6 Sebab Anak Muda Terlibat Dengan Forex Trading Online

“Balik balik isu forex haram…forex halal…itu je pusing pusing…”

Ketika musim PKP ini, banyak iklan yang mempromosikan Forex Trading Online berlegar di media sosial terutamanya Facebook. Lebih parah, majoriti merupakan broker CFD.

Mereka mengajak orang ramai untuk membuat side income bagi menampung kehidupan mereka ketika ramai yang terjejas daripada segi pendapatan.

Sepertimana kita tahu, Forex Trading Online secara rasminya telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2012.

Menurut pakar kewangan Islam, Prof. Madya Dr. Aznan Hasan, “Kebanyakan online broker adalah tidak betul (tidak real), hanya 10% je yang betul, 90% sekadar spekulasi dan tiada mata wang/emas yang wujud untuk transaksi tersebut.“. Boleh baca lagi di Garis Panduan Syariah dalam Perdagangan Forex.

Jadi di sini jual beli matawang adalah harus asalkan mengikut syarat-syarat kontrak jual beli matawang yang dibenarkan syariah. Nak berforex perlulah mengikut syarat-syarat Bay’ al-Sarf betul-betul.

Sama juga dengan gold trading. XAU/USD adalah cara baru broker-broker forex mempromosikan platform mereka. Mereka memujuk anak muda untuk trade gold sebab ramai telah sedar bahawa forex trading itu haram. Emas juga barang ribawi, tiada beza dengan matawang.

Namun malangnya masih ramai di kalangan anak muda yang terlibat.

Mungkin mereka tidak tahu. Maka kita yang tahu bertanggungjawab untuk menyampaikannya.

Jom kita ketahui sebab-sebab kenapa golongan muda ini boleh bergelumang dengan Forex Trading Online.

1. Iklan Besar-Besaran Oleh Broker

Broker Forex memang sangat aktif membuat promosi.

Pastinya pernah terlihat iklan-iklan di Facebook atau YouTube yang menceritakan betapa mudahnya kita boleh buat duit dengan forex trading online. Dalam masa beberapa saat atau beberapa minit, dah boleh buat duit dengan turun naik pasaran mata wang dunia.

Ada juga iklan yang menawarkan sistem robot dan copy trading. Cuma masuk modal dan goyang kaki saja, tak perlu belajar Analisis Teknikal dan tak perlu tengok chart.

Sedikit sebanyak ramai yang terpengaruh dengan cara mudah untuk buat duit dengan forex trading ini.

Baca: 10 Broker CFD Yang Popular Di Kalangan Rakyat Malaysia

2. Pengaruh Influencer

Ada juga yang terpengaruh dengan selebriti atau influencer terkenal yang dah hidup senang dengan duit hasil daripada Forex Trading Online ini.

Bila iklan-iklan tunjuk income dalam USD, tunjuk stereng kereta Pak Mustape, tunjuk tabur duit atas katil, memang cair anak muda kita dibuatnya.

Follower yang tidak tahu hujung pangkal pastinya terpesona, maka ramailah yang berpusu-pusu mengikut.

Ingatlah, jika ternampak Ustaz sekalipun yang trade forex, itu tidak menjadikan instrumen itu halal.

3. Tidak Faham Instrumen Kewangan

Majoriti yang berdarah muda ini, nak buat duit cepat. Tak kisah sekiranya ambil risiko tinggi sekalipun. Nak pula dengan hanya guna smartphone.

Tetapi mereka tidak tahu yang adat pelaburan atau perniagaan, pastinya ada masa kita untung dan ada ketika kita rugi. Bila ditunjuk yang indah-indah belaka, yang profit semata-mata; maka sanggup buat apa saja untuk mendapatkannya.

4. Taqwa

Rata-rata mereka yang join Forex Trading Online ini, mereka tahu hukumnya adalah haram. Tetapi akibat termakan nasihat ‘abang-abang’ mereka yang lebih lama dalam bidang ini maka sanggup ketepikan dan perlekehkan fatwa.

