Negara Catat Pelaburan Asing RM188.4 Bilion, Pelaburan Domestik RM141.1 Bilion Pada 2023

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) — Negara mencatatkan pelaburan asing berjumlah RM188.4 bilion pada tahun lepas, peningkatan sebanyak 15.3 peratus berbanding 2022, kata Timbalan Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata pelaburan domestik menyumbang sebanyak RM141.1 bilion yang menyaksikan peningkatan sebanyak 35.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya pelaburan asing menyumbang sebanyak 57.2 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan RM329.5 bilion yang diluluskan pada 2023 manakala pelaburan domestik mewakili 42.8 peratus.

“Kita ingin memastikan jumlah pelaburan yang telah diluluskan dapat direalisasikan secepat mungkin dan membawa limpahan yang tinggi kepada ekonomi negara.

“Dengan merealisasikan pelaburan yang diluluskan, ia dapat memberi peluang pekerjaan yang lebih baik dengan kadar gaji yang lebih tinggi kepada rakyat Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Lim Pay Hen yang ingin tahu mengenai jumlah pelaburan yang telah berjaya dimeterai oleh kerajaan sepanjang tahun 2023.

Menurut Liew, negara sebelum ini mencatatkan jumlah pelaburan yang tinggi tetapi tidak mempunyai pendekatan penyetempatan.

“Kali ini, kerajaan berhasrat untuk memastikan pelaburan yang masuk menjana pekerjaan yang baik dan gaji lebih tinggi serta penyetempatan diusahakan supaya pengusaha tempatan dapat manfaat daripada pelaburan asing,” katanya. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pemilihan U Mobile Tingkat Saingan Sektor Telekomunikasi Malaysia – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) — Pemilihan U Mobile Sdn Bhd sebagai pengendali rangkaian 5G kedua negara dilihat akan memberikan saingan yang lebih sihat dan merapatkan jurang antara pemain utama di negara ini, sekali gus mewujudkan landskap yang lebih saksama dalam sektor telekomunikasi negara.

Ketua Penyelidik Mercury Securities Toh Woo Kim berkata peralihan daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada model rangkaian 5G kedua akan menyuntik persaingan yang ketara ke dalam pasaran.

Proses pemilihan U mobile melalui ketelusan yang tinggi akan bermanfaat untuk meraih keyakinan pasaran, kerana ia boleh membantu mengurangkan ketidaktentuan kawal selia dalam sektor telekomunikasi Malaysia, katanya.

“Ketidakpastian ini berkemungkinan berterusan sehingga pelabur mendapat lebih kejelasan mengenai pelancaran rangkaian 5G kedua, khususnya mengenai rakan kongsi berpotensi untuk U Mobile,” kata Toh ketika dihubungi Bernama.

Pada 1 November, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua Malaysia.

Pengawal selia itu berkata ia telah menjalankan penilaian teknikal dan komersial yang terperinci untuk memilih pengendali rangkaian mudah alih (MNO) bagi projek ini, bertujuan untuk memastikan manfaat penuh teknologi 5G sampai kepada orang ramai, industri dan negara.

Toh bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk menilai sepenuhnya kesan U Mobile sebagai penyedia serta keupayaannya melaksanakan pembinaan rangkaian 5G kedua secara sendiri.

“Terdapat kemungkinan besar kerjasama itu akan dilaksanakan dengan CelcomDigi atau TM,” katanya.

Pada 2 November, U Mobile, sebagai respons kepada pengumuman itu, berkata ia teruja untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk MCMC dan syarikat telekomunikasi lain untuk menyediakan perkhidmatan termaju 5G bertaraf dunia kepada pengguna.

Sementara itu, Kenanga Investment berkata U Mobile dijangka menerajui pelancaran rangkaian baharu itu, dengan kemungkinan bekerjasama dengan MNO lain, sementara menunggu kelulusan MCMC.

“Kami percaya inisiatif ini mungkin berlanjutan daripada kerjasama U Mobile sebelum ini dengan CelcomDigi. Sebelum ini, pada Julai 2024, kedua-dua syarikat itu, bersama-sama dengan ZTE Corporation, berjaya menyiarkan siaran langsung pertama di Malaysia yang dikuasakan oleh teknologi canggih 5G.

“Selain itu, U Mobile dan CelcomDigi turut mempunyai perjanjian kerjasama Rangkaian Teras Berbilang Pengendali (MOCN), yang merangkumi 100 tapak MOCN di seluruh Malaysia, dengan setiap pihak menyumbang 50 tapak,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

— BERNAMA