GLC, GLIC Disaran Kurangkan Pelaburan Di Luar Negara – Anwar

PUTRAJAYA, 9 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengurangkan pelaburan di luar negara sebaliknya meningkatkan pelaburan dalam negara.

Berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan (MoF) di sini hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bagaimanapun bersedia memberi kelonggaran kepada GLC dan GLIC untuk membuat pelaburan di luar negara sekiranya ada keperluan.

“Saya beri beberapa arahan untuk harus juga ada penekanan pengurangan pelaburan di luar negara kerana kalau alasannya tidak menarik maka apa kemunasabahan kita mengadakan kempen menarik pelabur asing ke Malaysia,” kata beliau.

Anwar juga telah meminta MoF dan Pantau MADANI menyelaraskan usaha supaya GLIC dan GLC melaksanakan pelaburan strategik selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Saya meminta kerjasama juga GLIC dan GLC supaya dapat berinteraksi secara langsung dengan pimpinan untuk memastikan pelaksanaan program-program (mereka) mengikut dasar yang kita tentukan.

“Saya beri contoh transisi tenaga, transformasi digital itu sangat mendesak dan kritikal bagi negara. Ia memerlukan penglibatan semua (kerana) transformasi digital itu, kalau kita tidak pantas dan pesat membuat perubahan, sistem pendidikan kita, tatakelola kita, akan menyebabkan kita ketinggalan,” kata beliau.

Anwar berkata dalam membuat keuntungan, GLIC dan GLC juga perlu mengambil tanggungjawab korporat lebih besar dalam pembangunan negara termasuk meningkatkan tahap kebajikan pekerja mereka.

“Saya ingat lagi laporan awal apabila kita menswastakan Tenaga (Tenaga Nasional Bhd), Telekom (Telekom Malaysia Bhd), saya kata mereka bila diswastakan, catat keuntungan besar, sepatutnya menteri kewangan ucap terima kasih.

“Oleh itu, saya ucap terima kasih tetapi saya tanya masalah mereka (pekerja) tidak selesai, umpamanya kemiskinan tegar keluarga di bawah Tenaga, Telekom, apakah ia masalah kementerian, tentunya masalah syarikat.

“Ada 15,000 pekerja, 5,000 pekerja tiada rumah, tak mungkinkah kita fikir ada rencana untuk membina perumahan untuk pekerja sendiri?

“Kita catat keuntungan dengan cakap soal pengkomersialan dan kita bebankan kelompok yang agak pendapatan rendah ini kepada kementerian dan kerajaan untuk menangani, saya tidak fikir itu munasabah,” kata beliau.

Justeru, Anwar mahu dalam tempoh sebulan ini, GLIC dan GLC memberikan laporan kepada kerajaan berkaitan perancangan mereka mengenai rencana pelaburan, Bumiputera, perumahan pekerja dan pendidikan termasuk meningkatkan mutu pendidikan.

Pada majlis itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada dua agensi utama kerajaan iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana berjaya melepasi sasaran kutipan hasil yang ditetapkan tahun lepas.

Pada tahun lepas, LHDN berjaya mengutip sebanyak RM183 bilion berbanding RM175 bilion pada 2022 manakala JKDM pula mengutip hasil mencecah RM55 bilion berbanding RM53 bilion pada tahun sebelumnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Pelbagaikan Sumber Gas Bagi Perkukuh Keterjaminan Tenaga Negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengutamakan keterjaminan tenaga negara dengan mempelbagaikan akses kepada sumber gas berskala besar yang berpotensi memperluaskan pilihan bekalan dan meningkatkan daya tahan keselamatan tenaga.

Menurut Kementerian Ekonomi, susulan keadaan pasaran tenaga global yang tidak menentu akibat ketegangan geopolitik, tumpuan terus diberikan untuk mempelbagaikan sumber bekalan dengan mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana negara atau satu pasaran sahaja.

Jelasnya, sebarang pengimportan minyak mentah dari mana-mana negara termasuk Russia perlu dilaksanakan melalui dasar perdagangan antarabangsa dan saluran komersial yang sah.

“Perkara ini tertakluk kepada pertimbangan harga, spesifikasi produk, logistik, kaedah pembayaran, pengangkutan, insurans, undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Negara yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai perjanjian bekalan minyak mentah, gas dan diesel selama 20 tahun dengan Russia serta bagaimana hak pengusahaan telaga gas di Turkmenistan akan diterjemahkan bagi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Tambah Kementerian Ekonomi lagi, peluang pengusahaan telaga gas di Turkmenistan itu dinilai berdasarkan merit komersial dan potensi sumbangannya kepada kepelbagaian sumber bekalan gas dalam jangka panjang.

Pada 20 Jun lalu, PETRONAS memeterai beberapa penjanjian baharu dengan dua syarikat Turkmenistan merangkumi Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) yang meliputi Blok Luar Pesisir 19 dan 20, serta perjanjian kerjasama (CA) bagi kajian seismik 2D untuk blok luar pesisir utara.

PETRONAS memaklumkan bahawa kedua-dua perjanjian itu mencerminkan komitmen bersama untuk membuka peluang baharu, memperkukuh pemahaman bawah permukaan serta menyokong kedudukan Turkmenistan sebagai antara penyumbang penting bekalan tenaga serantau dan global.

Mengenai manfaatnya kepada rakyat, Kementerian Ekonomi menjelaskan bahawa usaha kerajaan mempelbagaikan sumber tenaga boleh diterjemahkan melalui tiga aspek utama iaitu memperkukuhkan keterjaminan bekalan negara melalui akses kepada sumber bekalan tenaga jangka panjang.

Selain itu, ruang yang lebih baik untuk mengurus tekanan harga dan subsidi secara teratur susulan bekalan yang lebih meluas serta meningkatkan penglibatan syarikat perkhidmatan minyak dan gas tempatan kepada rantaian nilai antarabangsa, sekali gus memperkukuh kepakaran teknikal Malaysia dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.

Tambahnya, pendekatan itu tidak bermakna Malaysia akan terlindung sepenuhnya daripada turun naik harga tenaga pasaran dunia.

“Bagaimanapun, akses kepada sumber bekalan yang lebih pelbagai dan berdaya saing berpotensi menyokong kestabilan bekalan dan mengurangkan pendedahan kepada ketidaktentuan pasaran tenaga global.

“Ini seterusnya akan membolehkan Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik untuk melindungi kepentingan rakyat, industri dan ekonomi negara dalam jangka panjang,” tambahnya.

-BERNAMA