4 Artis Malaysia Yang Memulakan Perniagaan

Kerjaya dalam bidang seni biasanya tak akan kekal lama. Ada yang hanya terkenal dengan satu dua buah lagu, atau satu dua lakonan mantap, kemudiannya terus menyepi daripada dunia hiburan tanah air.

Tetapi bagi mereka yang bijak merebut peluang, ada artis yang telah menggunakan populariti dan keyakinan yang dimiliki semasa bergelar artis, untuk ‘bertukar arah’ menjadi usahawan yang terkenal.

Setiap dari mereka yang menjadi usahawan ini semuanya bermula dari bawah untuk berjaya dalam industri perniagaan. Di sini, kami senaraikan 4 artis luar biasa yang telah berjaya menempah nama dalam industri perniagaan.

1. Dato’ Sri Hajah Siti Nurhaliza

Sumber : Spotify

Mempunyai suara yang lunak menjadikan Dato’ Sri Hajah Siti Nurhaliza sebagai penyanyi nombor 1 Malaysia. Namun begitu, karier seni sebagai seorang penyanyi bukanlah sesuatu yang dijadikan karier utama.

Dengan rangkaian produk kecantikan SimplySiti dan fesyen Creacion, menjadikan beliau seorang ahli usahawan berjaya di Malaysia.

Produk kecantikan dan alat solek SimplySiti menggunakan kemahiran saintis dari Korea untuk mencari produk berunsurkan sumber alam semula jadi yang sesuai dengan wanita Malaysia. Begitu juga dengan Creacion yang memasarkan pakaian muslimah secocok dengan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

2. Dato’ Sri Sidi Oraza

Sumber : Keluarga

Nama sebenar beliau ialah Syed Osman Bin Syed Rastan dan merupakan pelakon tersohor pada zaman 1990-an. Menamatkan zaman bujang beliau dengan Tengku Ismawati Badrulzaman, beliau sekaligus meninggalkan dunia lakonan dan menceburkan diri dalam dunia perniagaan yang berasaskan baja.

Hasil dorongan oleh abangnya iaitu Prof Madya Dr Syed Omar Bin Syed Rastan, Dato’ Sri Sidi Oraza telah menubuhkan syarikat Diversatech (M) Sdn Bhd yang beroperasi di Bangi.

Beliau pernah mencipta sejarah apabila memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-41 (1996) di Auckland, New Zealand menerusi filem arahan Dr. Mahadi J. Murat itu telah mendapat ilham menceburkan diri dalam perniagaan baja setelah beliau pulang dari China.

Justeru, dengan penyelidikan oleh abang beliau yang merupakan salah seorang saintis yang dinobatkan dalam Anugerah Akademik Negara pada tahun 2007 telah memberikan satu impak inovasi kepada pengunaan baja dalam bidang pertanian dan perladangan.

3. Datuk Hajah Sarimah Ahmad

Siapa tidak mengenali seniwati Datuk Hajah Sarimah Ahmad yang berlakon di samping Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Beliau memulakan perniagaan setelah menamatkan karier seninya.

Empayar yang dikenali sebagai Primadona Worldwide Sdn Bhd yang merangkumi Sari AgeGard (Penjagaan Usia dan Kesihatan Sel), Sari StemShape (Pembakaran Lemak Dalaman) dan Sari StemSerum (Penjagaan Kulit Wajah).

Primadona Worldwide Sdn Bhd yang ditubuhkan pada bulan September 2012 adalah syarikat pertama di dunia yang menghasilkan produk kesihatan menggunakan Teknologi Dwi Sel Induk Yang Diperkasa Dengan Ozon.

4. Datuk Wan Sani Mohd Salleh

Anda pernah melihat bas Sani Ekspress di jalan raya? Percaya atau tidak, itulah syarikat yang diasaskan oleh Datuk Wan Sani Mohd Salleh yang merupakan bekas model, pelakon dan anggota kumpulan Impression bersama Norman Hakim dan Eizlan Yusoff pada lewat 90-an.

Pada tahun 2003, Datuk Salleh telah menubuhkan SUSB dengan 2 lagi rakan kongsi yang akhirnya menarik diri tidak lama kemudian.

Namun begitu, berbekalkan semangat yang jitu telah menyebabkan Datuk Sani terpaksa mengambil risiko dengan seorang pekerja dan hanya pada tahun 2006, barulah menyaksikan SANI Express berada di jalanraya dengan 6 buah bas.

Kini beliau juga memiliki rangkaian hotel yang bernama SANI Hotel di seluruh Malaysia.

Itulah dia 4 artis luar biasa yang berjaya dalam perniagaan. Sebenarnya ramai lagi artis yang turut terlibat dalam perniagaan dan berjaya di luar sana.

Sama-sama kita doakan agar mereka terus berjaya dalam perniagaan dan juga industri seni tanahair.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.