TM Giat Berunding Dengan Penyedia Perkhidmatan Bagi Perjanjian Harga Internet Borong

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) –Telekom Malaysia Bhd (TM) sedang giat berunding dengan penyedia perkhidmatan Internet untuk mencapai persetujuan susulan pelancaran Tawaran Akses Rujukan (RAO) baharunya berkaitan dengan harga borong rangkaian Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB).

Syarikat telekomunikasi itu berkata penggunaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) untuk kadar borong, yang dijangka bermula September ini, akan menggalakkan penyedia perkhidmatan menawarkan pakej Internet yang lebih baik.

“Selepas pengumuman TM mengenai penambahbaikan kadar jalur lebar borong RAO pada 28 Julai, kami telah mengadakan rundingan dengan pencari akses (penyedia perkhidmatan) untuk mencapai persetujuan yang memenuhi keperluan mereka.

“Memandangkan penambahbaikan positif pada kadar borong baharu, kami berharap ini akan menggalakkan mereka untuk menawarkan pakej Internet yang lebih baik dalam pasaran, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil,” katanya kepada Bernama.

TM berkata perjanjian dengan penyedia perkhidmatan Internet dan pihak lain yang ingin melanggan RAO TM bagi harga borong akan kelaknya memberi manfaat kepada pengguna akhir runcit mereka.

“Namun begitu, buat masa ini masih terlalu awal bagi kami untuk mendedahkan butiran terperinci mengenai tawaran itu, dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat,” tambahnya.

Pada Isnin, Fahmi berkata harga Internet dijangka menjadi lebih murah selepas pelaksanaan MSAP yang seterusnya akan membawa kepada pengurangan harga borong Internet dan pakej yang lebih murah.

Beliau berkata satu dasar baharu iaitu ‘di mana ada jalan, di situ ada Internet’ akan diperkenalkan bagi memastikan masyarakat mendapat akses Internet dengan lebih meluas. 

Pada 11 Julai, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), badan kawal selia yang mengeluarkan MSAP berkata, pengurangan harga runcit bagi perkhidmatan jalur lebar tetap berdasarkan MSAP hanya boleh dilaksanakan selepas perjanjian capaian ditandatangani dalam kalangan penyedia perkhidmatan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.