Tahukah Anda Pencen Bukanlah Harta Pusaka Dan Tak Boleh Diwasiatkan ?

Soalan:

Saya seorang penjawat awam dan sedang menghadapi masalah rumahtangga dengan suami. Suami seorang penagih dadah dan tidak bekerja. Setelah lima tahun berkahwin, kami akhirnya dalam proses perceraian.

Kami mempunyai seorang anak lelaki berusia 4 tahun. Masalahnya adalah saya khuatir jika saya meninggal dunia (dalam tempoh perkhidmatan) sebelum selesai proses penceraian kami, adakah suami akan menerima pampasan dan pencen saya?

Bolehkah saya wasiatkan atau memindahkan hak perwarisan pencen tersebut kepada anak saya?

Jawapan:

Permasalahan pemindahan hak perwarisan pencen ini, kita boleh merujuk kepada peruntukan di bawah Seksyen 19, Akta Pencen 1980.

“Apa-apa pencen, ganjaran atau faedah lain yang diberikan di bawah Akta ini tidak boleh diserah hak atau dipindah milik, atau ditahan, diasingkan atau dilevi mengenai sesuatu tuntutan kecuali bagi maksud—

(a) menjelaskan hutang yang kena dibayar kepada Kerajaan Persekutuan, atau Kerajaan sesuatu Negeri, atau sesuatu Pihak Berkuasa Berkanun atau Tempatan;

(b) menunaikan perintah daripada Mahkamah supaya dibayar secara berkala sejumlah wang untuk nafkah bagi isteri atau bekas isteri atau anak yang belum dewasa, sama ada sah taraf atau tidak, pegawai yang telah diberikan pencen, ganjaran atau faedah lain itu; atau

(c) menunaikan perintah mahkamah yang dikeluarkan berhubung dengan perkara kebankrapan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengannya.”

Berdasarkan kepada peruntukan ini, si duda/balu kepada si mati berhak mewarisi pencen terbitan pasangannya yang merupakan penjawat awam/pesara, dan bayaran pencen terbitan tersebut dibayar kepada balu/duda sepanjang hayatnya, dengan syarat mereka tidak pernah bercerai sebelum kematian penjawat awam/pesara itu.

Dalam kes ini, selagi penjawat awam wanita tersebut masih ada ikatan yang sah sebagai suami isteri, jika beliau meninggal dunia, maka suami dan anaknya berusia 4 tahun itu tetap layak mewarisi pencen terbitannya.

Dalam masa yang sama, disebabkan pencen tidak termasuk dalam senarai harta pusaka seperti mana yang telah difatwakan, maka wanita tersebut tidak boleh memindahkan hak atau membuat apa-apa perancangan perwarisan terhadap pencen tersebut.

Ini juga telah disepakati oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah bersidang pada Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Kali ke 21 pada 12 September 1988 yang telah bersetuju bahawa:

“Ganjaran Terbitan dan Pencen Terbitan tidak termasuk sebagai harta pusaka, maka faedahnya tidak tertakluk kepada pembahagian harta pusaka.”

Oleh itu jelas, penjawat awam tidak mempunyai hak untuk menentukan siapakah yang akan memiliki atau mewarisi pencen mereka setelah mereka meninggal dunia.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka.

Iklan

Iklan

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!