Hukum Jual Beli ‘Live Cedok-Cedok’ Di Tiktok

Perasan tak sekarang ni viral penjual menjual barang seperti gula-gula, produk kecantikan dan macam-macam lagi secara langsung di platform Tiktok. Yang menjadi kelainan adalah cara mereka berniaga dengan ‘mencedok’ barang tersebut dengan bayaran yang sama yang dikenakan kepada setiap pembeli.

Walaupun ia mendapat sambutan, namun ada yang mempersoalkan hukum jual beli tersebut sama ada ia dibenarkan disisi Islam atau tidak.

Menerusi perkongsian Dr Ahmad Sufyan Che Abdullah dari Muamalat.my yang mendapat soalan daripada seorang individu adalah seperti berikut :-

Soalan Di Inbox:


Assalamualaikum, saya nak bertanya soalan berkenaan dengan jual beli masa kini.
saya ada tengok yang orang jual guna kaedah cedok cedok secara live dekat tiktok/ig story. apakah hukumnya ya? adakah sah jual beli tersebut?

Kiranya pembeli tak boleh pilih. penjual akan jual contohnya 1 cedok barang makeup RM 80.

Pembeli pun decide nak beli 1 cedok. jadi penjual akan cedokkan secara live 1 cedok tersebut. barang yang akan pembeli dapat nanti random apa yang dicedokkan oleh penjual tu.

Jawapan:

Menjual dengan cara ini adalah sama seperti jual beli gharar yang diharamkan oleh Nabi SAW. Ia sama bentuk seperti jual beli al-mulamasah yang diharamkan kerana unsur gharar fahisy yang jelas.

Rasulullah SAW telah melarang jual beli al-mulamasah dan al-munabadhah. (Sahih Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam Nawawi, al-mulamasah adalah bentuk jual beli barangan seperti baju yang mana disentuh oleh pembeli dalam gelap tanpa melihat, dikira jual. Mulamasah juga jual beli yang berlaku ke atas mana-mana barangan, tanpa melihat secara terperinci, maka dikira jual. Dan tidak boleh lagi ada pilihan.

Jual beli sebegini, menurut Ibn Hajar al-Asqalani sebagai bentuk jual beli jahiliah.

Imam Nawawi menyifatkan jual beli sebegini adalah batil, tak sah kerana mengandungi unsur gharar.

Rasulullah SAW melarang keras bentuk jual beli gharar (Sahih Muslim). Gharar ialah jual beli yang mana pembeli tidak dapat pastikan barangan yang akan diperolehi (mastur al-aqibah). Bahkan bentuk dan struktur jual beli tersebut sudah dicipta untuk mewujudkan unsur ketidakpastian.

Gharar ada dua keadaan, sama ada gharar wujud, yang mana struktur asas jual beli itu tidak dapat dipastikan barangan diperoleh atau tidak.
Keduanya gharar al-siffah, iaitu ketidakpastian tentang produk jenis apa yang bakal diperolehi.

Cedoh-cedok adalah sama sama dengan jual beli mulamasah yang mana jelas struktur asasnya jualan berbentuk gharar. Ini kerana apa yang akan diperoleh oleh pembeli belum pasti dan tiada sebarang aras minimum barangan yang boleh dipastikan untuk diperolehi.

Hati-hatilah sama ada penjual atau pembeli, kedua-duanya diharamkan terlibat dalam aktiviti seperti ini. Ia adalah amalan jahiliah yang tidak wajar dijadikan bisnes mahupun sengaja nak buat konten.

Mungkin ada orang kata, ala, setakat jual 5 ringgit gula2 je.. Oleh kerana by structure ia adalah gharar maka ia tetap haram.

والله أعلم

Previous ArticleNext Article

Malaysia Cadang Perluas Pengiktirafan Sijil Halal JAKIM Ke Lebih Banyak Negara — Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) — Malaysia bercadang untuk memperluaskan pengiktirafan sijil Halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke lebih banyak negara menerusi kerjasama diplomasi Halal.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini di peringkat global terdapat 88 buah negara yang telah mengiktiraf sijil Halal JAKIM.

Beliau berkata terdapat juga cadangan daripada beberapa negara-negara untuk menempatkan kilang mereka di Malaysia bagi memperoleh sijil Halal JAKIM dan kemudiannya mengeksport produk mereka ke seluruh dunia.

“Ini akan memberikan lebih keuntungan kepada Malaysia dari segi penambahan nilai eksport, peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi daripada syarikat terbabit.

“Terdapat negara-negara yang masih mahukan sijil (Halal) JAKIM, jadi kita menjemput syarikat-syarikat itu untuk membuat pelaburan di Malaysia,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Perniagaan Halal Sedunia (WHBC) 2024 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata semasa kunjungan beliau ke China baru-baru ini hasil daripada perbincangan meja bulat dengan syarikat-syarikat terdapat permintaan untuk menggunakan logo (Halal) JAKIM sebagai lambang untuk pasaran antarabangsa kerana ia diterima dan dipercayai di seluruh dunia.

“Jadi, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) perlu berkerjasama dengan JAKIM dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) supaya syarikat-syarikat itu diberikan kemudahan untuk melabur di sini dan mengambil pekerja tempatan menjadi ahli profesional serta teknikal bagi pengeluaran produk berkenaan.

“Saya juga telah mengkoordinasikan dengan kerajaan negeri supaya menyediakan tanah untuk dibeli atau disewa bagi pembinaan kilang,” katanya.

WHBC 2024 yang diadakan bersempena dengan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 adalah untuk memupuk dialog dan kerjasama yang akan memacu inovasi dan pertumbuhan dalam ekonomi Halal yang semakin berkembang.  

Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun berkata persidangan itu bertujuan untuk mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pemikiran dalam industri Halal dan mempercepatkan kerjasama yang memberi impak dalam kalangan pemegang kepentingan Halal.

“Kami menjangkakan pertukaran idea dan strategi yang dinamik dengan lebih 500 tetamu terhormat, termasuk duta, pegawai kerajaan, pemimpin perniagaan, persatuan perdagangan dan wakil akademik,” katanya dalam ucapan beliau pada WHBC.

— BERNAMA