Shopee Terus Memberi Impak Kepada Komuniti, Memacu Ke Arah Ekonomi Digital Yang Rancak Dan Inklusif

Shopee, platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan, meraikan pertumbuhan ekonomi digital di rantau ini dan berkongsi mengenai impak e-dagang serta perkhidmatan kewangan digital terhadap komuniti tempatan pada tahun 2021.

Asia Tenggara terus menyaksikan penggunaan teknologi yang dipercepatkan, dengan 40 juta pengguna digital baharu direkodkan pada tahun 2021. Memandangkan penggunaan terus berkembang, Shopee memacu inklusiviti digital dengan memperkasakan lebih ramai orang dan lebih banyak perniagaan demi menjana peluang baharu dalam talian.

Pada tahun 2021, lebih ramai yang dapat mengakses dan memperoleh manfaat daripada teknologi melalui Shopee. Di seluruh rantau ini, 1 dalam 6 pesanan Shopee dibuat oleh pengguna kali pertama, manakala bilangan penjual dari luar bandar-bandar utama meningkat 70% dari tahun 2020. Shopee juga menyajikan lebih banyak keseronokan dan kemudahan untuk para pembeli, di samping melatih individu yang berbakat untuk mencapai kejayaan dalam ekonomi digital yang semakin berkembang.

Kenneth Soh, Ketua Kempen Pemasaran di Shopee Malaysia berkata, “Pada tahun 2021, Shopee kekal komited dalam misi kami untuk memberi manfaat kepada komuniti tempatan menerusi teknologi, terutamanya bagi golongan yang terabai. Dengan lebih ramai orang dan perniagaan kini berada dalam talian, kami terus berinovasi dan memenuhi keperluan mereka dengan lebih baik, serta menyesuaikan diri dengan cara kehidupan, pekerjaan, dan pembelian yang baharu. Apabila kita semakin berhubung, kita dapat memberi impak yang lebih besar antara satu sama lain dan lebih penting lagi, menaikkan semangat supaya tiada siapa yang ketinggalan. Inilah cara kami menjana peluang baharu dan mencipta nilai untuk komuniti kami. Marilah kita bersama-sama berusaha ke arah ekonomi digital yang lebih rancak dan inklusif.”

Memupuk inklusiviti dan pertumbuhan

Pada tahun 2021, lebih banyak komuniti dan perniagaan tempatan dapat mengakses dan memperoleh manfaat daripada ekonomi digital dengan Shopee.

Malah, penemuan pasca kempen 3.15 Hari Pelanggan Shopee mendedahkan bahawa bilangan perniagaan luar bandar dan komuniti Malaysia yang mengambil bahagian sebagai penjual di Shopee Marketplace telah meningkat 7.5 kali ganda sejak Januari 2020 hingga kini.

Meluaskan akses: Shopee terus menjadikan pembelian dan penjualan dalam talian lebih mudah untuk semua. Sepanjang tahun, ia memperkenalkan kempen bersifat lokal yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan para pembeli yang semakin berkembang. Rangkaian penghantarannya turut diluaskan supaya para pengguna dapat membeli-belah dan menerima pesanan dengan yakin, walaupun di kawasan luar bandar. Ia juga meningkatkan jangkauannya untuk membantu mendigitalkan lebih banyak PMKS, terutamanya pengeluar dan petani tempatan yang merupakan tunjang kepada ekonomi tempatan. Sorotan di seluruh rantau termasuk:

  • Pertumbuhan 70% dari tahun ke tahun bagi bilangan penjual Shopee di luar bandar-bandar utama
  • 1 dalam 6 pesanan pada tahun 2021 dibuat oleh pengguna Shopee yang baharu, manakala bilangan pengguna Shopee di luar bandar-bandar utama meningkat sebanyak 40%
  • Bilangan pengguna ShopeePay di luar bandar-bandar utama melonjak 2.5 kali ganda, ketika lebih ramai orang menikmati kemudahan pembayaran digital. ShopeePay turut menghubungkan peniaga dalam talian dan luar talian kepada pelanggan baharu.

Meningkatkan mata pencarian: Melalui Shopee, perniagaan-perniagaan tempatan mampu melihat kehadiran digital mereka berkembang menjadi pertumbuhan ketara dalam pendapatan dan mata pencarian. Pada tahun 2021, Shopee mencipta alat dan ciri-ciri baharu bagi meningkatkan pendedahan penjual tempatan di platformnya. Sebagai contoh, inisiatif #ShopeeSapotLokal mengetengahkan para penjual dan membantu mereka menjangkau lebih ramai pembeli serta mengembangkan pangkalan pelanggan mereka. Sorotan di seluruh rantau termasuk:

  • Lebih 1,000 penjual tempatan mencapai jualan melebihi AS$100,000 (RM439,450) dalam 3 hari semasa festival-festival akhir tahun Shopee – 9 September, 11 November dan 12 Disember
  • Penjual dalam talian buat kali pertama juga menyaksikan peningkatan besar pada akhir tahun. Jualan untuk penjual baharu di Shopee melonjak hingga 18 kali ganda pada 11 November
  • ShopeePay Near Me, ciri baharu yang membantu para pengguna menemui tawaran daripada peniaga luar talian di sekeliling mereka, mencipta 5 juta transaksi dalam kedai untuk rakan-rakan perniagaan

Membuka kunci pertumbuhan untuk jenama: Shopee Mall terus mengukir jalan ke hadapan untuk rakan jenamanya, serta merintis penyelesaian dan alatan inovatif demi menyokong pertumbuhan yang mampan. Rakan-rakan jenama menyaksikan momentum pertumbuhan yang kukuh dan mencapai pencapaian baharu, apabila 42 juta pengguna membuat pembelian pertama mereka di Shopee Mall pada tahun 2021, manakala 5 rakan jenama mencapai AS$100 juta (RM439,449,949) dalam Nilai Barangan Kasar.

Membangkitkan komuniti


Pada tahun 2021, Shopee terus meningkatkan kemahiran bakat-bakat tempatan, usahawan serta komuniti untuk berjaya dalam ekonomi digital hari ini dan esok.

  • Melahirkan bakat dalam teknologi: Shopee meningkatkan usahanya untuk berhubung dan meningkatkan kemahiran bakat-bakat dan peminat teknologi tempatan. Lebih 20,000 peserta mengambil bahagian dalam inisiatif latihan teknologi Shopee, termasuk webinar “Tech@Shopee” dan pertandingan Shopee Code League. Di Shopee, 8 daripada 10 pekerja mempelajari kemahiran baharu di Shopee Academy, dengan lebih 27,000 jam latihan direkodkan secara keseluruhan.
  • Meningkatkan tahap perniagaan tempatan: Shopee terus meningkatkan sumber pembelajarannya bagi membantu semua jenis perniagaan meningkatkan kemahiran untuk dunia dalam talian. Kurikulum Shopee University yang bersifat digital membolehkan lebih ramai penjual mengakses kursus dan kemahiran penting mengenai e-dagang dengan mudah, tidak kira di mana mereka berada. Seller Education Hub dalam talian pula menawarkan pelbagai kursus yang disediakan untuk semua peringkat, daripada pemilik perniagaan yang berpengalaman hingga ke bakal usahawan. Setakat tahun 2021, 1.3 juta penjual telah mendaftar dalam kursus Shopee University

Menyumbang kepada komuniti yang memerlukan


Di Malaysia, Shopee menggunakan platform dan sumbernya untuk mempercepatkan pemulihan daripada pandemik, serta menyokong komuniti tempatan yang paling memerlukan.

  • Menyokong komuniti yang memerlukan: Shopee menyumbangkan lebih 60,000 kotak bantuan makanan ‘Kotak Kasih Shopee’ kepada komuniti yang memerlukan di seluruh negara seperti penduduk di rumah kos rendah, rumah kebajikan dan perkampungan Orang Asli.
  • Menyumbang kepada pemulihan pandemik: Dengan kerjasama beberapa Kerajaan Negeri serta Kementerian Wilayah Persekutuan, ShopeePay menaja 120 pushcart dan menyediakan insentif yang disesuaikan secara teliti kepada peniaga mikro B40 yang terjejas oleh pandemik.
Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.