Malaysia Catat RM132.6 Bilion Pelaburan Diluluskan Pada Separuh Pertama 2023, Sedia Capai Sasaran Tahunan – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) — Selepas berjaya meraih pelaburan yang diluluskan bernilai RM132.6 bilion pada separuh pertama 2023, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjangka mencatat pertumbuhan lebih kukuh pada separuh kedua 2023.

“Saya gembira dengan pencapaian kami pada separuh pertama 2023, meraih RM132.6 bilion atau 60.3 peratus daripada sasaran tahunan kami. Kami telah bersedia untuk mencapai sasaran tahunan.

“Pencapaian ini hampir mencerminkan purata 10 tahun kami iaitu RM222.6 bilion, menunjukkan usaha konsisten kami dalam menarik pelaburan berkualiti dan memacu pertumbuhan ekonomi,” kata menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk enam bulan pertama tahun ini, Malaysia telah menarik sejumlah RM132.6 bilion (US$28.4 bilion) pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama yang melibatkan 2,651 projek dari Januari hingga Jun 2023 dan dijangka mewujudkan 51,853 peluang pekerjaan di negara ini.

Menurutnya, pelaburan itu adalah tanda keyakinan terhadap ekonomi Malaysia dan apa yang ditawarkan kepada pelabur, termasuk kerajaan yang menyokong dan membangunkan dasar properniagaan, dan terus meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di Malaysia.

Selain itu, Malaysia juga merupakan hab yang dipercayai untuk ekosistem, rantaian bekalan, modal dan bakat, aliran barangan dan data serta keupayaan inovasi yang semakin meningkat.

Tengku Zafrul turut menambah walaupun permintaan global perlahan dan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi dalam pasaran utama, Malaysia berjaya menarik jumlah pelaburan yang diluluskan kira-kira hampir sama pada separuh pertama 2023 tahun ke tahun, mencerminkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi negara.

“Terutamanya, pelaburan domestik langsung yang meningkat 58 peratus, dan mewakili lebih 52 peratus daripada pelaburan yang diluluskan yang bagi kami, merupakan undi keyakinan yang jelas terhadap dasar Ekonomi MADANI. Jumlah pelaburan yang diluluskan juga bakal mewujudkan sekurang-kurangnya 50,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

“Memandangkan pelbagai rantaian bekalan global beralih ke Asia, matlamat utama kami ialah meletakkan Malaysia sebagai hab serantau bagi kedua-dua syarikat antarabangsa dan usahawan yang ingin mengembangkan jejak mereka di Asia.

“Justeru, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2023 (NIMP2023) yang diumumkan baru-baru ini mewakili langkah penting dalam perjalanan Malaysia ke arah transformasi industri yang mampan dan meningkatkan daya saing global,” katanya.

Pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 52.2 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, atau RM69.3 bilion (US$14.8 bilion), dipacu oleh pelaburan dalam sektor perkhidmatan, khususnya hartanah dan sektor utama.

Komitmen kerajaan untuk memastikan perumahan berkualiti untuk rakyat turut menjadi faktor utama pertumbuhan ini, menurut menteri itu.

Beliau berkata MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kekal teguh dalam komitmen mereka untuk mencapai gabungan seimbang pelaburan langsung asing (FDI) dan DDI.

Keseimbangan ini jelas ditunjukkan dalam jumlah FDI, yang menyumbang 47.8 peratus, atau RM63.3 bilion (US$13.6 bilion) kepada pelaburan yang diluluskan.

Sumber FDI negara datang dari Singapura dengan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM13.7 bilion (US$2.9 bilion), diikuti Jepun (RM9.1 bilion), Belanda (RM9.0 bilion), China (RM8.4 bilion) dan  British Virgin Islands (RM7.1 bilion).

Lima negeri telah merekodkan pelaburan diluluskan yang ketara iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM31.7 bilion), Selangor (RM29.7 bilion), Kedah (RM14.6 bilion), Johor (RM14.2 bilion) dan Sabah (RM9.0 bilion ).

Apabila digabungkan, kelima-lima negeri itu menyumbang 74.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata asas ekonomi dan reputasi Malaysia yang kukuh dan stabil, boleh dipercayai dan neutral membolehkannya memperoleh pelaburan berkualiti daripada pelbagai sumber.

“Prospek dan tinjauan jangka panjang untuk industri digital kekal menjanjikan. Syarikat merentasi pelbagai industri terus membina keupayaan dalam data, pendigitalan dan automasi.

“Terdapat juga peluang daripada pertumbuhan ekonomi digital di Asia Tenggara, termasuk dalam teknologi kewangan, awan dan keselamatan siber. Kami menjangkakan permintaan berterusan untuk kemahiran berkaitan teknologi merentas semua sektor di Malaysia.

“Namun begitu, perjalanan kami  ke arah masa depan juga bergantung secara signifikan pada keupayaan untuk menyelaraskan dengan trend mega global, khususnya dalam konteks amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan model perniagaan berasaskan ESG, terutamanya oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, berpotensi untuk bukan sahaja meningkatkan daya saing tetapi juga untuk memperkukuh kehadiran Malaysia dalam rantaian nilai global, memacu negara ke arah masa depan yang bercirikan pertumbuhan yang mampan dan bertanggungjawab.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.