Malaysia Pantau Konflik Timur Tengah, Impak Kecil Bagi Dagangan Setakat Ini – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) — Malaysia terus memantau rapat konflik Israel-Palestin, terutama jika ia berpotensi untuk turut menular ke negara-negara lain, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.  

Ketika menegaskan perkara itu, beliau berkata setakat ini dari segi perdagangan, impak konflik di Timur Tengah itu hanya kecil ke atas Malaysia.

“Kita akan terus memantau untuk melihat sekiranya konflik ini akan berleluasa dan menular ke negara-negara lain.

“Pada masa sama, kita juga membuat persiapan bagi (menghadapi) sebarang kemungkinan,” katanya kepada Bloomberg News ketika diminta mengulas sama ada Malaysia memantau konflik berkenaan.

Terdahulu, Tengku Zafrul berkongsi mengenai Belanjawan 2024 Malaysia, terutama berkaitan usaha kerajaan dalam memacu aspek tanggungjawab fiskal selain langkah untuk menarik pelaburan berkualiti ke negara ini.

Sewaktu membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan RM10 juta kepada Tabung Kemanusiaan Palestin yang baru dilancarkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut menggesa syarikat serta orang ramai untuk turut serta dalam usaha berkenaan atas nama demi keadilan dan kemanusiaan.

“Perkembangan mutakhir di Semenanjung Gaza kini bertambah gawat ketika Israel telah mengepung warga Gaza dan secara ganas serta biadap ingin menghalau mereka ke selatan semenanjung tersebut,” kata Perdana Menteri pada Jumaat lepas.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Jemput Maklum Balas Awam Berhubung Cadangan Pindaan Peraturan Berkaitan ETF Mata Wang Digital

Kuala Lumpur — Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Malaysia” atau “Bursa”) hari ini mengeluarkan kertas konsultasi bagi mendapatkan maklum balas awam berhubung cadangan pindaan peraturan untuk memudahkan penyenaraian dan dagangan Exchange-Traded Funds (ETF) berasaskan mata wang digital.

Semakan ini dibuat susulan pindaan terkini Garis Panduan ETF oleh Securities Commission Malaysia pada 2 Mac 2026, yang kini membenarkan penawaran ETF mata wang digital di bawah rangka kerja kawal selia yang dipertingkatkan.

ETF mata wang digital direka untuk memberi pendedahan kepada pelabur terhadap mata wang digital secara terkawal dan telus melalui produk pasaran modal yang diterima dan telah lama wujud. Bursa Malaysia mengalu-alukan penyenaraian ETF tersebut sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperluas dan mempelbagaikan rangkaian produk ETF yang tersedia kepada pelabur.

Inisiatif ini juga selaras dengan Capital Market Masterplan 2026–2030 yang bertujuan memperluas akses kepada peluang pelaburan melangkaui kelas aset tradisional serta menyokong pembangunan berterusan pasaran modal Malaysia.

Cadangan pindaan kepada Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MAIN LR) dan Arahan Bursa Malaysia Securities Berhad (BMS Directives) memberi tumpuan kepada penambahbaikan pendedahan maklumat dalam dua aspek utama:

  1. Pendedahan maklumat material khusus berkaitan ETF mata wang digital dalam pengumuman segera dan laporan tahunan di bawah MAIN LR bagi meningkatkan ketelusan.
  2. Pendedahan risiko utama berkaitan ETF mata wang digital melalui penyata pendedahan risiko yang perlu ditandatangani oleh pelabur sebelum melabur dalam ETF tersebut di bawah BMS Directives, bagi menggalakkan pendidikan pelabur serta kesedaran risiko.

Bursa Malaysia mengalu-alukan pandangan dan maklum balas orang ramai mengenai cadangan pindaan ini sebelum 10 April 2026 melalui pautan berikut:
https://www.bursamalaysia.com/regulation/public_consultation

Cadangan penambahbaikan ini menunjukkan komitmen Bursa Malaysia dalam memudahkan pengenalan produk dan perkhidmatan baharu dalam pasaran modal Malaysia yang semakin berkembang, sambil memastikan rangka kerja kawal selia terus menitikberatkan perlindungan pelabur yang mencukupi.