Harga Getah Dijangka Melepasi RM3.50 Sekilogram Pada Akhir 2022 – Zuraida

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) — Harga getah diunjurkan akan terus meningkat melepasi RM3.50 sekilogram akhir tahun ini dan terus berada di dalam trend menaik disebabkan permintaan yang sangat tinggi dari negara-negara pengimport.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata harga getah ketika ini adalah dalam keadaan stabil dan melebihi RM2.50 sekilogram dan pihak kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan pengeluaran hasil bagi memenuhi permintaan untuk eksport.

“Pengeluaran getah negara masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan dan pihak kementerian sedang melakukan pelbagai usaha untuk menaikkan hasil getah negara, antaranya menambah baik pengeluaran getah secara ‘estate management’.

“Ianya akan menjadikan pengurusan hasil getah negara akan lebih mampan dan berstruktur, ia dapat menghasilkan pengeluaran getah yang lebih tinggi,” katanya ketika majlis pelancaran Getah Antirasuah 2021-2025 (GETAR 2021-2025) di Stesen Penyelidikan RRIM Sungai Buloh di sini, hari ini.

Selain itu, Zuraida turut mengucapkan tahniah kepada Lembaga Getah Malaysia atas usaha dan kejayaan membangunkan GETAR 2021-2025, ia merupakan sebuah pelan strategi yang penting untuk melaksanakan dasar antirasuah dalam sebuah organisasi.

Usaha tersebut bersesuaian dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Ia akan menjadikan penjawat awam lebih efisien dan responsif dalam memberikan perkhidmatan yang bertaraf dunia. Pada masa yang sama, persepsi positif terhadap penjawat awam juga dapat dipertingkatkan.

“Ketersediaan warga kerja yang berintegriti tinggi adalah penting dalam menyokong usaha kerajaan untuk ke arah pengetahuan, teknologi dan inovasi dengan matlamat untuk menyumbang ke arah pembangunan organisasi dan seterusnya negara tercinta,” katanya

Zuraida juga mengatakan dalam usaha semua pihak untuk menuju ke arah status negara maju yang berpendapatan tinggi, agenda pembanterasan rasuah perlu menjadi keutamaan negara.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/harga-getah-dijangka-melepasi-rm3-50-sekilogram-pada-akhir-2022-zuraida/

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA