Rugikah Jika Terus Bayar Takaful Setiap Bulan Sedangkan Sihat Walafiat?

Untung Rugi Mencarum Takaful

Ramai orang anggap Takaful ini hanya berguna bila sakit. Contohnya medical card, dah sakit baru nak guna untuk admit ke hospital. Tapi bila dah sakit tu, ada ke syarikat Takaful yang nakkan kita sebagai pelanggan mereka?

Bagaimana pula sekiranya kita terus-menerus membayar caruman Takaful setiap bulan, tapi tak pernah guna? Rasa rugi tak?

Mengapa Anda Perlukan Takaful Walaupun Tak Pernah Sakit?

1. Ketenangan Minda

Ya, tidak dinafikan sekarang anda memang sihat walafiat. Tapi adakah anda boleh meramal yang sakit itu tidak akan ‘singgah’ pada masa akan datang? Sudah acap kali kita dengar anak muda berusia 20-an pun terkena serangan jantung.

Jika awal-awal lagi dah ada pelan Takaful, ianya bermakna ada tidak perlu bimbang jika berlaku sesuatu yang tidak diingini nanti. Seperti peribahasa Melayu, “sediakan payung sebelum hujan”.

Bayangkan, jika anda mengalami kemalangan ataupun menghidap sakit kronik yang memerlukan kos belanja perubatan yang tinggi, bagaimana nak membayarnya? Jika dalam sebulan dua mungkin masih boleh survive. Tetapi jika ianya mengambil tempoh masa yang lama sehingga bertahun–tahun, padahal time tu anda sedang terlantar di hospital, dan tiada punca pendapatan kerana majikan telah memecat anda yang sakit buat suatu tempoh yang lama.

Dengan adanya perlindungan Takaful, ia dapat memberikan ketenangan minda daripada sudut kewangan. Takdelah seperti “sudah jatuh ditimpa tangga” pula.

2. Keluarga Mendapat Manfaat 

Setiap daripada kita pasti akan mati, dan apakah peninggalan kita kepada keluarga apabila sudah tiada lagi di muka bumi ini? Adakah nak tinggalkan hutang, atau pun tinggalkan duit kepada waris? Ajal maut di tangan Tuhan, kita hanya boleh membuat persiapan untuk menghadapinya.

Kita mencarum Takaful bukan sebab kita nak mati, tetapi sebab ada orang yang akan terus hidup. Anak dan isteri kita at least dapat teruskan hidup tanpa hutang. Bagi anak-anak pula, dapatlah duit untuk mereka menyambung pelajaran dan meneruskan kehidupan. Nak lihat isteri anda yang sebelum ini seorang suri rumah terpaksa bekerja bagi menampung belanja membesarkan anak-anak yang masih bersekolah?

3. Cacat Kekal & 36 Penyakit Kritikal, Tidak Perlu Lagi Bayar Premium Bulanan

Jika ditakdirkan anda mengalami kemalangan jalan raya yang telah menyebabkan anda mengalami kecacatan fizikal kekal, mahu pun ditimpa penyakit kritikal yang menyebabkan anda tidak lagi boleh bekerja seperti biasa – ada lagi satu ciri Takaful yang menjadikannya percuma.

Bila dah ditimpa musibah yang hebat, sekurang-kurangnya anda tidak perlu risau untuk membayar premium bulanan kerana ianya telah ditanggung sepenuhnya. Malah, ada yang dapat durian runtuh bagi menampung hidup selepas itu.

4. Tolong-Menolong Sesama Orang Islam

Jika dinilai daripada segi kewangan, memanglah nampak seperti sedang rugi. Maklumlah bayar setiap bulan sampai ratusan ringgit, tapi tak guna sikit pun perkhidmatan yang disediakan. Tetapi jika ianya diukur dari segi kehidupan yang perlu tolong menolong sesama insan, barulah anda dapat menikmati kemanisan Takaful.

TAKAFUL adalah satu perkataan yang berasal dari perkataan Arab ‘Al-Kafala (jamin) iaitu bermaksud ‘Saling Jamin Menjamin’. Takaful juga berasaskan prinsip-prinsip berkongsi tanggungjawab dan saling membantu untuk menjaga kepentingan bersama.

Cuba kita bayangkan pahala yang sentiasa mengalir bagi pencarum Takaful, kerana akan sentiasa ada orang yang ditimpa musibah. Walaupun anda hanya membayar RM50 setiap bulan, tetapi apabila dikumpul bersama-sama dengan pencarum lain – jumlahnya akan mencecah jutaan ringgit.

Setiap orang yang berjaya dibantu; anda seolah-olah ada saham ketika ‘memberi’ bantuan kepada mereka yang tidak bernasib baik.

 

Wahai anakku, seandainya baba mama pergi dulu, kami dah sediakan perlindungan untukmu … moga ianya berguna suatu hari nanti…

 

Baca juga Takaful Bukan Sekadar Insurans Yang ‘DiIslamkan’. Ini 5 Perbezaannya.

Komen

komen