Hukum Berkaitan Urusniaga Dropship Dan 6 Syarat Yang Perlu Dipatuhi

Ramai hari ini yang terlibat dalam penjualan barang secara dropship. Ke tak pernah dengar atau tak tahu apa yang dimaksudkan dengan dropship ni?

Dropship adalah satu tenik perniagaan di mana ‘penjual’ tidak memiliki barang dan melakukan pemasaran kepada sasaran pembeli mereka. Apabila pembeli bersetuju membeli barang tersebut, pihak pengeluar barangan yang utama akan mengirimkan barangan tersebut.

‘Penjual’ tadi pun akan mendapat komisen daripada pengeluar barangan tadi.

Ada golongan di media sosial mempertikaikan teknik ini dengan mengaitkannya dengan hadis sahih yang bermaksud:

Janganlah kamu menjual sesuatu yang tidak ada padamu.”

Pertamanya hadis ini walaupun benar maksud dan darjat kesahihannya terdapat hadis sahih lain riwayat Bukhari yang bermaksud:

Barang siapa melakukan salaf (salam), hendaknya ia melakukan dengan takaran yang jelas dan timbangan yang jelas untuk jangka waktu yang diketahui.”

Dalam Muamalat adanya kontrak yang dinamakan sebagai kontrak Salam di mana bayaran akan dibuat dahulu dan barang diserahkan kemudian. Tetapi ada syaratnya, seperti dalam hadis ada dua syarat iaitu pertamanya harus jelas spesifikasi barang tersebut dan kedua perlu diketahui waktunya itu bermaksud waktu penyerahannya.

Cukup dua syarat ini maka kontrak adalah patuh Shariah. Maka sebagai pembekal barangan dan para peniaga dropship, patuhilah dua syarat ini.

Selain itu, perlu juga dipastikan status halal atau patuh Shariah sesuatu barang yang dijual, janganlah kita menjual barang yang haram atau memberi mudarat kepada pembeli.

Juga hendaklah adanya perjanjian jelas di antara pembekal dan penjual dropship terutama bab komisyen dan upah sesuai dengan hadis yang bermaksud:

“Barang siapa mempekerjakan pekerja, beritahukanlah upahnya.”

Sebagai ringkasan disimpulkan syarat perniagaan Dropship untuk sama-sama kita patuhi:

  1. Barang atau servis yang halal dan patuh Shariah serta tidak memberi mudarat kepada pengguna.
  2. Jelas spesifikasi barang untuk mengelak unsur Gharar (ketidakpastian) serta ketidakpuashatian pengguna.
  3. Jelas harga barangan dan kos penghantaran.
  4. Jelas prosedur dan anggaran waktu penghantaran serta tempat pengambilan barang.
  5. Jelas kontrak upah antara pembekal dan peniaga dropship
  6. Adanya terma pemulangan barang atau duit sekiranya barang rosak atau tidak sama dengan spesifikasi barang yang diiklankan.

Semoga panduan ini menjadi rujukan buat kita semua.

Ditulis oleh Arham Merican, Pengurus Shariah di sebuah institusi kewangan negara dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus kepada pengurusan kewangan, pembasmian kemiskinan, dan pembinaan masyarakat madani.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Malaysia Cadang Perluas Pengiktirafan Sijil Halal JAKIM Ke Lebih Banyak Negara — Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) — Malaysia bercadang untuk memperluaskan pengiktirafan sijil Halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke lebih banyak negara menerusi kerjasama diplomasi Halal.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini di peringkat global terdapat 88 buah negara yang telah mengiktiraf sijil Halal JAKIM.

Beliau berkata terdapat juga cadangan daripada beberapa negara-negara untuk menempatkan kilang mereka di Malaysia bagi memperoleh sijil Halal JAKIM dan kemudiannya mengeksport produk mereka ke seluruh dunia.

“Ini akan memberikan lebih keuntungan kepada Malaysia dari segi penambahan nilai eksport, peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi daripada syarikat terbabit.

“Terdapat negara-negara yang masih mahukan sijil (Halal) JAKIM, jadi kita menjemput syarikat-syarikat itu untuk membuat pelaburan di Malaysia,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Perniagaan Halal Sedunia (WHBC) 2024 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata semasa kunjungan beliau ke China baru-baru ini hasil daripada perbincangan meja bulat dengan syarikat-syarikat terdapat permintaan untuk menggunakan logo (Halal) JAKIM sebagai lambang untuk pasaran antarabangsa kerana ia diterima dan dipercayai di seluruh dunia.

“Jadi, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) perlu berkerjasama dengan JAKIM dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) supaya syarikat-syarikat itu diberikan kemudahan untuk melabur di sini dan mengambil pekerja tempatan menjadi ahli profesional serta teknikal bagi pengeluaran produk berkenaan.

“Saya juga telah mengkoordinasikan dengan kerajaan negeri supaya menyediakan tanah untuk dibeli atau disewa bagi pembinaan kilang,” katanya.

WHBC 2024 yang diadakan bersempena dengan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 adalah untuk memupuk dialog dan kerjasama yang akan memacu inovasi dan pertumbuhan dalam ekonomi Halal yang semakin berkembang.  

Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun berkata persidangan itu bertujuan untuk mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pemikiran dalam industri Halal dan mempercepatkan kerjasama yang memberi impak dalam kalangan pemegang kepentingan Halal.

“Kami menjangkakan pertukaran idea dan strategi yang dinamik dengan lebih 500 tetamu terhormat, termasuk duta, pegawai kerajaan, pemimpin perniagaan, persatuan perdagangan dan wakil akademik,” katanya dalam ucapan beliau pada WHBC.

— BERNAMA