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) — Bank Negara Malaysia telah menetapkan syarikat insurans atau pengendali takaful untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan objektif terhadap semua tuntutan yang dikemukakan oleh pengguna kewangan. 

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata tuntutan itu juga perlu dilayani setelah mengambil kira faktor- faktor yang berkaitan, dan mewakili hak munasabah penuntut di bawah polisi insurans atau sijil takaful.

“Ini bagi memastikan layanan adil diberikan kepada pengguna kewangan serta memastikan syarikat insurans dan pengendali takaful memenuhi tanggungjawab dan tidak menyalahgunakan klausa pengecualian untuk menafikan tuntutan yang sah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah-langkah yang diambil bagi memastikan syarikat insurans bertanggungjawab atas polisi yang dikeluarkan dan tidak menggunakan pelbagai helah enggan bayar pampasan. 

Lim berkata sekiranya syarikat insurans atau pengendali takaful terpaksa menolak tuntutan insurans atau takaful secara menyeluruh atau sebahagian daripadanya, ia dikendaki memberikan penjelasan yang jelas kepada pengguna kewangan mengenai rasional keputusan tersebut termasuk terma polisi atau pengecualian yang dirujuk.

Katanya, klausa pengecualian ‘exclusion clause’ menetapkan keadaan tertentu yang tidak dilindungi oleh sesuatu polisi — bergantung kepada jenis polisi, antara pengecualian yang lazim adalah memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, penggunaan kenderaan yang menyalahi undang-undang, mencederakan diri sendiri, penyakit sedia ada yang tidak diisytihar atau tuntutan palsu.

“Sekiranya sesuatu keadaan berada di bawah salah satu pengecualian ini, syarikat insurans atau pengendali takaful tidak diwajibkan untuk membayar tuntutan yang berkaitan dengan peristiwa atau keadaan tersebut.

“Bagaimanapun, perlindungan tambahan dengan premium tambahan boleh diperolehi bagi pengecualian tertentu seperti malapetaka atau penyakit sedia ada,” katanya. 

Beliau berkata sekiranya pemegang polisi atau peserta takaful tidak menerima perkhidmatan yang memuaskan, mereka boleh membuat aduan kepada saluran aduan yang disediakan oleh syarikat insurans atau kepada Bank Negara Malaysia melalui saluran elink.

“Tambahan pula, pengguna kewangan boleh merujuk kepada badan bebas ombudsman perkhidmatan kewangan (OFS) secara percuma untuk menangani pertikaian secara adil dan cepat sekiranya pengguna kewangan tidak berpuas hati dengan keputusan muktamad syarikat insurans atau pengendali takaful yang menolak tuntutan mereka berdasarkan klausa pengecualian,” katanya. 

Beliau berkata Bank Negara Malaysia juga akan memantau dari semasa ke semasa sekiranya terdapat syarikat insurans yang palsu atau produk-produk yang tidak memenuhi atau mengikut terma atau syarat yang telah dituntut semasa insurans itu dilakukan.

— BERNAMA