Malaysia Antara 20 Negara Teratas Sasaran Mel Hasad Pada 2022 – Kaspersky

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) — Malaysia di kedudukan ke-10 dalam kalangan 20 negara teratas sasaran mel hasad atau berniat jahat pada 2022, demikian menurut data Kaspersky.

Syarikat keselamatan siber dan privasi digital global itu berkata, Laporan Spam dan Pancing Data Kapersky 2022 menunjukkan Malaysia mencatat 2.98 peratus daripada kesemua lampiran e-mel hasad di peringkat global — meningkat daripada 2.62 peratus pada tahun sebelumnya.

Dari segi perbandingan dalam kalangan negara serantau Malaysia, Vietnam di kedudukan keenam dengan 4.43 peratus daripada hantaran mel hasad yang dikesan manakala Indonesia di tempat ke-15 dengan 1.85 peratus daripada bahagian pada tahun lepas.

Menurut Kapersky, sejumlah 48.63 peratus daripada e-mel di serata dunia adalah spam dengan perisian antivirus menyekat 166 juta lampiran e-mel berniat jahat manakala 507 juta cubaan memancing data dapat digagalkan.

Selain itu, peningkatan sebanyak 18 juta lampiran e-mel berniat jahat telah direkodkan pada 2022 berbanding tahun sebelumnya dengan kejadian paling ketara dilaporkan pada Mac, Mei dan Jun.

“Hantaran mel berniat jahat yang diterima oleh rakyat Malaysia wujud dalam penyamaran sebagai urusan perniagaan (dan) bagi menarik perhatian penerima membuka lampiran. Melalui cara ini, penjenayah siber akan cuba meyakinkan bahawa kandungannya adalah maklumat berkaitan perniagaan seperti tawaran komersial, invois atau salinan pemindahan bank.

“Dalam kebanyakan kes, dokumen yang dibuka itu akan turut memuat turun Trojan (virus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kaspersky Asia Pasifik Chris Connell berkata jenayah ‘scam’ atau penipuan yang menjanjikan pampasan dan bayaran daripada agensi-agensi kerajaan, syarikat besar dan bank, akan kekal popular dalam kalangan penjenayah siber pada 2023.

“Data daripada Kaspersky Secure Network (KSN) turut menunjukkan bahawa ancaman laman sesawang di Malaysia sejak lima tahun lepas berada dalam aliran menurun.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita perlu berasa selesa ketika penjenayah siber ini sebaliknya menjadi lebih kreatif dalam memperdayakan mangsa. Oleh itu, perlindungan terhadap peranti adalah sesuatu yang perlu dilakukan,” katanya.

Data KSN menunjukkan Malaysia mengalami ancaman web tertinggi pada 2021 iaitu sebanyak 61.3 juta yang turun kepada 37.1 juta pada tahun lepas.

Merujuk gesaan oleh Menteri Komunikasi dan Digital agar kerajaan negeri dan agensi kerajaan bertindak meningkatkan keselamatan siber masing-masing, Connell menyifatkannya sebagai langkah baik dalam usaha menjadikan Malaysia lebih selamat.

“Bagi pihak kami, Kapersky sentiasa bersedia untuk bekerjasama dan berusaha menerusi perkongsian ilmu dengan sektor awam dan swasta bagi melindungi lebih ramai rakyat Malaysia serta syarikat-syarikat di sini,” katanya.

Kaspersky telah menyarankan supaya pengguna memasang penyelesaian keselamatan yang mantap untuk terus dilindungi daripada mel berniat jahat, termasuk memaklumkan pengguna mengenai laman sesawang yang perlu dielak serta perlindungan daripada perisian hasad.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.