Apa Yang Menanti Industri Perladangan Selepas Ini?

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) — Selama lebih satu abad, industri perladangan kekal bertahan sebagai komponen penting bagi ekonomi Malaysia dengan penguasaan berterusan dalam pasaran global untuk pengeluaran dan eksport minyak sawit selepas Indonesia.

Dari sisi lain, industri ini juga menjadi sumber mata pencarian bagi kira-kira separuh juta pekebun kecil tempatan yang majoritinya daripada kalangan kumpulan B40.

Ini mengukuhkan lagi keperluan terhadap kesinambungan dan kestabilannya supaya industri ini berupaya berkembang dan memperluas sekali gus memerangi diskriminasi berterusan yang dihadapinya.

Berdasarkan data yang dikeluarkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), bagi 2022, hasil eksport minyak sawit dijangka meningkat sebanyak 11.8 peratus kepada RM72.25 bilion daripada RM64.62 bilion yang dicatatkan pada 2021.

Harga minyak sawit mentah (MSM) pula diunjurkan pada purata RM4,250 satu tan dengan pengeluaran sebanyak 19 juta tan.

Zuraida meninggalkan KPPK?

Pengumuman mengejut yang dibuat Datuk Zuraida Kamaruddin pada 26 Mei, selepas kira-kira sembilan bulan menerajui KPPK, telah menimbulkan reaksi bercampur-campur dalam kalangan peserta industri.

Beliau mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) kerana percaya dengan perjuangan parti itu dan enam prinsip terasnya.

Berikutan itu, beliau berkata akan berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata Zuraida masih menteri Kabinet dan perlu menjalankan tugas sebagai menteri di KPPK seperti biasa, selagi beliau (Ismail Sabri) tidak membuat keputusan.

Beliau berkata Zuraida boleh menghadiri mesyuarat Kabinet terdekat kerana kedudukannya sebagai menteri Kabinet akan diputuskan selepas mereka bertemu kelak, bagi membolehkan beliau mendapat pencerahan mengenainya.

“Saya tak pecat, dia masih menteri Kabinet sehingga mesyuarat (Kabinet) Rabu ini (1 Jun),” katanya kepada wartawan Malaysia di Tokyo pada Sabtu, pada akhir lawatan kerja rasminya di Jepun.

Pencapaian Zuraida

Pengumuman Zuraida mungkin sesuatu yang sukar buat industri tatkala menghadapi kekurangan buruh yang teruk.

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) baru-baru ini mendedahkan, kekurangan penuai dan pengutip buah sawit dalam kalangan pekerja asing mengakibatkan sektor perladangan sawit mengalami kerugian RM21 bilion pada 2021, dan dijangka terus mengalami kerugian berjumlah RM28 bilion pada 2022 jika pekerja asing tidak segera dibawa masuk.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics, Sathia Varqa menerusi catatan di akaun Twitternya berkata sekiranya Zuraida meletak jawatan, ia akan memberi laluan kepada menteri keempat dalam tempoh tiga tahun untuk menerajui industri itu.

“Masalah yang mengekang dasar domestik daripada mencapai kemajuan — pekerja asing, biodiesel, kemampanan, 3MCPD (ester 3-monokloropropandiol),” katanya.

Sebelum ini Zuraida bersama-sama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berusaha untuk membawa lebih ramai buruh asing ke negara ini bagi membantu meningkatkan pengeluaran minyak sawit.

Beliau menyasarkan membawa masuk 32,000 pekerja asing untuk ladang kelapa sawit dan menjangkakan pengeluaran dan eksport minyak sawit Malaysia meningkat 30 peratus menjelang akhir 2022 susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia dan negara berada dalam fasa peralihan ke endemik sejak 1 April.

Pihak berkuasa meluluskan pengambilan 32,000 pekerja asing untuk ladang kelapa sawit sekali gus menjadi kemasukan pekerja asing tertinggi ke dalam sektor perladangan pada pertengahan Februari 2022.

Malaysia menjangkakan kumpulan baharu pekerja asing akan tiba dalam tempoh Mei hingga Jun ini.

Usaha menangani isu kekurangan buruh merupakan antara keutamaan teratas Zuraida dalam ikrarnya apabila mengambil alih portfolio itu, selain mahu mengamalkan ekonomi kitaran dan menumpukan penghasilan semula dan kitar semula sisa komoditi menjadi sesuatu yang bersifat lebih boleh pasar.

Kekurangan buruh merupakan halangan terbesar yang dihadapi industri minyak sawit terutama semasa pandemik COVID-19, dengan kerugian negara mencecah berbilion ringgit.

Bagaimanapun, pembukaan semula ekonomi global telah mendorong permintaan terpendam untuk minyak serba guna itu.

Penubuhan jawatankuasa kerja antara Malaysia dan Amerika Syarikat bagi menangani isu dakwaan penggunaan buruh paksa dalam perladangan sawit dan getah juga direalisasikan semasa tempoh perkhidmatan Zuraida.

Beliau memulakan portfolionya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada 1 Sept 2021, mengambil alih daripada Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Zuraida kini berada di Turki bagi menghadiri Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin seterusnya ke Athens, Greece bagi memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia sebelum kembali ke tanah air pada 2 Jun.

Individu Wibawa Teraju KPPK

Walau apa pun yang berlaku berhubung jawatan menteri itu, individu yang menerajui KPKK diharap terus berjuang untuk industri dan menangani isu yang dihadapi di peringkat tempatan dan dunia.

Satu pemahaman yang mendalam mengenai keseluruhan industri ini termasuk kelebihan, kelemahan, peluang serta ancaman yang dihadapinya juga penting, agar sesiapa sahaja yang menduduki kerusi itu mampu menyelesaikan isu-isu tersebut dengan sewajarnya dan lebih yakin.

Selain minyak sawit, keutamaan juga perlu diberikan kepada komoditi lain iaitu getah, koko, lada dan kayu.

Semua tumpuan kini terarah kepada negara dan kerajaan untuk menyaksikan apa yang akan berlaku selepas ini.

— BERNAMA

Berita asal:

https://thekapital.my/apa-yang-menanti-industri-perladangan-selepas-ini/

Previous ArticleNext Article

Pelaburan Automotif Di Kulim: Lebih 5,000 Porsche Cayenne Dipasang, Apa Manfaatnya Kepada Ekonomi Malaysia?

Bila dengar cerita Porsche Cayenne dipasang di Kulim, mesti ada yang terus terfikir, “Eh, Porsche pun pasang dekat Malaysia?”

Apabila kita bercakap tentang pelaburan asing, perkara pertama yang sering terlintas ialah jumlah modal yang dibawa masuk ke Malaysia.

Namun, pelaburan berkualiti bukan sekadar tentang berapa bilion ringgit yang dilaburkan. Persoalan yang lebih penting ialah: Apa yang Malaysia dapat dalam jangka panjang?

Adakah pelaburan tersebut mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi? Adakah syarikat tempatan mendapat peluang menjadi vendor? Adakah teknologi dan kepakaran baharu dapat dipindahkan kepada tenaga kerja tempatan?

Lawatan teknikal Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ke fasiliti Inokom di Kulim pada 14 September 2026 memberikan gambaran tentang bagaimana pelaburan dalam sektor automotif boleh menyumbang kepada pembangunan keupayaan industri tempatan.

Inokom Kulim: Hab pemasangan automotif bernilai strategik

Menurut Kementerian Kewangan, Inokom mengendalikan sebuah hab pemasangan automotif seluas 200 ekar di Kulim, Kedah.

Fasiliti ini kini menghimpunkan 7 jenama dan 29 model kenderaan, dengan jumlah lebih 530,000 unit kenderaan telah dipasang sejak mula beroperasi.

Selain memenuhi permintaan pasaran tempatan, operasi Inokom turut mempunyai orientasi eksport, dengan kadar eksport mencecah 20%.

Angka ini menunjukkan bahawa aktiviti pemasangan kenderaan di Malaysia bukan semata-mata untuk pasaran domestik. Ia juga berpotensi menjadi sebahagian daripada rangkaian pengeluaran automotif antarabangsa.

Porsche di Kulim: Daripada pemasangan kepada pemindahan kepakaran

Antara fasiliti yang menjadi tumpuan lawatan ialah kilang pemasangan Porsche, yang merupakan fasiliti pemasangan pertama Porsche di luar Eropah.

Fasiliti ini dilancarkan pada 2022 dan diperluas kepada keluasan 11,000 meter persegi pada 2024 bagi menyokong pemasangan model Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé.

Menurut Kementerian Kewangan, sehingga Mac 2026, lebih 5,000 unit model tersebut telah dipasang di Kulim.

Persoalannya, apakah nilai sebenar di sebalik angka 5,000 unit ini?

Dalam industri automotif, pemasangan kenderaan berjenama premium memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran teknikal, kawalan kualiti, kejuruteraan proses dan pemahaman terhadap piawaian pengeluaran global.

Ini bermakna manfaat pelaburan tidak semestinya terhad kepada nilai kenderaan yang dihasilkan. Ia juga boleh merangkumi pembangunan kemahiran, pengalaman operasi dan keupayaan tenaga kerja tempatan untuk mengendalikan proses pengeluaran yang lebih kompleks.

100% tenaga kerja rakyat Malaysia

Satu lagi perkara yang diketengahkan dalam lawatan tersebut ialah tenaga kerja Inokom yang terdiri daripada 100% rakyat Malaysia.

Kementerian Kewangan turut berkongsi kisah Eisqil Yuliana, yang memulakan kerjaya melalui program PROTÉGÉ Sime pada 2019 sebelum menyertai Inokom sebagai jurutera proses.

Beliau kini mengetuai bahagian Kejuruteraan di Porsche Production Plant.

Kisah ini menggambarkan salah satu aspek penting pelaburan berkualiti, iaitu pembangunan bakat tempatan.

Pelaburan asing yang disertai peluang latihan, pengalaman teknikal dan laluan kerjaya boleh membantu meningkatkan keupayaan tenaga kerja Malaysia. Dalam jangka panjang, kemahiran ini berpotensi digunakan bukan sahaja dalam satu kilang, tetapi juga dalam keseluruhan ekosistem industri automotif.

Namun, untuk menilai kesan sebenar kepada pasaran buruh, data seperti jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi, pertumbuhan gaji, peluang kenaikan pangkat dan jumlah tenaga kerja yang menerima latihan khusus juga perlu dilihat.

RM3 bilion kepada vendor tempatan

Pelaburan dalam sektor automotif turut memberi kesan kepada syarikat-syarikat yang berada di luar kawasan kilang.

Menurut Kementerian Kewangan, kira-kira RM3 bilion telah disumbangkan kepada vendor tempatan, merangkumi komponen, logistik dan pelbagai perkhidmatan sokongan.

Inilah antara aspek penting dalam konsep kesan pengganda ekonomi.

Sebuah kilang automotif bukan hanya memerlukan pekerja di barisan pemasangan. Ia juga memerlukan pembekal komponen, syarikat logistik, perkhidmatan penyelenggaraan, pengurusan gudang, kawalan kualiti dan pelbagai perkhidmatan sokongan yang lain.

Apabila lebih banyak perolehan disalurkan kepada syarikat tempatan, peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana berkembang turut terbuka.

Bagaimanapun, nilai RM3 bilion tersebut perlu difahami mengikut skopnya. Ia merujuk kepada sumbangan kepada vendor tempatan yang dinyatakan oleh kementerian, dan tidak semestinya sama dengan nilai tambah bersih kepada ekonomi Malaysia atau keuntungan yang diperoleh oleh vendor.

Mengapa pemindahan teknologi penting?

Malaysia telah lama terlibat dalam industri pemasangan automotif. Tetapi cabaran utama adalah bagaimana untuk bergerak daripada aktiviti pemasangan kepada aktiviti yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

Dalam konteks ini, pelaburan berkualiti boleh dinilai melalui beberapa persoalan:

  1. Adakah syarikat tempatan mendapat peluang membekalkan komponen bernilai tinggi?
  2. Adakah tenaga kerja Malaysia menguasai teknologi dan proses pengeluaran baharu?
  3. Adakah lebih banyak aktiviti kejuruteraan, reka bentuk dan penyelidikan boleh dibangunkan di Malaysia?
  4. Adakah vendor tempatan mampu memenuhi piawaian pengeluar antarabangsa?
  5. Adakah syarikat tempatan berpeluang berkembang daripada pembekal biasa kepada pembekal strategik dalam rantaian bekalan global?

Semakin banyak aktiviti bernilai tinggi dapat dijalankan di Malaysia, semakin besar potensi pelaburan tersebut untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing industri tempatan.

GEAR-uP dan pendekatan capital-to-capabilities

Kementerian Kewangan mengaitkan perkembangan ekosistem Inokom dengan pendekatan capital-to-capabilities melalui program GEAR-uP di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Secara asasnya, pendekatan ini menekankan bahawa modal dan pelaburan perlu digunakan untuk membina keupayaan negara.

Ini termasuk memperkukuh sektor strategik, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, memindahkan pengetahuan dan membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk naik ke rantaian nilai.

Dalam sektor automotif, matlamatnya bukan sekadar menghasilkan lebih banyak kenderaan. Ia juga berkaitan dengan keupayaan untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang lebih kompleks, meningkatkan standard industri serta membina syarikat tempatan yang lebih berdaya saing.

Apa yang perlu diperhatikan selepas ini?

Perkembangan Inokom di Kulim menunjukkan bagaimana pelaburan automotif boleh dikaitkan dengan pekerjaan, vendor tempatan dan keupayaan industri.

Namun, untuk mengukur kejayaan pelaburan secara menyeluruh, beberapa indikator penting perlu dipantau dari semasa ke semasa:

  • Nilai tambah domestik: Berapa banyak nilai ekonomi yang benar-benar dihasilkan di Malaysia?
  • Kandungan tempatan: Berapa besar bahagian komponen dan perkhidmatan yang diperoleh daripada vendor tempatan?
  • Produktiviti pekerja: Adakah kemahiran dan produktiviti tenaga kerja meningkat?
  • Gaji dan kerjaya: Adakah pekerjaan yang diwujudkan menawarkan pendapatan serta laluan kerjaya yang lebih baik?
  • Keupayaan vendor: Adakah syarikat tempatan berjaya memasuki rantaian bekalan global?
  • Aktiviti bernilai tinggi: Adakah Malaysia semakin terlibat dalam kejuruteraan, pembangunan teknologi dan penyelidikan automotif?

Kesemua indikator ini membantu membezakan antara pelaburan yang sekadar menambah kapasiti pengeluaran dengan pelaburan yang turut membina asas ekonomi untuk jangka panjang.

Pelaburan bukan sekadar angka modal

Daripada fasiliti pemasangan Porsche di Kulim kepada vendor tempatan dan tenaga kerja Malaysia, kesan sesuatu pelaburan perlu dilihat secara lebih luas.

Jumlah unit yang dipasang, nilai pelaburan dan kadar eksport memang penting. Tetapi nilai strategiknya juga terletak pada keupayaan untuk membangunkan bakat, memperkukuh syarikat tempatan dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.

Kerana pada akhirnya, pelaburan yang memberi kesan jangka panjang bukan sekadar membina kilang. Ia membina kemahiran, syarikat, teknologi dan peluang ekonomi untuk generasi seterusnya.