Rasa rugi je bayar Takaful tiap-tiap bulan

Rugi Bayar Takaful?

Kali ini nak ulas sedikit tentang perangai orang kita. Pak Teh bukan ejen mana-mana produk takaful, tapi pernah jatuh sakit dan bil hospital mencecah 8 ribu lebih. Kalau nak bayar memang kena keluarkan semua simpanan yang ada. Syukur Alhamdulillah satu sen tak keluar masa tu sebab terbuka hati mencarum takaful sejak 2010. Kalau ada terkurang fakta dalam artikel ini abam takaful jangan marah ya.

 

Sejak dua menjak ni selalu sangat dengar dialog macam ni, lebih-lebih lagi dari mulut anak muda kita. Kawan-kawan ejen takaful mesti selalu beristighfar panjang bila dengar.

“Kalau saya tak sakit macam mana ya? Rugi lah bayar takaful tu bulan-bulan…”

Kalau kita masuk takaful sebab nak guna duit tu, maksudnya kita mintak nak sakit!

Fahamkan Maksud Takaful

TAKAFUL adalah satu perkataan yang berasal dari perkataan Arab ‘Al-Kafala (jamin) iaitu bermaksud ‘Saling Jamin Menjamin’. Takaful juga berasaskan prinsip-prinsip berkongsi tanggungjawab dan saling membantu untuk menjaga kepentingan bersama. Setiap peserta menyumbang berasaskan tabarru’ (derma) kepada dana yang akan digunakan untuk membantu satu sama lain bila diperlukan.

Ingat, takaful akad asasnya adalah tabarru’ (derma).

Bermaksud, setiap sen yang kita sumbangkan ke dalam tabung takaful, berniat untuk menolong peserta yang lain dan juga diri sendiri apabila ditimpa musibah (nauzubillah). Syarikat pengendali takaful cuma tolong urus tabung ni je. Biasa dengar kan nama syarikat seperti Etiqa Takaful, Great Eastern Takaful, Prudential BSN Takaful, Syarikat Takaful Malaysia, Zurich Takaful…banyak lagi.

 

Jadi sila betulkan niat itu dahulu sebelum mencarum mana-mana produk takaful.

Kalau niat itu betul, maka jika kita tidak claim walaupun sekupang, kita akan merasakan ianya untung.

Maka rugi ke jika kita tolong orang lain?

Tidak akan berkurang rezeki orang yang bersedekah, justeru ia akan bertambah, bertambah, dan bertambah (HR. Al Tirmizi)

“Kalau macam tu, tak perlulah saya masuk takaful. Anytime boleh derma…”

Betul, kita boleh derma bila-bila masa. Tetapi, berapa cepat kita boleh hulurkan bantuan jika tiba-tiba ada adik beradik kita disahkan menghidap barah dan memerlukan segera duit rawatan sebanyak RM100,000? Kalau kita kenal dengan ADUN kawasan yang hartawan, itu lain cerita.

Lagi pun berapa banyak wang yang boleh kita dermakan?

Berapa cepat pula wang tu boleh disalurkan?

Waktu kita tak kena musibah, orang lain kena musibah. Kita tak cacat, orang lain yang cacat. Bila dia cacat, dia dapat pampasan dari sedekah semua peserta Takaful. Alhamdulillah kita sihat, dan boleh cari rezeki untuk anak isteri dalam keadaan sempurna. Jadi, kita nak duit pampasan dan cacat ke, atau nak jadi sihat dan sempurna anggota?

Satu hari nanti bila kita pula ditimpa musibah, pasti kita bersyukur ada orang lain yang sudi membantu kita.

Nampak tak betapa hebatnya muamalat Islam dalam menyusun atur kehidupan kita?

Takaful wujudkan bantuan kewangan supaya hidup kita dipermudahkan dan kita redha dengan takdir atau musibah yang telah ditetapkan ke atas hamba-Nya yang beriman.

Apabila mati anak adam, terputus semua amalannya kecuali 3 perkara : Sedeqah jariah, Ilmunya yang dimanfaatkan orang selepas kematiannya, dan anaknya yang soleh yang mendoakannya (HR Muslim)


Jika kita enggan mencarum takaful, kita tidak rugi. Ianya hanyalah amalan tambahan untuk kita. Sama seperti sedekah, puasa sunat, solat sunat.

Kalau nak diibaratkan, takaful ni sama macam tayar spare dalam kereta. Rasa rugi ke bawa sana sini tapi tak pernah pakai pun lagi?

Jika anda ada anak kecil sila baca juga : Tabung Pendidikan Anak atau Perlindungan Takaful? Kenapa Tak Ambil Kedua-duanya Sekali?

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend