5 Syarikat Terkenal Dunia Yang Berjaya Diselamatkan Daripada Muflis

Dunia perniagaan tidak menjanjikan mimpi yang manis atau akan berjaya selama-lamanya. Ini kerana hampir 96% perniagaan yang dibuka akan muflis pada 10 tahun pertama perniagaan itu dimulakan.

Hanya orang yang kental sahaja yang mampu meneruskan perniagaan mereka tanpa mengenal apa itu putus asa. Jika sesebuah perniagaan itu mampu bertahan lebih daripada 10 tahun, ia telah melepasi halangan yang paling besar.

Sudah pasti ianya berpotensi besar sekiranya diketuai oleh seorang CEO yang berkaliber dan mampu menyelamatkan kapal daripada tenggelam di lautan.

Berikut adalah beberapa kisah yang boleh dijadikan inspirasi bagaimana syarikat yang hampir muflis atau telah pun muflis dapat diselamatkan.

1. Lego

Lego merupakan salah sebuah syarikat permainan yang terbesar di dunia. Syarikat ini berasal dari Denmark dan telah diasaskan pada tahun 1932.

Syarikat ini hampir muflis pada tahun 2002 yang mana pada ketika itu, mempunyai hutang sebanyak $800 juta. Syarikat ini telah menukar pimpinan utama dengan membawa CEO yang baru pada tahun 2004 iaitu Jorgen Vig Knudstorp.

Di antara langkah yang diperkenalkan oleh pihak pengurusan yang baru adalah dengan mengurangkan produk dan fokus kepada core business mereka. Mereka telah berjaya mengurangkan sebanyak 12,900 produk kepada 7,000 produk.

Ini dapat memberi tumpuan kepada produk mereka yang dapat dijual kepada pelanggan. Langkah kedua yang diambil adalah dengan mencari pasaran baru.

Langkah ketiga adalah berfokuskan kepada pelanggan yang betul. Mereka yang membuat kajian dengan terperinci terhadap kehendak pelanggan mereka.

Salah satu langkah yang mereka buat adalah dengan memberi bayaran kepada pelanggan mereka untuk mencuba produk yang dihasilkan.

Selain itu juga, mereka telah bekerjasama dengan syarikat perfileman besar seperti Warner Bros dan Disney bagi menghasilkan filem Lego berdasarkan watak filem terkenal mereka. Dengan kerjasama ini, secara tidak langsung ianya telah menjadi iklan pemasaran yang efektif.

2. Marvel

Marvel merupakan sebuah syarikat yang mengumpulkan ramai Adiwira atau Super Hero yang terkenal. Sebelum lahirnya syarikat Marvel yang seperti sekarang ini, mereka telah diisytiharkan muflis pada tahun 1996 dan telah membuang lebih daripada 100 orang pekerja kerana tidak mampu membayar gaji mereka.

Syarikat Marvel terpaksa menggadaikan sebahagian besar watak di dalam syarikat mereka untuk terus bertahan supaya mereka boleh terus berada di dalam industri perfileman. Di antara watak yang mereka gadaikan untuk dapatkan sedikit wang adalah watak filem Blade kepada syarikat Fox.

Filem ini mendapat kutipan yang memberangsangkan tetapi sayangnya tiada bayaran royalti yang sepatutnya diterima oleh syarikat.

Mereka juga pernah membuka restoran tetapi tidak mendapat sambutan. Kebangkitan terbesar syarikat adalah dengan menerusi filem Iron Man yang pertama. Ia telah membuka mata ramai pihak tentang kehebatan watak adiwira yang terdapat dalam studio Marvel.

Antara risiko yang telah diambil oleh Syarikat Marvel adalah dengan memajak 10 watak adiwira mereka untuk menghasilkan sebuah cerita Iron Man. Filem Iron Man yang pertama telah mendapat sambutan yang sangat luar biasa dan telah berjaya membayar balik pinjaman yang dibuat.

Syarikat Disney telah membeli syarikat Marvel harga $5 bilion pada tahun 2012. Kini syarikat Marvel telah berada di bawah payung syarikat Disney yang telah menghasilkan lebih kurang 23 filem dengan pendapatan sebanyak $20 bilion dalam masa sedekad yang lepas.

Syarikat Marvel kini telah mendominasi cerita adiwira di Amerika yang sebelum ini didominasi oleh filem Superman dan Batman.

Untuk bacaan lanjut, sila klik sini.

3. FedEx

FedEx merupakan sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran barang. FedEx telah diasaskan pada tahun 1971 oleh Fred Smith dengan menggunakan duit yang diwarisi oleh bapanya sebanyak $4 juta Dolar.

Idea penubuhan syarikat ini adalah dari tesis yang telah dibuat ketika beliau belajar di Universiti of Yale. Pada masa itu beliau telah membuat kertas kerja untuk membina sebuah syarikat logistik menggunakan kapal terbang.

Smith mendapat gred C untuk kertas kerja yang dibentangkannya itu. Selepas tamat pengajian dia telah kembali ke Universiti of Yale untuk mengambil balik kertas kerjanya untuk dijadikan sebagai rujukan dalam menubuhkan sebuah syarikat.

Pada awal penubuhan syarikat, beliau menghadapi pelbagai masalah terutamanya dengan peraturan yang dikenakan oleh kerajaan Amerika Syarikat terhadap perkhidmatan kapal udara. Oleh kerana menghadapi pelbagai jenis masalah yang menimpa sepanjang tiga tahun pertama penubuhannya, syarikat ini telah hampir bankrup kerana tidak mampu untuk membayar gaji pekerja.

Sepanjang penubuhan FedEx untuk tiga tahun pertama, syarikat tersebut tidak menjana sebarang keuntungan.

Pada masa itu, Smith telah mengambil keputusan untuk menyelamatkan syarikatnya iaitu dengan berjudi di Las Vegas.

Dengan duit yang dimenanginya sebanyak $30,000, Smith dapat menyelamatkan syarikat dengan membayar gaji pekerja yang telah tertunggak selama seminggu.

Hari ini, FedEx merupakan salah sebuah syarikat terbesar dalam pengangkutan logistik udara. Dengan mempunyai pekerja seramai 60 ribu orang dan keuntungan sebanyak $4 bilion pada tahun lepas.

Di antara inovasi yang dilakukan oleh FedEx adalah memperkenalkan sistem tracking number barangan yang dihantar. Sistem ini telah diperkenalkan oleh Syarikat FedEx pada 1980-an lagi yang mana pelanggan boleh mengetahui kedudukan barangan mereka dengan lebih terperinci.

Selain itu juga FedEx telah memperkenalkan sistem penghantaran yang mengambil masa hanya sehari untuk barang yang dipesan sampai ke tangan pelanggan.

4. Airbnb

Airbnb merupakan sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan untuk menyewa rumah atau hotel dengan harga yang murah. Airbnb merupakan singkatan kepada  Air Beds & Breakfest.

Syarikat ini telah diasaskan oleh tiga anak muda pada tahun 2007 yang mana pada tahun itu mereka tidak mempunyai cukup wang untuk menyewa rumah. Seperti yang kita tahu, nilai hartanah di San Francisco sangat mahal untuk disewa. Pengalaman ini telah memberikan mereka idea untuk menubuhkan Airbnb.

Sumber utama pendapatan Airbnb berasal dari bayaran perkhidmatan dari tempahan yang dikenakan kepada kedua-dua tetamu dan tuan rumah.

Sebelum mencapai tahap pada hari ini, Airbnb telah mengalami pelbagai cabaran pada permulaan perniagaan mereka. Mereka yang tidak mempunyai modal yang cukup kerana para pelabur telah menarik diri kerana tidak yakin dengan pelan perniagaan mereka.

Pada waktu itu mereka tidak mempunyai apa-apa selain idea yang mana menjual cereal yang diletakkan gambar Obama sepanjang kempen Barack Obama sebagai presiden Amerika Syarikat pada tahun 2008.

Daripada situ mereka dapat mengumpul sedikit dana untuk mengembangkan perniagaan mereka ke seluruh dunia.

Mengikut data terkini, lebih 400 juta tetamu telah menggunakan perkhidmatan Airbnb.

5. Converse

Converse merupakan sebuah syarikat kasut yang boleh dikatakan sebuah syarikat lagenda kerana telah wujud lebih daripada 100 tahun wujud. Syarikat ini mengeluarkan kasut untuk para remaja.

Pada awal abad ke-20 kita dapat melihat kebanyakan kasut yang dikeluarkan oleh adalah berasaskan kepada kulit. Converse pada masa itu merupakan sebuah syarikat yang inovatif yang telah mengeluarkan kasut berasaskan kain dan juga getah.

Pada ketika itu, kasut yang dikeluarkan Converse mendapat sambutan yang sangat hebat kerana mereka adalah satu-satunya syarikat yang mengeluarkan kasut yang sangat unik. Chuck Taylor merupakan salah seorang atlet yang menggunakan kasut Converse dalam sukan bola keranjang.

Disebabkan Chuck Taylor merupakan seorang atlet terkenal yang memakai kasut Converse, beliau telah dilantik sebagai duta kepada kasut tersebut.

Hampir separuh abad kasut Converse telah menguasai pasaran Amerika Syarikat. Pada pertengahan 1960-an, banyak syarikat dari luar telah muncul terutamanya syarikat sukan seperti Adidas dan Puma. Syarikat ini telah mengambil pasaran yang dikuasai oleh Converse dan membuatnya hilang penguasaan pasaran.

Ini kerana syarikat Converse tidak begitu inovatif untuk bersaing dengan syarikat dari Jerman itu. Converse telah diistiharkan muflis pada tahun 2001.

Nike telah membeli syarikat Converse pada tahun 2003 dan menyelamatkan perniagaan mereka. Kini Converse telah bangkit dan menjadi sebuah syarikat yang kompetitif dan mampu bersaing di dalam pasaran Amerika Syarikat dan juga dunia.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.