Takaful vs Insurans, Objektif Sama Tetapi Konsep Berbeza

Kata dasar bagi perkataan Takaful ialah kafala yang bererti menjamin, menjaga atau memelihara. Takaful merupakan kata nama yang berasal daripada kata kerja takafala yang bermaksud saling menjamin, saling menjaga dan saling memelihara. Konsep ini mengandungi prinsip kerjasama, saling membantu dan tanggungjawab bersama yang merupakan asas insurans secara Islam atau Takaful.

Masyarakat kita sering menyamakan takaful dan insurans walaupun pada hakikinya ianya adalah satu perkara yang sangat berbeza.

Walaupun objektifnya sama iaitu untuk pengurusan risiko, namun ia sangat berbeza dari segi konsep. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, takaful adalah satu kontrak yang mana setiap peserta menjamin peserta lain jika terdapat sebarang kejadian yang tidak diingini.

Berbeza Pada Kontrak Yang Digunakan

Ianya dipanggil kontrak tabarru’ iaitu satu tabung atau dana yang digunakan untuk menampung risiko di kalangan peserta takaful. Melalui kontrak ini, kita dapat lihat selain dari berkongsi risiko, peserta juga dapat menderma melalui kontrak tabarru’ tersebut.

Selain daripada itu, takaful juga mempunyai kontrak wakalah di mana takaful operator bertindak sebagai wakil bagi pihak peserta untuk mentadbir dana yang diperolehi melalui sumbangan bulanan yang dibuat.

Kontrak mudharabah pula adalah kontrak perkongsian untung rugi di antara peserta dan takaful operator. Insurans adalah satu kontrak jual beli di antara pencarum dan syarikat insurans dengan tujuan untuk memindahkan risiko pencarum kepada syarikat insurans jika terjadi sebarang kejadian yang tidak diingini. Jika tiada tuntutan dari pencarum, syarikat insurans akan mengaut untung dan begitu juga sebaliknya. Modus operandi insurans itu sendiri mempunyai unsur perjudian.

Hanya 15% Rakyat Malaysia Ada Takaful

Perkhidmatan takaful secara umumnya kurang mendapat sambutan dari masyarakat Islam sendiri kerana kurangnya kesedaran mereka terhadap peranan takaful di dalam kehidupan dan ekonomi mereka walaupun perkhidmatan produk-produk yang ditawarkan oleh takaful operator memang patuh shariah. Takaful lebih mementingkan keadilan, ketelusan, dan sikap tolong menolong di kalangan pesertanya.

Faktor-faktor lain yang menjadi penyebab kurangnya sambutan dari masyarakat ialah kurangnya pemahaman dan persaingan dari syarikat insurans.

Merujuk kepada Laporan Perkembangan Risiko dan Penilaian Kestabilan Kewangan 2017 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, berdasarkan pengalaman AKPK, 18% daripada peminjam yang menyertai Program Pengurusan Kredit (PPK) adalah disebabkan oleh

(i) hilang pekerjaan atau kematian pencari nafkah utama keluarga; atau

(ii) terpaksa menanggung perbelanjaan perubatan yang tidak dijangka.

Bukan sahaja kumpulan berpendapatan rendah lebih mudah terjejas kepada kejutan pendapatan dan perbelanjaan, peminjam berpendapatan tinggi dengan margin kewangan negatif juga boleh menghadapi perkara yang sama. Mengikut laporan tersebut juga, agak mengejutkan kerana 65% penduduk Malaysia masih tidak memiliki polisi insurans hayat mahupun Takaful keluarga.

6 Sebab Kita Perlu Ambil Takaful

Antara sebab kita perlu mengambil takaful adalah seperti berikut :

1. Risiko

Semua orang akan menghadapi risiko samaada risiko kecacatan, kesakitan, atau kematian. Dengan adanya takaful, kita dapat melindungi ahli keluarga sekiranya kehilangan pendapatan akibat tidak boleh bekerja atau sekiranya berlaku kematian.

2. Malang Tidak Berbau

Apabila kita sudah diserang penyakit seperti diabetis atau sakit jantung, kita sudah tidak boleh dilindungi oleh takaful lagi. Oleh itu, lindungilah diri dengan takaful sebelum terkena sesuatu penyakit.

3. Melindungi Harta Atau Aset

Jika membeli rumah menggunakan pembiayaan bank, lindungilah rumah tersebut dengan takaful. Walaupun ia tidak diwajibkan seperti membeli kenderaan, ia penting supaya waris kita tidak perlu membuat bayaran apabila berlaku kematian, kesakitan, atau kecacatan terutamanya jika isteri adalah seorang surirumah dan masih mempunyai anak kecil.

4. Wariskan Harta, Bukan Hutang

Apabila kita sudah tiada lagi, pastikan ahli keluarga kita dapat hidup dengan tenang dan aman. Jangan tinggalkan hutang sebaliknya tinggalkan harta terutamanya jika kita adalah punca pendapatan keluarga. Ambillah takaful, sekurang-kurangnya ada pampasan sekiranya berlaku kematian.

5. Jihad Ekonomi Islam

Sebelum adanya takaful, skim perlindungan hanya melalui insurans yang mempunyai unsur gharar, maysir, dan riba’. Sebagai umat Islam, pilihlah perlindungan takaful kerana konsepnya yang patuh shariah dan perlu diingat, setiap takaful operator mempunyai panel shariah. Janganlah kita memperkecilkan produk takaful dan menyamakan dengan insurans kerana jelas kedua-duanya mempunyai konsep yang berbeza.

6. Melindungi Dan Menderma

Seperti yang telah dinyatakan, takaful mempunyai kontrak tabarru’ di mana setiap peserta akan membantu antara satu sama lain. Sekiranya diri sendiri yang terkena musibah, peserta lain pula yang akan membantu. Tanpa kita sedar, kita telah dapat membantu peserta lain.
Akhir kalam, lindungilah diri anda dengan takaful semasa masih sihat. Bukan sahaja untuk melindungi diri kita, tetapi untuk ahli keluarga kerana risiko akan sentiasa ada.

Wallahu’alam bisshawab.

Ditulis oleh Tuan Azharul Adha Bin Dzulkarnain. Beliau berkelulusan Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam daripada UiTM. Penulisan adalah berdasarkan pengalaman, pengetahuan, dan pembacaan penulis secara peribadi.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend