ASNB Umum Pengagihan Pendapatan 4.60 Sen Dan Bonus Tambahan 0.50 Sen Bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB)

Bonus Tambahan bagi membantu pemegang unit berhadapan dengan tekanan kos sara hidup

  • Anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), mengumumkan pengagihan pendapatan 3.35 sen seunit, bonus 1.25 sen seunit dan Bonus Tambahan 0.50 sen seunit untuk 30,000 unit pertama untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
  • Jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM8.9 bilion akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit yang memiliki 186.4 bilion unit dalam ASB.
  • ASB berjaya memberikan pengagihan pendapatan yang kompetitif, mengatasi penanda arasnya iaitu kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank yang mencatatkan kadar purata sebanyak 2.27% sepanjang tahun ini.
  • ASB, alat simpanan dan pelaburan utama bagi kaum Bumiputera, mencatat peningkatan unit dalam edarannya kepada 186.4 bilion unit daripada 181.8 bilion pada tahun lepas. Sementara itu, bilangan pemegang unit meningkat kepada 10.6 juta daripada 10.4 juta pada tahun lepas.
  • Jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) PNB meningkat daripada RM336.7 bilion kepada RM343.1 bilion setakat November 2022. Dalam tempoh yang sama, unit dalam edaran meningkat daripada 276.2 bilion unit kepada 283.2 bilion manakala jumlah pemegang akaun bagi kesemua 17 dana bertambah kepada 15.2 juta daripada 14.8 juta pada tahun 2021.

Kuala Lumpur, 22 Disember 2022: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (TK2022).

ASNB telah mengumumkan dividen sebanyak 3.35 sen dan bonus 1.25 sen, berjumlah 4.60 sen seunit. Selain itu, ASNB mengumumkan Bonus Tambahan sebanyak 0.50 sen seunit untuk 30,000 unit pertama yang dipegang oleh setiap pemegang unit. Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM8.9 bilion ini akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit ASB.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, “Walaupun dalam keadaan pasaran yang sukar, kami telah memberi agihan pendapatan yang kompetitif kepada pemegang unit ASB, termasuk Bonus Tambahan pada tahun ini. Jumlah pengagihan sebanyak RM8.9 bilion akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit yang memegang 186.4 bilion unit dalam ASB. Bonus Tambahan tersebut adalah untuk membantu pemegang unit kami berhadapan dengan tekanan kos sara hidup.”

Ketegangan geopolitik, inflasi, kenaikan kadar faedah dan dasar Sifar-COVID di China telah membawa kepada peningkatan ketidaktentuan pasaran. Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 14.2% pada suku ketiga 2022, berbanding suku kedua 2022 pada 8.9% dan suku pertama 2022 pada 5%. Namun, pasaran modal turut terjejas akibat trend makro global, iaitu –inflasi, kadar faedah tinggi, gangguan rantaian bekalan dan pengukuhan mata wang Dollar Amerika. Sehingga kini, Indeks Komposit Kuala Lumpur FBM telah menurun sebanyak 6.7% setakat 21 Disember 2022.

Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, “Tahun ini, syarikat-syarikat Malaysia muncul sebagai penyumbang terbesar kepada pulangan, didorong oleh pelaburan ASB dalam sektor perkhidmatan kewangan, perladangan dan penjagaan kesihatan. ASB memanfaatkan prestasi pasaran ekuiti domestik yang agak kukuh pada separuh pertama 2022 untuk meraih keuntungan, mengimbangi semula portfolio dan meningkatkan pegangan tunainya.

“ASB terus memberikan pulangan yang mampan dan kompetitif mengatasi penanda aras kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank. Jumlah bilangan akaun ASB meningkat lebih daripada 200,000 kepada 10.6 juta akaun, manakala unit dalam edaran meningkat sebanyak 4.6 bilion atau 2.53% kepada 186.4 bilion unit. Ini menunjukkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai satu instrumen simpanan dan pelaburan yang penting kepada Bumiputera dalam perancangan kewangan mereka.”

“ASB terus memberikan pulangan mengatasi penanda arasnya, hasil daripada strategi perumpukan aset dan kepelbagaian yang telah kami laksanakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Kami berbesar hati melihat peningkatan berterusan rakyat Malaysia yang melabur dengan kami, serta peningkatan saiz pelaburan mereka. ASB kekal sebagai komponen asas dalam perancangan kewangan pemegang unit kami,” tambah Ahmad Zulqarnain.

PNB sekali lagi menunjukkan daya tahannya dalam mengharungi ketidaktentuan pada tahun 2022. Untuk 11 bulan pertama tahun ini, jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) PNB meningkat daripada RM336.7 bilion kepada RM343.1 bilion. Dalam tempoh yang sama, unit dalam edaran untuk kesemua 17 dana ASNB meningkat daripada 276.2 bilion unit kepada 283.2 bilion unit manakala jumlah pemegang akaun bertambah kepada 15.2 juta daripada 14.8 juta pada 2021.

Pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus untuk ASB adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut. Pengiraan pengagihan bonus tambahan adalah tertakluk kepada 30,000 unit pertama untuk setiap akaun. Unit-unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan dan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2023. Pembayaran dividen dibuat daripada pendapatan bersih ASB manakala bonus dan bonus tambahan dibayar daripada dana proprietari PNB atas budi bicara syarikat.

Urus niaga ASB di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua platform digital dan perbankan Internet, telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 hingga 31 Disember 2022. Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB (www.myasnb.com.my), atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 Januari 2023, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 3 Januari 2023.

CONTOH KIRAAN DIVIDEN DAN BONUS ASB 2022

Previous ArticleNext Article

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari