Funding Societies Memasuki Vietnam Dalam Pengembangan Pasarannya Yang Kelima

Funding Societies (juga dikenali sebagai Modalku di Indonesia), platform pembiayaan digital PKS terkemuka di Malaysia dan Asia Tenggara, telah dilancarkan secara rasmi di Vietnam, menandakan pengembangan pasarannya yang kelima. Berbekalkan keazaman untuk menangani jurang pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Vietnam, di mana landskap PKS sedang berkembang pesat tetapi masih kurang mendapat perhatian dari segi kewangan, langkah syarikat teknologi kewangan itu memasuki pasaran negara tersebut bertepatan dengan usahanya untuk terus berkembang ke seluruh Asia Tenggara.

Menurut Kementerian Perancangan dan Pelaburan Vietnam, 98% daripada perniagaan yang beroperasi di negara itu pada 2020 adalah PKS, yang menggaji lebih daripada 5.6 juta pekerja dan menyumbang lebih daripada AS$241 bilion (RM1.045 trilion) atau 40% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Vietnam. Walau bagaimanapun, jurang di antara jumlah PKS berdaftar dan jumlah perniagaan yang masih beroperasi semakin meluas dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, dengan hanya 54%  PKS berdaftar masih lagi aktif pada 2019. Akses kepada pembiayaan masih lagi menjadi salah satu daripada halangan utama terhadap pertumbuhan PKS di Vietnam, dan masalah ini diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19.

Sebagai penyedia pembiayaan digital PKS terkemuka di Asia Tenggara, Funding Societies berfungsi sebagai platform yang boleh dipercayai untuk pembiayaan PKS dengan model kredit yang dipacu oleh Kecerdasan Buatan (AI), menawarkan pinjaman berjangka tradisional, penyelesaian pembiayaan boleh diubah suai, dan pelbagai pilihan pembiayaan berasaskan perdagangan, seperti pembiayaan invois. Dalam tempoh tujuh tahun ia beroperasi, syarikat itu telah mengagihkan lebih AS$2 bilion (RM9 bilion) pembiayaan perniagaan menerusi lebih daripada 5 juta pinjaman di seluruh rantau ini.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies, Kelvin Teo berkata, “Sejak penubuhan kami pada 2015, wawasan kami ialah untuk memartabatkan masyarakat di Asia Tenggara. Oleh itu, Vietnam sentiasa menjadi sebahagian daripada pelan hala tuju kami. Selaras dengan pemulihan COVID-19, ini adalah masa paling sesuai untuk kami membentuk sebuah pasukan yang mantap dengan veteran teknologi kewangan tempatan Ryan Galloway, dan mendapatkan pelaburan daripada syarikat teknologi gergasi VNG. Kami yakin bahawa Vietnam akan menjadi salah satu daripada pasaran terbesar kami memandangkan potensinya yang sangat tinggi.”

Pada awal tahun ini, syarikat teknologi gergasi Vietnam, VNG Corporation telah melabur AS$22.5 juta (RM97.65 juta) dalam Funding Societies sebagai sebahagian daripada siri pengumpulan dana C+ syarikat teknologi kewangan itu yang berjumlah AS$294 juta (RM1.23 bilion), yang mana AS$144 juta dikumpulkan dalam bentuk ekuiti dan AS$150 dalam bentuk pinjaman fleksibel. Funding Societies turut mendapat sokongan daripada pelabur terkenal lain di dalam pusingan pendanaan, termasuklah SoftBank Vision Fund 2, Rapyd Ventures, EDBI, Indies Capital, Ascend Vietnam Ventures, K3 Ventures dan banyak lagi. VNG akan membantu Funding Societies untuk segera menyesuaikan diri dengan pasaran tempatan bagi memastikan ia dapat menyediakan penyelesaian yang sesuai dengan keperluan unik perniagaan di Vietnam.

Pengarah Negara Funding Societies Vietnam, Ryan Galloway berkata, “PKS di Vietnam tidak mempunyai akses yang sama terhadap pasaran modal teroka dan peringkat awal seperti pasaran Asia Tenggara yang lain, namun pasaran Vietnam adalah sama kompetitif, menjadikan usahawan Vietnam lebih cekal berusaha dalam keadaan yang serba kekurangan. Kami melihat terdapat banyak peluang di Vietnam dan kami gembira kerana dapat menyokong perkembangan pesat landskap PKS di negara ini sambil kami terus memenuhi keperluan jutaan PKS di seluruh Asia Tenggara.”

Naib Presiden Perniagaan Hiburan Permainan dan Permainan Utama VNG, Kelly Wong berkata, “PKS memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi di Asia Tenggara. Terdapat cabaran besar untuk mereka mengakses pendanaan serta modal bagi memacu pertumbuhan. Pelaburan kami dalam Funding Societies adalah selari dengan usaha mewujudkan peluang untuk PKS dan menyokong pertumbuhan dan pembangunan mereka. Sebagai sebuah syarikat teknologi yang dibangunkan di Vietnam, kami mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang diperlukan untuk menyokong pengembangan Funding Societies ke dalam pasaran Vietnam.”

Beroperasi di Malaysia, Indonesia (di mana ia dikenali sebagai Modalku), Singapura, Thailand, Funding Societies merupakan satu-satunya platform pembiayaan digital PKS yang dilesenkan dan berdaftar di empat negara di seluruh Asia Tenggara. Di Vietnam, ia memberikan perkhidmatan kepada PKS yang merangkumi pelbagai sektor seperti pendidikan, peruncitan, teknologi, dan barangan pengguna cepat laris (FMCG), menawarkan produk seperti pembiayaan perdagangan, pembiayaan inventori, pembiayaan akaun belum terima (AR) dan akaun belum bayar (AP) di Ho Chi Minh, Hanoi, dan kawasan-kawasan sekitarnya. Syarikat itu merancang untuk melancarkan keupayaan pembiayaan digital mata wang tempatan ke seluruh negara pada separuh kedua tahun ini.

Mengulas mengenai perkara ini, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, Wong Kah Meng berkata, “Kami gembira dengan pengembangan ini kerana ia mencerminkan komitmen kami yang berterusan ke arah menyediakan akses perkhidmatan pembiayaan digital kepada PKS di Malaysia dan di seluruh pasaran Asia Tenggara yang lebih luas. Menerusi keberadaan kami di rantau ini, kami dapat menyokong pertumbuhan PKS di Malaysia dan Asia Tenggara dengan lebih baik selaras dengan pengembangan perniagaan mereka di seluruh rantau ini.”

“Berasaskan kepada kejayaan Funding Societies di pasaran lain, kami akan menambah baik tempoh pemprosesan menerusi pengautomasian pengasalan dan pengunderaitan perjanjian bagi menyokong PKS Vietnam dengan lebih cekap,” tambah Galloway.

Sejak pra-pelancarannya di Vietnam pada Disember 2021, Funding Societies telah mencatatkan pengagihan lebih AS$20 juta (RM86.8 juta), dan merancang untuk meningkatkan jumlah tersebut kepada AS$90 juta (RM390.29 juta) pada tahun ini. Bagi merealisasikan cita-cita ini, di Vietnam, syarikat ini sedang merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan rakan platform teknologi dan perbankan bagi menyokong rancangan jangka sederhana dan jangka panjangnya, konsisten dengan langkah kerjasama mereka dengan bank dan pelaburan ke dalam Bank Index di Indonesia baru-baru ini. Sementara itu, di peringkat serantau, Funding Societies akan mengukuhkan lagi kehadirannya di kelima-lima negara di mana ia beroperasi, dengan produk pembiayaan dan perbankan digital baharu.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.