Mereka merasakan lebih arif dan up to date daripada para mufti dan pakar berautoriti seluruh dunia.

“Ulamak makan gaji”…”Double standard”…”Ulamak bukan maksum, mereka juga boleh silap”

Apa yang kita dapat bila memerli para ulamak ini sebagai tanda tidak setuju? Dapat tarik lebih ramai orang membenci ahli ulama?

Tanpa taqwa, fatwa hanya akan dianggap sebagai ‘pendapat ulama’.

Baca: FOREX Trading Online – Fatwa Mana Yang Kata Harus?

5. Tarikan USD

Perkara utama bagi anak muda biasanya memang pasal duit. Itu normal.

Bila tahu ada peluang buat duit dalam mata wang antrabangsa, lebih-lebih lagi US Dolar; maka dalam kepala dah set keuntungan pun pasti berganda-ganda. Bila untung nanti convert ke Ringgit, kan dah empat kali ganda jadinya.

Jika nak sangat buat duit dalam USD, boleh berhijrah kepada pelaburan saham global, contohnya pasaran saham US. Tapi pilih lah saham-saham yang patuh syariah.

6. Modal Kecil / Tanpa Modal

Jangan terkejut sekiranya Forex Trading Online ini membolehkan kita buka akaun dan mula berdagang tanpa sebarang modal. Macam-macam kemudahan biasanya diberikan oleh broker.

Di antaranya margin, leverage, buying power dan bermacam-macam lagi. Jadi anak muda yang ghairah melihat akaun trading mereka ada banyak duit (sedangkan bukan duit mereka), maka semakin seronok nak trade.

Insha-Allah tidak jatuh miskin jika menjauhkan diri dari Forex Trading Online.

Ini adalah ujian untuk mereka yang masih terlibat. Semoga kita semua memperoleh rezeki yang halal dan berkat serta diselamatkan Allah dari seksaan api neraka.

Previous ArticleNext Article

Bolehkah Bersedekah Menggunakan Hasil Daripada Trading Forex Online?

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya hukum jika saya berniat untuk bersedekah menggunakan sumber daripada Trading Forex Online. Sebagaimana kita maklum, hukum Trading Forex adalah haram dan saya telah meninggalkan kerja ini sekian lama setelah hukumnya telah diwartakan di Malaysia.

Namun, saya berfikiran bahawa adalah suatu kerugian jika kebolehan saya untuk memperoleh sumber kewangan daripada Forex Trading yang agak banyak tidak dimanfaatkan kepada fakir miskin di sekitar kawasan kediaman dan negeri saya. Jadi terlebih dahulu saya ingin mendapatkan kepastian daripada pihak Tuan berkenaan hukum untuk niat saya ini.

Berdasarkan kepada IRSYAD FATWA SIRI KE-675: HUKUM TRADING FOREX UNTUK TUJUAN BERSEDEKAH yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:

Ringkasan Jawapan

Hukum menjalankan trading forex untuk tujuan bersedekah adalah haram. Hal ini kerana kaedah Syarak yang mengharuskan melakukan perkara yang diharamkan hanyalah terpakai dalam situasi yang memang betul-betul mendesak sehingga tiada cara melainkan perlu melakukan perkara yang haram. 

Sedangkan dalam situasi di atas, bersedekah secara umumnya masih belum mencapai tahap darurat. Dalam masa yang sama masih ada wasilah halal yang lain untuk memperoleh wang seperti pelaburan saham, crowdfunding (sumbangan dana awam), dan lain-lain.

Huraian Jawapan

Pertamanya, Perdagangan Matawang (FOREX) mempunyai pelbagai gambaran dan bentuk. Tulisan ini memfokuskan pada bentuk Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) melalui platfom elektronik yang sudah difatwakan haram dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98.

