Shopee Melancarkan ShopeeFood Di Malaysia

Shopee pada hari ini telah mengembangkan perkhidmatannya dengan penambahan ShopeeFood di Malaysia, yang boleh diakses menerusi ikon ShopeeFood di halaman utama aplikasi Shopee. Dengan ini, para pengguna dapat membeli semua keperluan mereka, termasuk penghantaran makanan, melalui Shopee.

Perkhidmatan ini, yang akan dilancarkan secara berperingkat, akan disediakan kepada lebih 8 juta rakyat Malaysia yang menetap di Lembah Klang bermula 24 September, dengan ini menawarkan akses kepada pelbagai kedai makanan termasuk restoran-restoran popular seperti A&W, Burger King, Nando’s, Starbucks dan Tealive, serta gerai-gerai makanan tempatan.

Terence Pang, Ketua Pegawai Operasi di Shopee berkata, “Kami gembira dapat menambahkan penghantaran makanan sebagai sebahagian daripada pengalaman di Shopee. Rakyat Malaysia kini dapat membeli segala barang keperluan mereka di atas talian, menikmati hiburan di Shopee Live, bermain permainan kegemaran mereka di Shopee Prizes, dan juga menggunakan aplikasi kami untuk memenuhi keinginan makanan mereka.”

Pang menambah, “Perkhidmatan baharu ini turut membolehkan peniaga makanan dan minuman untuk berpindah ke atas talian bagi menjangkau lebih ramai pelanggan, sekali gus memacu pertumbuhan jangka panjang peniaga tersebut. Kami berharap para pengguna dan rakan niaga kami akan menikmati penggunaan ShopeeFood. Kami akan terus menaik taraf platform dan perkhidmatan kami agar dapat memenuhi keperluan semua orang dengan lebih baik.”

Sebagai sebahagian daripada pelancarannya, ShopeeFood akan memberikan baucar Penghantaran Percuma dengan pembelanjaan minimum RM0 dan baucar diskaun bernilai hingga RM8 kepada pengguna-pengguna baharu. Dari 24 hingga 28 September, ShopeeFood akan menawarkan tawaran makanan RM10 ke bawah untuk nilai yang lebih hebat, sementara stok masih ada. Lebih banyak promosi ShopeeFood akan diumumkan melalui laman Instagram mereka, @shopeefood_my.

Para pengguna yang mengunjungi aplikasi Shopee juga akan dapat menikmati sambutan Shopee 10.10 Jualan Berjenama yang sedang berlangsung hingga 10 Oktober, dengan lebih banyak tawaran dan promosi pada 25 September Jualan Hari Gaji dan hari 10.10 Jualan Berjenama. Festival membeli-belah ini menawarkan Baucar Penghantaran Percuma dengan pembelanjaan minimum RM10 dan 50% Diskaun Jenama Terkenal. Para pengguna juga berpeluang untuk Tekan dan Menang sebuah kereta Toyota Vios.

Di samping itu, para pembeli juga bakal disajikan dengan hiburan apabila mereka menonton Shopee Live dan Astro Ria pada 21 dan 28 September, serta 5 Oktober pada jam 9 malam untuk menyaksikan MeleTOP Bersama Shopee 10.10 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad, Shiha Zikir, Issey Fazlisham dan Zulin Aziz. Pada 9 Oktober jam 9 malam, para pengguna dapat menyaksikan Shopee TV Deals – 10.10 Brands Festival Show yang berlangsung di Shopee Live dan TV3. Dalam rancangan ini, para pembeli akan mendapat 3 peluang tambahan untuk Tekan dan Menang sebuah Toyota Vios, serta menuntut 10.10 Only Vouchers yang memberikan diskaun hingga 95% daripada jenama-jenama kegemaran mereka.

Shopee 10.10 Jualan Berjenama menjadi lebih menarik dengan adanya tiga duta jenama tempatan, bermula dengan Alif Satar yang akan memulakan festival membeli-belah ini, manakala dua orang duta lagi akan diumumkan apabila tiba waktunya.

Menambahkan keceriaan kepada festival membeli-belah ini, para pengguna ShopeePay berhak menerima hingga 10,101 Syiling Shopee setiap kali mereka menambah nilai dompet mudah alih mereka dari 2 hingga 9 Oktober. Nilai ini akan ditambah sebanyak 3 kali ganda semasa ShopeePay Day pada 1 Oktober. Lebih menarik lagi, para pengguna juga boleh menggunakan Syiling Shopee untuk menikmati lebih penjimatan bagi pesanan ShopeeFood mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai ShopeeFood, layari https://shopee.com.my/m/shopeefood

Kunjungi Shopee 10.10 Jualan Berjenama di https://shopee.com.my/m/1010-festival

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI