Inflasi Keseluruhan Naik Kepada 3.3 Peratus, Diunjur Kekal Tinggi Pada 2023 – BNM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) — Inflasi keseluruhan Malaysia meningkat kepada 3.3 peratus pada 2022 berbanding 2.5 peratus pada tahun sebelumnya manakala purata inflasi teras pula lebih tinggi pada 3.0 peratus berbanding 0.7 peratus pada 2021, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagi tempoh suku keempat 2022, bank pusat itu berkata inflasi teras menyederhana kepada 3.9 peratus berbanding 4.5 peratus pada suku ketiga 2022, didorong terutamanya oleh kesan asas yang semakin reda dalam inflasi elektrik — penyumbang utama peningkatakan inflasi dalam suku ketiga 2021.

“Aliran menyederhana bagi harga komoditi global utama dengan sebahagiannya mendorong kepada inflasi lebih rendah bagi beberapa item Indeks Harga Pengguna (IHP), termasuk bahan api,” kata bank pusat itu dalam pengumuman prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku keempat dan prestasi tahun penuh 2022, hari ini.

Menurut BNM, inflasi bagi beberapa makanan ruji utama seperti daging dan telur, turut menyederhana dalam suku di bawah kajian tersebut.

Bagaimanapun, sebahagian daripada impak penurunan daripada faktor-faktor tersebut telah diimbangi oleh kenaikan inflasi teras, termasuk meningkat kepada 4.2 peratus (suku ketiga 2022: 3.7 peratus), dipacu oleh pengukuhan permintaan berterusan biarpun dalam senario lonjakan kos.

Mengulas keadaan itu pada sidang media kemudiannya, Gabenor Tan Sri Nor Shamsiah Yunus berkata inflasi teras berkenaan didorong oleh beberapa faktor yang turut memaparkan penawaran dan permintaan serta harga.

“Inflasi teras merupakan proksi pendasar yang lebih baik dan dipengaruhi oleh faktor-faktor permintaan.

“Bersandarkan kenyataan ini, saya ingin tekankan tiga perkara penting — (pertama) inflasi kita digerakkan terutamanya oleh faktor bekalan. (Kedua), inflasi teras yang ketara menunjukkan bahawa faktor permintaan ini sememangnya menyumbang kepada asas tekanan harga. Tidak seperti aliran sebelumnya, inflasi teras sebaliknya mengambil masa lebih lama untuk menyederhana dalam persekitaran kos lebih tinggi dan tekanan permintaan.

“Seterusnya, (ketiga) adalah kenaikan kadar dasar semalaman dilaksanakan bagi menguruskan tekanan permintaan ini,” jelas beliau.

BNM berkata bagi tahun ini, kadar inflasi keseluruhan dan teras dijangkakan menyederhana namun kekal tinggi berikutan tekanan kenaikan kos dan permintaan.

Inflasi teras misalnya diunjur kekal tinggi dalam masa terdekat, sebahagiannya akibat asas rendah dalam separuh pertama 2022.

Kawalan harga dan subsidi bahan api yang sedia ada serta baki ruang kapasiti dalam ekonomi pula membantu dari segi sebahagiannya dapat mengekang kenaikan inflasi.

BNM turut menegaskan bahawa prospek inflasi kekal tinggi dan dipengaruhi oleh sebarang perubahan terhadap dasar domestik serta perkembangan berkaitan harga komoditi.

Bank pusat itu akan menerbitkan Laporan Tahunan 2022, Tinjauan Ekonomi dan Kewangan 2022 serta Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2022 pada 29 Mac, 2023.

Pada hari ini, BNM mengumumkan pertumbuhan KDNK bagi suku keempat yang meningkat 7.0 peratus daripada 14.2 peratus pada suku ketiga 2022, berikutan sokongan daripada langkah rangsangan serta kesan asas rendah yang mereda.

Bagi tahun penuh 2022, ekonomi Malaysia berkembang kepada 8.7 peratus pada tahun 2022 — tertinggi dalam tempoh 22 tahun berbanding 3.1 peratus pada tahun sebelumnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA