JLG & MSAR Tandatangani MoU untuk Manfaatkan Rangkaian Digital Lebuh Raya 1,063km bagi Meluaskan Hubungan Gentian Gelap di Johor

Capaian yang disediakan bakal meningkatkan kelajuan transmisi data Taman Teknologi Sedenak (STeP) kepada 4Tbps berbilang, dengan tahap kependaman rendah dan infrastruktur baharu ke hab pusat data utama Asia Tenggara

Johor Bahru, 12 Jun 2023 – JLand Group (JLG), cabang hartanah dan infrastruktur Johor Corporation, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MSA Resources Sdn Bhd (MSAR), sebuah syarikat penyedia infrastruktur telekomunikasi, untuk menyediakan hubungan terus dari Sedenak Tech Park (STeP) ke Rangkaian Digital Lebuh Raya.

Skop kerjasama termasuk membina hubungan Pusat Data Saling Terhubung (DCI) di dalam dan luar STeP.  Rangkaian tersebut telah sedia untuk dihubungkan kepada Hab Singapura menerusi dwicapaian di Tambak Johor dan Link Kedua Tuas. Infrastruktur gentian yang akan menghubungkan Johor ke sempadan Utara dan Selatan Semenanjung Malaysia dijangka siap menjelang S4 2023. Pembinaan talian tempatan ini bakal menyediakan saluran nilai tambah neutral yang tidak dimiliki syarikat pembawa dan juga memberikan keupayaan transmisi data yang lebih baik di seluruh negara, meliputi pusat-pusat data hiperskala yang utama. 

Menerusi usaha sama ini, kedua-dua pihak bermatlamat untuk mengukuhkan kedudukan STeP sebagai pusat data serantau di Asia Tenggara.  Objektif  MSAR di bawah MoU ini ialah untuk menyediakan hubungan dari STeP ke negara-negara jiran, dan secara global, menerusi sistem kabel bawah laut baharu dan yang disambungkan terus ke Johor.  Memanfaatkan kedudukan geografinya,  Johor mempunyai kelebihan strategik yang menghubungkan lalu lintas ke timur dan barat menerusi kedua-dua pesisir pantainya. 

JLG dan MSAR telah menganjurkan majlis tandatangan sempena Forum Bandar Pintar Johor 2023, yang disaksikan oleh Yang Berhormat Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor. 

“Kami mengoptimumkan dan menyepadukan sepenuhnya hartanah yang dimajukan oleh JLG ke dalam rantaian nilai pusat data dengan memanfaatkan peluang yang timbul daripada pembinaan gentian gelap. Kerjasama kami dengan MSAR meluaskan keupayaan STeP yang sedia ada dengan melengkapkan hubungan dari sempadan ke sempadan, meningkatkan kepantasan dan pilihan rangkaian bagi para pengendali. Langkah ini memenuhi wawasan perkhidmatan STeP untuk menjadi hab pusat data yang pesat membangun dan berkembang maju bagi Gerbang Selatan Malaysia, dengan menyediakan hubungan tahap kependaman rendah di antara hab-hab pusat data utama di rantau ini,” kata Datuk Sr Akmal Ahmad, Pengarah, Hartanah & Infrastruktur, Johor Corporation dan Timbalan Pengerusi, JLG. 

“Pembinaan talian tempatan ini juga dijangka membawa manfaat kepada kawasan sekitar STeP, termasuk bandar Ibrahim Technopolis (IBTEC) yang lebih luas meliputi 7,290 ekar. Rangka kerja hubungan yang disediakan di STeP akan memastikan kabel gentian kapasiti tinggi boleh diguna pakai oleh pembangunan kediaman, komersial dan perindustrian masa depan di IBTEC, sebagai sebahagian daripada usahanya mencapai status Pusat Siber Malaysia Digital (MD),” tambah Datuk Sr Akmal.

“Kemunculan pusat-pusat data hiperskala baharu di Johor membuka peluang yang tepat pada masanya bagi MSAR, dan kami amat berbangga untuk dipilih oleh JLG untuk bekerjasama membina infrastruktur gentian berskala besar ini.  STeP sedang berkembang pantas menjadi sebuah pembangunan bertaraf dunia yang memartabatkan Johor sebagai hab serantau baharu untuk pusat data.  Kami teruja dengan potensi pembangunan STeP dan akan melabur RM66 juta untuk memenuhi keperluan hubungan digitalnya,” kata Saiful Husni, Pengarah Urusan, MSAR.

“Di samping itu, semua hab pusat data utama di Semenanjung Malaysia akan dihubungkan sepenuhnya kepada rangkaian kami menjelang akhir 2023. Rangkaian Digital Lebuh Raya kami menandakan satu mercu jaya penting dari segi penyediaan hubungan gentian gelap secara besar-besaran bagi industri dan kami telah menetapkan rangkaian tunjang neutral ini sebagai aset pelengkap untuk diguna pakai oleh semua peserta dengan konsep capaian terbuka,” tambah Saiful Husni.

Rangkaian Digital Lebuh Raya adalah sejajar dengan rancangan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang berupaya menyediakan kelajuan transmisi data sehingga 800Gbps dan lebih tinggi, dan juga kapasiti rangkaian keseluruhan 33.6Tbs bagi setiap pasangan gentian. Daripada rangkaian ini, kawasan bandar dan luar bandar di seluruh Semenanjung Malaysia akan mempunyai akses kepada 4,400 Titik Saling Terhubung (POI) yang akan menyediakan liputan jalur lebar lebih luas. Fasa 1 projek melibatkan pemasangan gentian dari Bukit Kayu Hitam ke Johor Bahru.

Di dalam industri pusat data, gentian gelap memang dikenali dengan kelebihannya yang termasuk kecekapan kos, fleksibiliti, ciri boleh skala dan keselamatan. Rangkaian gentian gelap memberikan tahap kependaman lebih rendah, dengan data boleh dihantar terus ke destinasi akhir dengan kelajuan dan sambungan lebih baik. Tambahan lagi, gentian gelap memberikan lapisan kelewahan fizikal tambahan untuk sistem sedia ada bagi mengurangkan risiko kehilangan data.

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.