Kenyataanya seperti berikut:

Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara”.[1]

Seterusnya, bagi mencapai suatu tujuan yang baik hendaklah diperoleh melalui jalan yang dibenarkan Syarak semampu yang mungkin. Slogan “Niat menghalalkan cara” tidak boleh difahami secara mutlak untuk setiap keadaan. Sebaliknya slogan tersebut hanya terpakai jika memenuhi dua syarat utama:

Pertama: Hendaklah niat atau objektif yang ingin dicapai diiktiraf oleh Syarak. Contohnya,  niat menyelamatkan diri daripada kebinasaan dan kematian.[2]

Kedua: Sekiranya bagi mencapai objektif yang diiktiraf Syarak tersebut mengkehendaki seseorang perlu menempuhi wasilah yang haram, hendaklah dia memastikan bahawa mudarat wasilah haram tersebut lebih rendah kesannya berbanding objektif yang ingin dicapaibukanlah setara apatah lagi lebih teruk. Contohnya, seseorang makan khinzir di saat dirinya hampir mati sedangkan makanan halal lain masih ada.[3]

(Rujuk: Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, m/s 195)

Sehubungan dengan itu, sekiranya dua syarat di atas tidak dipenuhi seperti kesan mudarat wasilah haram lebih besar berbanding objektif yang ingin dicapai, maka wasilah tersebut haram digunakan bersandarkan kepada kaedah Fiqh menyebut:

الضرر لا يزال بمثله أو بأعظم منه

Maksudnya“Suatu kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan melakukan mudarat lain yang sama tahap atau lebih teruk daripadanya”.

Tambahan pula, agama mengajarkan suatu kaedah yang penting apabila berhadapan dengan situasi yang mempunyai elemen manfaat dan mudarat. Kaedah tersebut:

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Maksudnya: “Menghindarkan kerosakan lebih diutamakan daripada mencari kemaslahatan”.

Oleh itu, sekiranya bertembung di antara memperoleh manfaat atau menghindarkan mudarat dan kerosakan, maka yang lebih utama adalah menghindarkan diri daripada segala jenis kemudaratan termasuklah maksiat dan dosa apatah lagi sekiranya manfaat yang ingin diperolehi tersebut tidak mencapai tahap penting dan darurat.

(Rujuk: al-Asybah wa al-Nazhair, m/s 78)

Banyak sekali nas yang menegaskan tentang tuntutan meninggalkan segala yang dilarang oleh syarak, antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عن شيءٍ فَاجْتَنِبُوهُ، وإذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا منه ما اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya“Apabila aku melarangmu membuat sesuatu perkara maka jauhilah (kesemuanya). Apabila aku memerintahmu lakukan sesuatu perkara, maka lakukanlah semampu yang kalian boleh buat”.

Riwayat al-Bukhari (2788)

Bertitik tolak daripada kaedah ini, tujuan bersedekah merupakan suatu tindakan yang baik dan sangat mulia. Namun, sekiranya sumber kewangan sedekah tersebut diperoleh daripada cara yang haram seperti FOREX, maka dalam hal ini Syarak melarangnya.

Alasan larangan ini juga berpandukan hujah bahawa kaedah Syarak yang mengharuskan melakukan perkara yang diharamkan hanyalah terpakai dalam situasi yang memaksa dan mendesak sehingga tiada cara atau wasilah melainkan melakukan perkara yang haram.  Sedangkan dalam situasi di atas, bersedekah secara umumnya masih belum mencapai tahap darurat dan dalam masa yang sama masih ada cara halal yang lain untuk memperoleh wang seperti pelaburan saham, crowdfunding (sumbangan dana awam), wakaf, membuka tabung sedekah dan lain-lain.

Akhir kata, semoga kita semua diberikan taufik dan petunjuk oleh Allah SWT agar segala cita-cita murni yang ingin dicapai melalui jalan yang diredai-Nya. Wallahu a’lam.

[1] Rujuk Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik

[2] Rujuk Irsyad Usul Al-Fiqh Siri Ke-26: Kaedah Dalam Mencapai Sesuatu Matlamat

Baca juga Ada Duit Atau Harta Daripada Sumber Yang Haram? Ini Dia Cara Pengurusan Wang Tidak Patuh Syariah