Selangor Bangunkan Dua Projek Perikanan Skala Besar, Jangka Tarik Pelaburan RM600 Juta

SABAK BERNAM, 9 Jun (Bernama) — Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan dua projek perikanan berskala besar yang dijangka mampu menarik pelaburan kira-kira RM600 juta dan mencipta lebih 7,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun di Sabak Bernam. 

Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI) berkata, kedua-dua projek itu adalah sebahagian daripada inisiatif Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) untuk mencapai matlamat keterjaminan makanan jangka panjang dengan menyediakan bekalan makanan ruji mencukupi dan berterusan bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan. 

Menurut MBI, untuk tujuan itu, pihaknya telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Alpha Ocean Resources Bhd (AORB), sebuah syarikat terkemuka dalam industri makanan laut bagi pembinaan kilang pemprosesan dan pembungkusan tuna dan ikan laut dalam pertama di Malaysia. 

“Kilang ini akan dibina di Sungai Lang sebagai sebahagian daripada projek berjangka masa 10 tahun yang melibatkan pembangunan pelabuhan pendaratan baharu untuk kapal besar yang berlayar di Lautan Hindi, serta ladang penternakan ikan dan ketam darat. 

“Projek ini dijangka dapat mencipta antara 2,500 hingga 5,000 peluang pekerjaan dengan pelaburan awal untuk pembangunan pelabuhan pendaratan dijangka mencecah lebih RM100 juta dan akan beroperasi dalam tempoh setahun akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataaan itu dikeluarkan bersempena dengan majlis pengenalan SABDA yang dilancarkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di sini hari ini.

Menurut MBI, satu lagi projek pelabuhan pendaratan ikan bersepadu pertama Malaysia akan dibangunkan di Sekinchan.

MBI berkata pelabuhan khas pendaratan ikan itu dilengkapi dengan sistem kebolehkesanan komprehensif yang berupaya menjejaki asal usul, pemprosesan dan pengedaran setiap produk ikan di kemudahan itu. 

“Projek itu dilaksanakan dengan kerjasama antara MBI, Persatuan Industri Perikanan Sekinchan dan Persatuan Nelayan Sekinchan termasuk komuniti nelayan tempatan dan dianggarkan menarik pelaburan berjumlah RM484.1 juta dalam tempoh 10 tahun di Sabak Bernam dan mewujudkan lebih 4,000 pekerjaan.

“Jeti sedia ada akan diperbesar untuk meningkatkan kapasiti berlabuh yang mampu menampung sehingga 400 bot, mengurangkan masa menunggu dan meningkatkan kecekapan operasi. 

“Apabila projek ini selesai, projek ini dijangka meningkatkan kapasiti penangkapan ikan sebanyak 344 peratus dan industri pemprosesan makanan laut sebanyak 20 peratus di Sekinchan dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya. 

Menurutnya projek itu bakal memberi penambahan sebanyak 300,000 tan ikan dan 20,000 tan produk makanan laut siap diproses setiap tahun dengan fasa pertama dijangka siap pada 2027.

SABDA adalah satu daripada tiga zon pembangunan ekonomi baharu yang dikenal pasti di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menyasarkan untuk meningkatkan keusahawanan dan inovasi dalam kalangan perniagaan dan komuniti tempatan, di samping menarik peluang pelaburan baharu ke kawasan itu.

MBI adalah pemacu utama teras ekonomi di bawah RS-1 yang dilancarkan oleh menteri besar pada Julai 2022.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bank Negara Dijangka Kekalkan OPR Pada 2.75 Peratus Sepanjang 2026 — BMI

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus bagi tempoh sepanjang 2026, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, demikian menurut BMI yang juga unit Fitch Solutions.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, BMI menyatakan jangkaan itu berdasarkan minit mesyuarat BNM pada November 2025 yang menunjukkan penilaian bank pusat berkenaan terhadap prospek pertumbuhan 2026 kekal tidak berubah berbanding mesyuarat September.

Pendirian itu, katanya, adalah mengambil kira sokongan daripada permintaan domestik yang berdaya tahan.

“Kami sependapat dengan BNM dan menjangkakan pertumbuhan yang perlahan pada unjuran 4.6 peratus bagi 2025 kepada 4.1 peratus pada 2026. Ini adalah di bawah paras unjuran BNM sebanyak 4.0 peratus hingga 4.5 peratus,” kata BMI.

Menurutnya, BNM pada masa mempunyai kebimbangam kecil mengenai inflasi ketika inflasi menyeluruh secara amnya di paras dijangkakan iaitu purata 1.4 peratus bagi tempoh Januari 2025 hingga November 2025.

“Mengambil kira pelaksanaan fasa kedua kenaikan gaji penjawat awam pada Januari 2026 dan pemberian tunai RM100 kali kedua kepada semua rakyat pada Februari, kami menyemak naik unjuran inflasi kepada purata 1.9 peratus pada 2026 daripada 1.7 peratus sebelum ini,” katanya.

BMI juga menyifatkan semakan semula unjuran itu adala dalam julat unjuran kerajaan Malaysia iaitu antara 1.3 peratus hingga 2.0 peratus dan secara keseluruhannya sejajar dengan purata 1.8 peratus bagi tempoh 2020 hingga 2024.

Cabang penyelidikan Fitch Solutions itu turut menyemak unjuran kadar pertukaran mata wang asing dan kini menjangkakan ringgit pada paras RM4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir 2026.

“Pasukan kami di AS telah menyemak turun unjuran kadar faedah dan kini menjangkakan kadar dana Persekutuan negara maju itu akan menyaksikan pengurangan tambahan sebanyak 50 mata asas kepada kadar asas 3.25 peratus berbanding unjuran terdahulu kami sebanyak 3.50 peratus.

“Oleh itu, memandangkan BNM dijangka mengekalkan pendiriannya, perbezaan pulangan itu akan lebih cenderung untuk berpihak kepada ringgit,” katanya.
— BERNAMA