Aset Rizab Rasmi Malaysia Berjumlah US$113.76 Bilion Pada Akhir Mac 2024 – BNM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) — Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$113.76 bilion pada akhir Mac 2024 manakala aset mata wang asing lain adalah US$1.61 bilion, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata butiran terperinci rizab antarabangsa berkenaan memberi maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab serta aset mata wang asing lain mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Ia turut memberi panduan mengenai jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang, menurut bank pusat itu.

“Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir Mac 202 tetap boleh guna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BNM berkata bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing termasuk aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negara oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara berjumlah US$13.24 bilion. 

“Kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak US$26.72 bilion mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” katanya.

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek berjumlah US$2.50 bilion pada 12 bulan akan datang. 

BNM berkata satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$400.8 juta.

 “Aliran ini tidak mengandungi sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa serta bank dan institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Harga Telefon Pintar Dijangka Naik Harga, Krisis Bekalan Cip Memori

KUALA LUMPUR: Permintaan yang semakin meningkat daripada kecerdasan buatan generatif (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi mengalihkan bekalan memori daripada telefon pintar.

Akibatnya, pengeluaran telefon pintar terjejas teruk, menyebabkan kekurangan ketersediaan peranti serta kos input yang lebih tinggi yang menyebabkan harga jualan yang tinggi.

Penganalisis MBSB Research, Foo Chuan Loong, berkata pengeluar telefon pintar perlu menyesuaikan harga jualan dan spesifikasi dengan sewajarnya.

Menurutnya, keadaan itu seterusnya akan menjejaskan permintaan pengguna, terutamanya dalam segmen pasaran rendah hingga sederhana.

Sementara segmen pasaran premium pula mungkin lebih berdaya tahan memandangkan marjin yang lebih kukuh dan rantaian bekalan yang lebih baik, jelasnya.

“Pengeluaran telefon pintar untuk tahun 2026 dijangka menurun sedikit. Walau bagaimanapun, pada ketika ini, penurunan dijangka lebih besar,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Chuan Loong berkata, IDC dan Counterpoint kini menjangkakan penghantaran global untuk pasaran telefon pintar akan menguncup lebih 10 peratus.

Beliau berkata, pengurangan itu berpotensi menandakan penghantaran telefon pintar tahunan terendah dalam tempoh lebih sedekad.

“Walaupun terdapat usaha berterusan untuk membina kapasiti memori, terutamanya daripada pembekal memori di China, kami berpendapat bahawa ia tidak mencukupi untuk mengimbangi kekurangan yang boleh berlarutan melangkaui 2026,” katanya.

Chuan Loong berkata, permintaan untuk memori dan logik dijangka kekal kukuh, didorong oleh aplikasi berkaitan AI dan permintaan berterusan dalam pengkomputeran berprestasi tinggi dan infrastruktur pusat data.

Beliau berkata, jualan untuk Januari dan Februari 2026 masing-masing mencecah AS$82.5 juta dan AS$88.8 juta.

“Secara kumulatif, jualan semikonduktor global berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran sepanjang tahun.

“Walau bagaimanapun, kami melihat krisis Asia Barat yang berterusan berpotensi menjejaskan jualan global. Ini berkaitan dengan ancaman Iran untuk menyasarkan firma teknologi AS yang beroperasi di Asia Barat,” katanya.