Kepentingan Takaful atau Insurans Perjalanan dan Senarai Semak sebelum ke Luar Negara

Baru-baru ini, kecoh di media sosial berkenaan seorang rakyat Malaysia yang terkena strok ketika ingin menghadiri Majlis Konvokesyen anaknya di United Kingdom (UK). Beliau memerlukan bantuan perubatan dan logistik yang menelan kos tinggi untuk membolehkannya pulang ke tanah air.

Walaupun ada mengambil polisi Insurans Perjalanan, namun tuntuan ditolak kerana penyakit tersebut adalah penyakit sedia ada. Jadi adalah lebih baik kita tahu apa yang dilindungi dan tidak dilindungi ketika mengambil polisi insurans.

Selain daripada itu, adalah penting untuk kita membuat senarai semak apa yang perlu dibuat sebagai persediaan ke luar negara.

Mengikut satu kajian yang dibuat oleh Tune Protect pada tahun 2016, hanya 34.6 peratus rakyat Malaysia yang membeli insurans perjalanan ketika bercuti ke luar negara. Ini memberikan gambaran masih lagi kurang kesedaran berkenaan kepentingan Takaful atau Insurans Perjalanan di kalangan rakyat Malaysia.

Berikut saya kongsikan secara asas apa yang kebiasaannya dilindungi oleh polisi Takaful atau Insurans Perjalanan.

1. Kematian dan Kecacatan Kekal

Pampasan akan dibayar mengikut polisi dan berbeza di antara syarikat Takaful dan Insurans yang berbeza. Kebiasaannya ia akan dilindungi dalam jangka waktu 365 hari dari tempoh berlakunya kemalangan.

2. Kehilangan Beg

Perlindungan merangkumi kehilangan beg, barang peribadi, pakaian, dan juga wang tunai.

3. Kehilangan Wang dan Pasport

Pihak Takaful dan Insurans akan menanggung perbelanjaan hotel, perjalanan, dan lain-lain perbelanjaan yang berkaitan sementara anda mendapatkan pasport baru. Walaubagaimanapun, aduan perlu dibuat kepada pihak polis dalam tempoh 24 jam dari masa kehilangan pasport tersebut.

4. Pembatalan Perjalanan

Pembatalan perjalanan yang disebabkan oleh individu dimasukkan ke hospital kerana sakit atau kemalangan.

5. Tertinggal Penerbangan

Anda tertinggal penerbangan akibat daripada gangguan pengangkutan awam semasa hendak ke lapangan terbang.

6. Perbelanjaan Perubatan

Ini merangkumi rawatan kecemasan, penghantaran pulang mayat, elaun hospital, dan juga rawatan susulan.

Berikut pula merupakan Senarai Semak Sebelum ke Luar Negara.

1. Pemeriksaan Kesihatan

Pastikan kita membuat pemeriksaan dengan doktor berkenaan kesihatan diri. Tanya pihak Takaful atau Insurans penyakit apa yang dilindungi dan tidak dilindungi. Jangan sembunyikan apa-apa jenis penyakit semasa mengambil Takaful atau Insurans Perjalanan.

2. Bawa Salinan Pasport

Ini boleh digunakan sebagai bukti bahawa kita adalah warganegara Malaysia sekiranya berlaku kehilangan pasport.

3. Simpan Salinan Pasport Secara Elektronik

Anda boleh pertimbangkan untuk simpan salinan pasport di emel sebagai langkah keselamatan.

4. Daftar Dengan Kedutaan

Ini akan memudahkan pihak kerajaan menghubungi anda jika terdapat sebarang masalah atau timbulnya sebarang isu keselamatan.

5. Kadar Tukaran Mata Wang

Pastikan kita buat kajian berkenaan tukaran mata wang. Ini dapat membantu dalam membuat perancangan perbelanjaan sepanjang berada di luar negara.

6. Kad Kredit

Pastikan kad kredit yang kita bawa boleh berfungsi di negara yang ingin dilawati.

7. Wang Tunai

Pastikan sentiasa ada wang tunai (matawang tempatan) dalam dompet. Tidak semua tempat boleh terima kad kredit.

8. Semak Yuran Masuk dan Keluar

Sesetengah negara mengenakan yuran untuk masuk dan keluar daripada negara mereka. Yuran tersebut tidak termasuk dalam tiket penerbangan.

Walaupun tips di atas nampak mudah, namun ianya berguna untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini di negara orang. Takaful atau Insurans Perjalanan pula adalah sangat disyorkan untuk melindungi anda semasa di luar negara.

Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Berkelulusan Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam, Universiti Teknologi Mara
Masih bekerja di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit
Boleh dihubungi melalui emel azharuladha@gmail.com
Penulisan adalah atas kapisiti peribadi dan hanya untuk tujuan pendidikan sahaja

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend