Prestasi Ringgit, Mata Wang Serantau Terus Didorong Faktor Luaran – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) — Faktor di peringkat luaran terus mendorong perkembangan membabitkan prestasi ringgit dan mata wang serantau, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan. 

Beliau berkata faktor lain yang turut mendorong penurunan nilai ringgit pada tahun ini adalah jangkaan bahawa Kadar Dana Persekutuan (FFR) Amerika Syarikat (AS) akan kekal lebih tinggi untuk tempoh yang lebih lama. 

“(Ini berlaku walaupun) dalam keadaan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) sedang berusaha mengawal inflasi pada kadar 3.7 peratus, biarpun mereka sudah menaikkan FFR kepada 5.5 peratus. Kadar dasar semalaman (OPR) Malaysia pada 3.0 peratus.

“Terpulang kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melaksanakan langkah seterusnya berkaitan OPR, tetapi kadar inflasi kita daripada 2.0 peratus makin turun kepada 1.9 peratus…oleh itu untuk menaikkan OPR sudah tidak lagi relevan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau-PH) mengenai langkah kerajaan dan BNM untuk mengekang kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS selain menaikkan OPR.   

Menjelaskan selanjutnya, Ahmad berkata faktor lain yang turut menyebabkan penurunan nilai ringgit adalah prestasi ekonomi China yang lebih lemah daripada jangkaan dan pelonggaran dasar monetari oleh bank pusat negara itu, People’s Bank of China yang menjejaskan sentimen pelabur terutama di rantau Asean. 

“Kebimbangan ketara terkini adalah mengenai kemungkinan ketegangan geopolitik di Timur Tengah semakin meruncing dan telah menjadikan dolar AS kian mengukuh,” katanya.

— BERNAMA  

Previous ArticleNext Article

Pengenalan Tarif AS Terhadap Mexico, Kanada Dan China Mampu Tingkatkan Eksport Malaysia – MITI


KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) — Pengenalan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Mexico, Kanada dan China boleh membuka peluang kepada pengeksport Malaysia meningkatkan pengeluaran dan menggandakan eksport mereka ke AS.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata meskipun tidak membawa impak langsung terhadap eksport Malaysia tetapi kenaikan harga produk dari negara-negara yang dikenakan tarif akan menjadikan produk Malaysia sebagai alternatif pasaran lebih kompetitif.

“Negara pelabur juga dijangka akan mencari sasaran destinasi pelaburan baharu serta sumber produk yang kompetitif untuk mengelakkan bayaran tarif tinggi,” kata MITI dalam jawapan lisan bagi menjawab pertanyaan Senator Robert Lau Hui Yew.

Beliau meminta MITI menyatakan impak ke atas ekonomi Malaysia akibat polisi protektif AS terutamanya dalam bentuk peningkatan tarif dan langkah-langkah yang diambil untuk meminimumkan impak tersebut.

Kerajaan berpandangan adalah terlalu awal untuk menyimpulkan bahawa dasar perlindungan perdagangan AS akan menjejaskan ekonomi Malaysia dari segi kesan ke atas prestasi eksport dan negara kehilangan pelaburan serta syarikat-syarikat multinasional akan berpindah keluar, kata MITI.

Menurutnya, pemindahan operasi sesebuah syarikat tidak dilaksanakan dalam satu jangka masa pendek tetapi perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk daya upaya syarikat untuk pelaburan baharu yang bersifat jangka panjang.

“Malaysia mempunyai kekuatan tersendiri untuk menarik pelaburan asing ke negara ini serta menggalakkan projek baharu, pelbagaian dan pembesaran.

“Kementerian melalui agensinya iaitu Lembaga Pembanguan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengamalkan strategi fokus negara dan mengenal pasti peluang-peluang pelaburan dengan mengambil kira persekitaran geopolitik semasa dan hala tuju negara-negara rakan kongsi termasuklah ketidaktentuan polisi AS.

“Strategi ini akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa mengikut situasi,” katanya.

— BERNAMA